Thursday, April 30, 2009

Baitul Muslim: Medan Pentadbiran KHILAFAH Kecil


سبحان الذى خلق الأزواج كلها مما تنبت الأرض ومن أنفسهم ومما لا يعلمون

Maksudnya: Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. [Yaasin: 36]

Baitul Muslim biasanya dikaitkan dengan perkahwinan. Lebih tepat lagi baitul muslim memberi pengertian proses pembinaan rumahtangga yang berlandaskan syariat dan peraturan yang ditetapkan di dalam agama Islam. Malah Baitul Muslim juga dikatakan sebagai permulaan dakwah ke arah pembentukan masyarakat dan negara Islam dan ianya juga menjadi medan pentadbiran Khilafah kecil.

Perkahwinan juga digambarkan sebagai sebuah kumpulan masyarakat yang kecil dimana sistem pentadbiran Khilafah kecil ini mampu dilaksanakan mengikut method yang digunapakai oleh Nabi SAW di dalam firman Allah yang bermaksudnya: "Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, akibatnya, engkau akan menjadi dari golongan yang dikenakan azab seksa. Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman". [ Al-Syuaraa’: 213, 214 & 215 ]

Allah SWT juga berfirman dengan maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam suatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya". [An-Nisa’: 58 & 59].

Perkahwinan merupakan suatu jalan yang sah di sisi syarak bagi menghalalkan perhubungan di antara seorang lelaki dengan seorang wanita. Allah SWT berfirman;

ومن كل شئ خلقنا زوجين لعلكم تذكرون

"Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami)". [Al-Dzariyaat: 49]

Manakala khilafah pula memberi maksud menegakkan agama Islam dan mentadbir dunia mengikut ajaran dan undang-undang Islam.

ومن لم يحكم بما أنزل الله فأولئك هم الكافرون

"Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir". [Al-Maaidah: 44]

Institusi kekeluargaan Islam merupakan suatu institusi yang diwahyukan. Ia terbentuk bukan berdasarkan pengalaman hidup atau melalui proses pencarian manusia (human discovery). Kalau dilihat dari segi kepentingan sosial, institusi perkahwinan merupakan suatu bentuk pembahagian tugas antara manusia, di mana para suami bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak masing-masing.

Simboliknya, para suami dianggapkan sebagai pemimpin sebuah negara manakala isteri dan anak-anak diumpamakan sebagai rakyat jelata yang memerlukan bimbingan dan pimpinan daripada ketua negara. Rasulullah SAW bersabda;

كلكم راع وكلكم مسؤل عن رعيته

[ Setiap daripada kamu adalah pengembala dan kamu semua bertanggungjawab terhadap gembalaannya ].

TUGAS KHALIFAH DAN KETUA KELUARGA

Firman Allah Taala ;

وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku". [Al-Dzariyat: 56]

Tugas besar seorang khalifah adalah mengembalikan rasa kehambaan di dalam diri manusia agar mereka merasai bahawasanya Allah SWT sahaja yang layak untuk ditakuti dan mengakui bahawasanya Islam adalah sebagai penyelesai segala masalah yang timbul dikalangan manusia.

Kesilapan besar yang dilakukan oleh manusia mutakhir ini adalah mencari jalan selain daripada ajaran Islam sebagai penyelesai permasalahan di dalam kehidupan. Sedangkan Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran;

أفغير الله أبتغى حكما وهو الذى أنزا إليكم الكتاب مفصلا والذين ءاتيناهم الكتاب يعلمون أنه منزل من ربك بالحق فلا تكونن من الممترين

"(Katakanlah wahai Muhammad): “Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dialah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan salah)?” Dan orang-orang yang Kami berikan Kitab, mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu". [Al-An’aam: 114]

Di atas sebab ini seorang Khalifah wajib untuk mengembalikan kefahaman rakyat dengan melaksanakan segala perintah dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sehinggalah mereka mampu untuk kembali ke jalan Allah dan menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama di dalam meneruskan kehidupan.

