Monday, October 26, 2009

Bagaimana Anda Selepas Usrah?

Bila kita sama-sama melabuhkan tirai

Oleh: Hussaini KONSIS

"Usrah itu dimulakan dengan Kafarah al-Majlis dan Surah al-Asr. Diakhiri dengan Surah al-Fatihah"

Begitulah tarbiyyah mengajarkan kita. Pembinaan ummah ini memerlukan lebih daripada 1 atau 2 atau 3 jam seminggu daripada seorang muslim itu. Pengorbanannya, untuk tajarrud ilallah, untuk meletakkan dalam dirinya, 100% untuk perjuangan ini, melebihi kepentingan peribadi pada setiap detik, hinggalah di saat-saat akhir itu. Hinggakan matinya juga diharapkan menguntungkan islam, seperti matinya ghulam dalam hadis ghulam ad-dakwah, tafsir kepada Surah al-Buruj.

Namun, ikhwah dan akhwat yang amat kucintai sekalian,

Tarbiyyah juga mengajar kita untuk mengikut marhalah (tahapan) perkembangan manusia dalam kita melahirkan 'full-timer muslim' itu. Ianya menuntut kita bersabar, membiarkan anak didik kita berkembang selari dengan masa, seumpama menunggu buah delima hijau bertukar warna.

Walaupun ia kelihatan sudah berseri-seri, jangan gopoh memetiknya. Terkadang, kita nampak buah delima itu sudah cukup kemerahan, terasa ingin sangat menganyangnya, merasai setiap biji delimanya, yang dibayangkan sudah merah ranum seperti kulitnya. Namun, jika kuning dan merah itu masih belum sebati di selaput luarnya, merekah di hujung kantungnya itu pun belum pasti, kita pasti akan kecewa, kerana hanya butir-butir mentah bakal menjadi santapan, tanpa kita mampu memperbaikinya kembali. Tanpa kita mampu untuk mengharapkan buah itu berkembang, menjadi buah yang kita impi-impi, mimpi-mimpikan selama ini...

Itulah yang digambarkan oleh As-Syeikh Hassan Al-Banna dalam risalahnya:

"Bukan dari golongan kami orang yang memetik buah sebelum masaknya."

Bekerja mengikut marhalah itu merupakan rahmat, dan jika sebaliknya, merupakan bala, gambaran amal yang sia-sia.

Jauh daripada bekerja mengikut konsep-konsep umum dakwah, apatah lagi mengikut keperluan marhalah ini, menyebabkan dakwah yang kita lakukan ini tidak ubah seperti majlis-majlis ilmu yang biasa. Dakwah kita yang sepatutnya penyeruan ke arah pembebasan daripada penghambaan sesama manusia ini, seringkali menjadi sekadar dakwah menyeru ke masjid. Tiada matlamat yang jelas. Tiada amal yang terarah. Tiada penguasaan bahan yang mantap. Tiada penyempurnaan dengan kemahiran bermain dengan hati-hati insani.

"Dakwah kita adalah segalanya", hanya tinggal kata-kata. Kerana akhirnya, kita hanya berusrah selama 1 jam, 2 jam atau 3 jam seminggu, tanpa merasakan ruh usrah dalam diri bermula tamatnya usrah. Kadang-kadang, apabila kita semakin tidak bersedia, kita lebih selesa jika keluar beramai-ramai dan mendirikan 'usrah makan'. Berkumpul di kedai-kedai mamak, borak-borak kosong, dan mendidik anak-anak usrah bercakap yang sia-sia. Kata mereka, "Itu lebih baik daripada tiada apa-apa". Dan kata mereka lagi, "Usrah bukan rigid dalam halaqah-halaqah itu sahaja".

Kataku,

"Benar dan salah". Benar, usrah itu tidak terbatas dalam halaqah-halaqah perbincangan itu semata-mata. Salah, kerana anda tidak akan berhasil apa-apa jika masih ingin bersenang-senang, bermalas-malasan begitu.

Hendak mengetahui hakikat usrah serta rukunnya? Mari kita bersoal jawab dengan Al-Quran:

Apa yang ingin dibincangkan dalam usrah, ya akhi?

