Monday, October 19, 2009

Kawalan ketat terhadap Masjid al-Aqsa

Dunia Islam dikejutkan lagi dengan insiden terbaru yang berlaku di kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa. Mimbar masjid di seluruh dunia memperkatakan isu yang berlaku baru-baru ini akibat tekanan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Israel terhadap umat Islam di kota suci itu.

Pihak berkuasa Israel telah mengerahkan sejumlah besar anggota polis di sekitar Masjid al-Aqsa setelah berlaku beberapa pergelutan pihak polis dengan para jemaah di kawasan masjid suci itu.

Keadaan menjadi tegang apabila kaum muslimin yang berusia 50 tahun ke bawah telah dihalang daripada memasuki kawasan Masjid al-Aqsa menyebabkan ramai penduduk kota al-Quds melahirkan rasa tidak berpuas hati lalu meledakkan insiden tunjuk perasaan.

Manakala para jemaah yang sudah berada di dalam kawasan al-Aqsa enggan keluar dan terus beriktikaf di dalamnya sepanjang solat lima waktu. Mereka bimbang tidak dibenarkan masuk semula setelah keluar dari kawasan masjid suci itu.

Solat Jumaat hanya dapat ditunaikan oleh para jemaah di luar kawasan tembok al-Aqsa akibat kepungan dan halangan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Israel .

Kekacauan terbaru yang berlaku itu dikatakan berpunca daripada tindakan pihak berkuasa Israel yang dikatakan bertujuan menjaga keselamatan para pengunjung Yahudi ke tembok barat Masjid al-Aqsa yang dikuasai mereka.

Dianggarkan lebih kurang 7000 orang Yahudi yang terdiri dari kalangan penganut Judaisme sedang mengadakan upacara ibadat di tembok barat untuk meraikan perayaan Sukkoth. Perayaan yang disambut pada musim luruh ini merupakan salah satu daripada tiga perayaan suci yang disebutkan di dalam kitab Taurat mereka.

Menurut jurucakap polis Israel , Micky Rosenfeld, "Pertimbangan ini dibuat untuk menghindari insiden baru di kawasan ini dan kota lama ( Jerusalem ) bagi mengelakkan batu-batu dilontarkan kepada orang Yahudi yang datang untuk beribadat di Tembok Barat."

Pihak berkuasa Israel juga mendakwa terdapat pihak-pihak tertentu yang memainkan isu ini dan mengapi-apikan bahang permusuhan dengan menyeru penduduk al-Quds supaya bertindak ganas untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Manakala Hamas dalam kenyataan rasminya menyatakan, "Kami tidak akan duduk diam dan kami akan bangkit mempertahankan tempat suci kami."

Hamas juga menegaskan bahawa tindakan prejudis terhadap Masjid al-Aqsa ini adalah satu 'bom jangka' yang bakal meledak di hadapan pengganas Zionis.

Hamas juga menyeru warga Palestin agar berarak beramai-ramai ke Masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat sebagai tindakan penentangan secara terbuka menghadapi halangan pihak polis Israel . Manakala Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengajak rakyat supaya melakukan protes secara aman.

"Kami menyeru warga Palestin yang berani, seluruh kaum Arab dan orang-orang Islam agar bangkit mempertahankan tempat-tempat suci kita dan melancarkan intifadhah (gerakan kebangkitan) yang baru untuk mempertahankan kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa," tambah pergerakan Hamas dalam kenyataannya.

Ramai para pengkaji berpendapat, tindakan Israel ini bakal meledakkan Intifadhah ke-3 dalam sejarah kebangkitan rakyat Palestin menghadapi penjajahan Zionis.

Apa yang menambahkan kemarahan rakyat Palestin ialah tindakan pihak polis Israel tidak membenarkan para penganut agama Islam daripada masuk untuk menunaikan solat. Akan tetapi, mereka membenarkan kumpulan ekstremis Yahudi dan para pelancong untuk masuk.

Pihak polis Israel juga mengadakan banyak sekatan di jalan-jalan masuk ke al-Quds dan menghalau rakyat Palestin yang tidak tinggal atau bekerja di kota tersebut daripada memasuki kota al-Quds.

Pergerakan Islam telah dipersalahkan oleh pihak polis Israel kerana menyebabkan suasana tegang sepanjang minggu tersebut. Mereka juga menahan pemimpin gerakan tersebut, Syeikh Raed Salah kerana didakwa telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menaikkan kemarahan awam.

Syeikh Raed Salah yang pernah menjalani hukuman penjara selama 2 tahun, baru-baru ini telah mengulangi seruannya agar kaum muslimin mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Manakala perkembangan di Genting Gaza pula menyaksikan lebih 10 ribu rakyat berdemonstrasi mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa yang dikepung pihak polis Israel melebihi tempoh seminggu.

Seorang pemimpin Hamas, Yahya Musa menyatakan dalam ucapannya, "Al-Aqsa bukan sahaja berada dalam bahaya, bahkan ianya bakal dimusnahkan. . al-Aqsa adalah sebahagian daripada akidah kita, ia adalah titik asas pertarungan di antara yang hak dan batil. Sudah tiba masanya umat Arab dan Islam bangun dan mempertahankannya!

Kami sudah bersedia menghadapi pertempuran terakhir dengan Israel dan orang-orang Arab mesti bersatu, kami ingin menyatakan kepada mereka, bahawa kamu semua tiada alasan sekiranya al-Aqsa dimusnahkan… kaum muslimin mesti berarak di jalanan."

Tambah beliau lagi, "Kepada para pemimpin Arab kami mengatakan: Apakah kamu tidak berasa malu menjadi alat mainan di tangan Zionis!?"

Beliau juga mengajak seluruh rakyat meneruskan perjuangan dan menentang pentadbiran di Ramallah sehinggalah presiden Mahmoud Abbas meletakkan jawatan atau digulingkan secara paksa. 'Jenayah' Abbas ini tidak boleh dibiarkan sehingga seluruh bumi Palestin dijual kepada musuh.

Tekanan yang berlaku di sekitar Masjid al-Aqsa pada ketika ini didakwa mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat para pemimpin Palestin di Ramallah.

Sehingga bingkisan ini ditulis, suasana tegang di sekitar Masjid al-Aqsa masih berterusan walaupun pihak polis Israel menambah pasukan keselamatannya.

Dilaporkan para penunjuk perasaan dan orang-orang yang tidak dibenarkan masuk untuk solat terus-menerus melontarkan batu ke arah pihak polis. Pertempuran berlangsung selama lebih 1 jam di kebanyakan jalan-jalan utama menuju ke Masjid al-Aqsa.

Sekurang-kurangnya 4 orang rakyat Palestin dan 5 orang polis tercedera dalam pergelutan itu. Jumlah sebenar yang tercedera masih belum dapat dipastikan.

Tindakan Israel yang melakukan pencerobohan ke atas Masjid al-Aqsa ini bukan sahaja telah meningkatkan penentangan rakyat Palestin, bahkan telah menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Para khatib di seluruh dunia Islam disarankan agar terus membangkitkan kesedaran di kalangan umat dalam setiap khutbah Jumaat. Adalah tidak wajar, umat Islam terus mendiamkan diri sehingga Masjid al-Aqsa dirobohkan. Ketika itu kita hanya mampu mengeluh melihat Haikal (Kuil) Sulaiman tertegak di tengah-tengah runtuhan Masjid al-Aqsa.

Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@ yahoo.com)

1 comments:

Anonymous said...

Your blog keeps getting better and better! Your older articles are not as good as newer ones you have a lot more creativity and originality now keep it up!