Di dalam konteks kekeluargaan pula, ayat Allah yang berbunyi ;

يا أيها الذين أمنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا وقودها الناس والحجارة عليها ملائكة غلاظ شداد لا يعصون الله ما أمرهم ويفعلون ما يؤمرون

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya; manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan". [Al-Tahrim: 6]

Ayat ini memberikan panduan untuk memandu dan mencorak rumahtangga yang diredhai oleh Allah Taala. Perkara ini diajarkan sendiri oleh Nabi SAW di dalam mengurus rumahtangga baginda. Allah Taala berfirman yang bermaksud : "Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: “Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah)dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut’ah (saguhati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. Dan sekiranya kamu semua mahukan keredhaan Allah dan Rasul-Nya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu pahala yang besar". [Al-Ahzab: 28 & 29]

Wala’ & Ketaatan Kepada Pemimpin

Setelah cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, maka wajib bagi setiap muslim untuk mencintai para wali-wali Allah dan membenci musuh-musuh-Nya. Termasuk dari dasar-dasar aqidah Islam, bahawa setiap muslim yang beragama Islam wajib untuk:

1. Berwala’ (sikap setia, loyal) terhadap orang-orang yang beraqidah Islam dan memusuhi orang-orang yang menentangnya.

2. Mencintai orang yang bertauhid yang mengikhlaskan ibadahnya untuk Allah.

3. Membenci orang-orang musyrik yang memusuhi akidah tersebut.

Imam Hassan Al-Banna Rahimahullah menyebutkan apa yang perlu di fahami di dalam konsep ketaatan ini adalah “melaksanakan perintah dan melakukannya ketika susah, senang sihat dan sakit”. Namun terdapat beberapa pengecualian daripada memberikan ketaatan kepada pemimpin samada daripada peringkat pimpinan negara mahupun keluarga sebagaimana yang diterangkan di dalam hadis Nabi salallahualahi wasalam ;

على المرء المسلم السمع والطاعة فيما أحب وكره إلا أن يؤمر بمعصية فإن أمر بمعصية فلا سمع ولا طاعة

[ Wajib ke atas setiap individu muslim dengar dan patuh (arahan kepimpinan) pada setiap perkara yang disukai dan dibenci kecuali apabila disuruh untuk melakukan maksiat. Apabila disuruh untuk melakukan maksiat maka tidak akan ada ketaatan padanya ].

Oleh kerana itu, terdapat beberapa perkara yang ditetapkan oleh Islam untuk memilih pemimpin iaitu;

1. Keimanan yang kuat kepada Allah SWT.

2. Memiliki sifat taqwa kepada Allah SWT.

3. Amanah dan ikhlas

4. Cergas dan kuat.

5. Tidak kasar dan keras hati.

Di dalam sudut perkahwinan juga digalakkan untuk para pasangan untuk mengutamakan agama lebih daripada segala-galanya sebagaimana yang disebut di dalam hadis yang masyhur ;

تنكح المرأة لأربع، لمالها، ولحسبها، وجمالها، ولدينها، فاظفر بذات الدين تربت يداك

[ Dinikahi wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana pangkatnya dan kecantikannya dan kerana agamanya. Maka utamakanlah wanita yang memiliki agama nescaya akan beruntung kedua tanganmu ].

Kesimpulannya, sebuah rumahtangga adalah sebuah kelompok masyarakat kecil dan di dalam khilafah kecil inilah setiap pasangan mampu untuk memasyarakat hukum dan perundangan Allah SWT secara menyeluruh. Malanglah bagi mereka yang tidak menjadikan Al-Islam sebagai cara hidup kerana melalui pengamalan hidup berlandaskan agama inilah yang mampu untuk menjamin kesejahteraan di dunia dan di akhirat seterusnya mampu untuk melahirkan sebuah negara Islam yang syumul dan mencapai darjat ;

بلدة طيبة ورب غفور

[ negara yang baik dan mendapat keampunan daripadaNya (Allah Taala) ].

Wallahu A’lam.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Rujukan:

1. Al-Quran Al-Karim dan terjemahannya.
2. Nizom Al-Usrah Fi Al-Islam; Dr. Ali Yusuf Al-Subki.
3. Risalatu Al-Taalim; Muhammad Abdullah Khatib & Muhammad Abdul Halim Hamid.
4. Min Fiqh Al-Daulah Fi Al-Islam; Dr. Yusof Al-Qaradawi.
5. Maza Ya’ni Intimai Li Al-Islam; Fathi Yakan.
6. Kaunseling Perkahwinan Menurut Perspektif Islam; Dr. Siti Zalikhah Md Nor.

>> http://thaqafah.coconia.net/

Monday, April 20, 2009

KI, KEMAS, KPI : Program Tarbiah Yang Perlu Diteruskan

KI : Khemah Ibadah, KEMAS : KEM ANAK SOLEH, KPI : KEM PEMANTAPAN IBADAH. Program2 ini cukup masyhur sejak saya berada di SMA Al-Khairiah lagi. Kali pertama saya mengenali program seperti ini ialah Khemah Ibadah (KI'99). Ketika itu saya berada di tingkatan 3 dan menjadi salah seorang peserta.