"Sebagaimana Kami telah mengutuskan kepadany seorang rasul, (Muhammad) dari (kalangan) kamu yang membacakan ayat-ayat Kami, menyucikan kamu (Tazkirah: Tazkiyatul Nafs) dan mengajarkan kepadamu Kitab (Al-Quran: Tafsir) dan Hikmah (Sunnah: Sirah dan Hadis), serta mengajarkan apa yangbelum kamu ketahui. (Taujihat dan Musykilah)"

(Al-Baqarah 2: 151)

Selepas usrah, apa yang kita harapkan kita semua rasai?

"Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku."

(Al-Baqarah 2: 152)

Takutnya ana, ya akhi. Jika ada masalah dalam usrah, apa yang perlu ana buat?

"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan SABAR dan SOLAT. Sungguh Allah beserta orang-orang yang sabar."

(Al-Baqarah 2: 153)

Naqib itu Ubiquitous?

Kefahaman akan pentingnya sebuah perjumpaan yang sebegitu, dengan syarat-syarat sah usrah itu, memandu kita untuk lebih berdisiplin dalam membina rijal-rijal. Sama seperti khususnya pembinaan para sahabat rasulullah, bukan bidaah yang direka-reka. Allah sudah menyediakan templatenya, kita hanya sebagai pelaksana.

Kita tahu, bahawa, setiap minggu, usrah sebegitu wajib dilaksanakan. Dan ketahuilah sahabatku, perjumpaan setiap minggu itu akan menentukan komitmen anak-anak usrah pada minggu-minggu seterusnya. Ia akan menjadi penentu keterikatan anak-anak didik dengan saff dakwah ini. Hakikat kefuturan bermula di sini, sekiranya kita hanya mampu membuatkan mereka berfikir tentang islam, semasa halaqah kecil, sementara itu sahaja.

Disinilah letaknya kelemahan usrah-usrah di sekolah, yakni usrah-usrah yang diwajibkan, tanpa mengambil kira bahawa pelajar-pelajar itu merupakan potensi-potensi ummah yang layak membuat keputusan sendiri, kita sewajarnya hanya membimbing, bukan memaksa mereka. Gagalnya usrah kita, jika sang murobbi, hanya bertaut di hati tatkala usrah. Jika sang murobbi lansung tidak diingat mereka ketika dibaca doa rabithah. Kerana, pembinaan usrah tidak diasaskan dengan ukhuwwah islamiyyah yang menyejukkan perasaan. Aku pernah merasai kekeringan itu dahulu, yang mematikan hasratku untuk bertemu lagi dan lagi. Kita tidak sudi, jika perjumpaan kita itu mekar dengan cinta sesama saudara, yang akan melonjakkan semangat yang membara.

Sang Murobbi seharusnya menjadi umpama bakteria yang ubiquitous, berada di mana-mana sahaja. Dengan perasaan atau tanpa perasaan, mereka tidak serik-serik bertemu. Menyelesaikan permasalahan-permasalahan kecil, tindakan orang-orang bijak pandai, sebelum ia besar, lebih besar dari segala kebaikan mereka. Sang Murobbi sentiasa membakar tekad mad'u, agar mereka tidak larut dalam biah jahiliyyah, menjadi sebahagian dari penyumbang kekufuran. Berada bersama, mengingatkan mereka tentang kedamaian bersama islam, sehinggakan mereka merasakan, inilah biah dan suasana yang ingin mereka wujudkan dalam masyarakat mereka. Sudah tentunya semua ini tidak dapat dilaksana, jika taaruf tidak dilaksanakan dengan setelitinya.

Monday, October 19, 2009

Kawalan ketat terhadap Masjid al-Aqsa

Dunia Islam dikejutkan lagi dengan insiden terbaru yang berlaku di kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa. Mimbar masjid di seluruh dunia memperkatakan isu yang berlaku baru-baru ini akibat tekanan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Israel terhadap umat Islam di kota suci itu.

Pihak berkuasa Israel telah mengerahkan sejumlah besar anggota polis di sekitar Masjid al-Aqsa setelah berlaku beberapa pergelutan pihak polis dengan para jemaah di kawasan masjid suci itu.

Keadaan menjadi tegang apabila kaum muslimin yang berusia 50 tahun ke bawah telah dihalang daripada memasuki kawasan Masjid al-Aqsa menyebabkan ramai penduduk kota al-Quds melahirkan rasa tidak berpuas hati lalu meledakkan insiden tunjuk perasaan.

Manakala para jemaah yang sudah berada di dalam kawasan al-Aqsa enggan keluar dan terus beriktikaf di dalamnya sepanjang solat lima waktu. Mereka bimbang tidak dibenarkan masuk semula setelah keluar dari kawasan masjid suci itu.

Solat Jumaat hanya dapat ditunaikan oleh para jemaah di luar kawasan tembok al-Aqsa akibat kepungan dan halangan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Israel .

Kekacauan terbaru yang berlaku itu dikatakan berpunca daripada tindakan pihak berkuasa Israel yang dikatakan bertujuan menjaga keselamatan para pengunjung Yahudi ke tembok barat Masjid al-Aqsa yang dikuasai mereka.

Dianggarkan lebih kurang 7000 orang Yahudi yang terdiri dari kalangan penganut Judaisme sedang mengadakan upacara ibadat di tembok barat untuk meraikan perayaan Sukkoth. Perayaan yang disambut pada musim luruh ini merupakan salah satu daripada tiga perayaan suci yang disebutkan di dalam kitab Taurat mereka.

Menurut jurucakap polis Israel , Micky Rosenfeld, "Pertimbangan ini dibuat untuk menghindari insiden baru di kawasan ini dan kota lama ( Jerusalem ) bagi mengelakkan batu-batu dilontarkan kepada orang Yahudi yang datang untuk beribadat di Tembok Barat."

Pihak berkuasa Israel juga mendakwa terdapat pihak-pihak tertentu yang memainkan isu ini dan mengapi-apikan bahang permusuhan dengan menyeru penduduk al-Quds supaya bertindak ganas untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Manakala Hamas dalam kenyataan rasminya menyatakan, "Kami tidak akan duduk diam dan kami akan bangkit mempertahankan tempat suci kami."

Hamas juga menegaskan bahawa tindakan prejudis terhadap Masjid al-Aqsa ini adalah satu 'bom jangka' yang bakal meledak di hadapan pengganas Zionis.

Hamas juga menyeru warga Palestin agar berarak beramai-ramai ke Masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat sebagai tindakan penentangan secara terbuka menghadapi halangan pihak polis Israel . Manakala Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengajak rakyat supaya melakukan protes secara aman.

"Kami menyeru warga Palestin yang berani, seluruh kaum Arab dan orang-orang Islam agar bangkit mempertahankan tempat-tempat suci kita dan melancarkan intifadhah (gerakan kebangkitan) yang baru untuk mempertahankan kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa," tambah pergerakan Hamas dalam kenyataannya.

Ramai para pengkaji berpendapat, tindakan Israel ini bakal meledakkan Intifadhah ke-3 dalam sejarah kebangkitan rakyat Palestin menghadapi penjajahan Zionis.

Apa yang menambahkan kemarahan rakyat Palestin ialah tindakan pihak polis Israel tidak membenarkan para penganut agama Islam daripada masuk untuk menunaikan solat. Akan tetapi, mereka membenarkan kumpulan ekstremis Yahudi dan para pelancong untuk masuk.

Pihak polis Israel juga mengadakan banyak sekatan di jalan-jalan masuk ke al-Quds dan menghalau rakyat Palestin yang tidak tinggal atau bekerja di kota tersebut daripada memasuki kota al-Quds.

Pergerakan Islam telah dipersalahkan oleh pihak polis Israel kerana menyebabkan suasana tegang sepanjang minggu tersebut. Mereka juga menahan pemimpin gerakan tersebut, Syeikh Raed Salah kerana didakwa telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menaikkan kemarahan awam.

Syeikh Raed Salah yang pernah menjalani hukuman penjara selama 2 tahun, baru-baru ini telah mengulangi seruannya agar kaum muslimin mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Manakala perkembangan di Genting Gaza pula menyaksikan lebih 10 ribu rakyat berdemonstrasi mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa yang dikepung pihak polis Israel melebihi tempoh seminggu.

Seorang pemimpin Hamas, Yahya Musa menyatakan dalam ucapannya, "Al-Aqsa bukan sahaja berada dalam bahaya, bahkan ianya bakal dimusnahkan. . al-Aqsa adalah sebahagian daripada akidah kita, ia adalah titik asas pertarungan di antara yang hak dan batil. Sudah tiba masanya umat Arab dan Islam bangun dan mempertahankannya!

Kami sudah bersedia menghadapi pertempuran terakhir dengan Israel dan orang-orang Arab mesti bersatu, kami ingin menyatakan kepada mereka, bahawa kamu semua tiada alasan sekiranya al-Aqsa dimusnahkan… kaum muslimin mesti berarak di jalanan."

Tambah beliau lagi, "Kepada para pemimpin Arab kami mengatakan: Apakah kamu tidak berasa malu menjadi alat mainan di tangan Zionis!?"

Beliau juga mengajak seluruh rakyat meneruskan perjuangan dan menentang pentadbiran di Ramallah sehinggalah presiden Mahmoud Abbas meletakkan jawatan atau digulingkan secara paksa. 'Jenayah' Abbas ini tidak boleh dibiarkan sehingga seluruh bumi Palestin dijual kepada musuh.

Tekanan yang berlaku di sekitar Masjid al-Aqsa pada ketika ini didakwa mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat para pemimpin Palestin di Ramallah.

Sehingga bingkisan ini ditulis, suasana tegang di sekitar Masjid al-Aqsa masih berterusan walaupun pihak polis Israel menambah pasukan keselamatannya.

Dilaporkan para penunjuk perasaan dan orang-orang yang tidak dibenarkan masuk untuk solat terus-menerus melontarkan batu ke arah pihak polis. Pertempuran berlangsung selama lebih 1 jam di kebanyakan jalan-jalan utama menuju ke Masjid al-Aqsa.

Sekurang-kurangnya 4 orang rakyat Palestin dan 5 orang polis tercedera dalam pergelutan itu. Jumlah sebenar yang tercedera masih belum dapat dipastikan.

Tindakan Israel yang melakukan pencerobohan ke atas Masjid al-Aqsa ini bukan sahaja telah meningkatkan penentangan rakyat Palestin, bahkan telah menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Para khatib di seluruh dunia Islam disarankan agar terus membangkitkan kesedaran di kalangan umat dalam setiap khutbah Jumaat. Adalah tidak wajar, umat Islam terus mendiamkan diri sehingga Masjid al-Aqsa dirobohkan. Ketika itu kita hanya mampu mengeluh melihat Haikal (Kuil) Sulaiman tertegak di tengah-tengah runtuhan Masjid al-Aqsa.

Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@ yahoo.com)

Wednesday, October 14, 2009

PMRAM mendekati ulama'

Tiada yang paling baik melainkan melantunkan kata-kata/kalimah thoyyibah. Terkumat kamit mulut bila membaca berita dari Mesir. Program serta khabaran dari sahabat-sahabat dari bumi anbia' itu.

Saya begitu teruja dengan program terbaru yang akan dianjurkan oleh PMRAM. Program Majlis Pembacaan Kutub Sittah. Terlintas di benak fikiran saya, kenapa program seperti ini tidak di adakan ketika saya di sana??? Saya dengki dengan suasana di sana.

Program yang begitu baik ini sepatutnya tidak dilepaskan begitu sahaja bagi mereka yang berada di sana. Usaha murni ini sewajarnya mendapat sokongan oleh semua pihak.

Dalam membaca perkembangan mengenai program ini, saya begitu terkejut dengan tindakan JPMK yang mahu menggagalkan program ini.

Apakah keburukan program ini?? Program membicarakan tentang hadis Rasulullah saw, program mendekati ulama-ulama, program mencari keredhaan Allah dengan mengikut susur galur perjalanan ulama murabbi.


Memetik kata-kata Syeikh al-Allamah Dr Jamal Faruq hafizahullah bilamana ditanyakan kepada beliau mengapakah al-Azhar sudah tidak menganjurkan lagi Majlis Sama’ Hadis sebegini?

Maka Syaikhuna menjawab : “al-Azhar terlalu sibuk dengan pelbagai urusan tambahan pula campur tangan kuasa luar yang tiada kaitan dengan al-Azhar menyebabkan al-Azhar tidak sempat untuk melaksanakan Majlis mulia sebegini.Apa-apa pun, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah memulakan kembali sunnah mulia ini.Moga akan membuka mata al-Azhar untuk kembali melaksanakan Majlis sebegini kelak.”

Melihat kepada objektif program, saya kira tidak ada alasan untuk program ini digagalkan. Teruskan usaha kepada semua petugas, saya mendoakan semoga program ini berjalan lancar. Amin.