Program2 seperti ini diteruskan lagi turun ke Tingkatan 2 dan sesterusnya Tingkatan 1. Exco dan AJK BADIB (Badan Dakwah & Ibadah) yang merancang program2 ini dengan bantuan dari fasilitator luar...antaranya dari KIK, serta univ tempatan. Melalui program inilah saya mengenali insan2 yang telah berjasa mendidik saya mengenali apa itu dakwah. Terima kasih dan jazakumullah buat Ust Azrul Azlan, Ust Hayat, Ust Khairi, Ust Asyraf, Ust Raddee, Ust Azrul Hisyam dan muslimatnya pula Ustz sarah fawzia, Ustz huda, Ustz farah, Ustz intan, Ustz muliati, dan beberapa nama2 yang lain yang mungkin kebanyakkannnya sudah luput diingatan...maaf, yang penting, pastinya Allah akan membalas jasa kalian!!!.

Ketika saya berada di tingkatan 4, saya mula melibatkan diri dengan aktiviti yang dianjurkan oleh BADIB. Segala aktiviti saya cuba dekati, ntah, x tahu sebab apa, rasa minta utk bantu program2 baik ni. Kali pertama pada tahun 2000 itu, saya telah ditaklifkan sebagai Pengarah Khemah Ibadah. Fasilitator kami jemput dari kalangan badan dakwah sma2 yang lain...

Sewaktu di tingkatan 4 juga kami yang terlibat dengan BADIK ni cuba mengadakan hubungan luar antara badan dakwah sma yang lain.

Semasa di tingkatan 5, saya ditaklifkan sebagai T. Pres BADIB. Segala tugas memangnya berat, apakandaya....kerja mesti di teruskan....segala program di rancang. Saya mengucapkan terima kasih buat semua sahabat2 seperjuangan zulhairi, hasbullah, azhari, reza, manakala barisan muslimatnya norlida, siti aminah, nasiha, rashidah, hafidah, norlina, aqmar dan lain2 kerana banyak membantu gerak kerja. Sahabatku,..perjunagan dalam dakwah masih belum berakhir, sama2 lah kita berdoa semoga kita bersama dengan saff perjuangan Islam sampai kita menemui ajal...dan bertemu Allah......

Akhirnya kami berjaya melabarkan sayap ke Maahad SAS jengka, dengan bantuan sahabat2 di sana. Pertemuan pertama ialah diantara saya, Mazuan, Malek, Fadhlullah dan Nizam. Mereka adalah antara orang yang kami jumpa untuk cuba merancang program di Maahad SAS. Alhamdulilah, sehingga ke hari ini, program2 ini masih diteruskan lagi...

Urusetia & Fasilitator Khemah Ibadah di Sek. Rendah Agama Masjid Ar-Rahman,
Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur


Selain itu, antara program yang lain ialah Khemah Ibadah di sek. Rendah Agama Masjid Ar-Rahman Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Kami daripada exco BADIB telah dijemput untuk membantu program ini. Ada yang ditaklifkan sebagai fasilitator dan ada segelintir sebagai urusetia.

Pernah juga saya ditaklifkan sebagai Pengarah di dalam Program di Maahad SAS, tapi saya sudah lupa bila. Yang pastinya masa tu nama program tersebut ialah Khemah Ibadah & Motivasi Cemerlang. Semua urusetia adalah dari kalangan exco BADIK manakala fasilitator dijemput dari Maahad Tahfiz Pahang dan Darul Quran.

Urusetia & Fasilitator Khemah Ibadah & Motivasi Cemerlang

Setelah tamat di SMA Al-Khairiah, saya meneruskan pengajian saya di Maahad Tahfiz Negeri Pahang. Semasa berada di dalam PEMANTAP, kami berjaya melaksanakan program KEM PEMANTAPAN IBADAH (KPI) di SMA Al-Ihsan dan KEM INTENSIF AL-QURAN di Maahad SAS, Jengka. 2 program ini di adakan dengan kerjasama badan dakwah setiap sekolah. Kemuncak dari semua2 ini ialah terkumpulnya tenaga2 hasil dari program yang baik ini dan akhirnya KONPIP berjaya di adakan... Semoga usaha yang baik ini diteruskan hingga ke akhirnya.....


Kerata akhbar bahagian pendidikan (Utusan Malaysia) 14 Mei 2004
----------------------------------------------------------------------------------
KEMAS baru2 ini juga berjaya dilaksanakan dengan jayanya dengan bantuan semua pihak yang terlibat. Pengetua memberi respon yang baik serta guru penasihat yang tidak jemu membantu dan urusetia, fasilitator yang memainkan peranan yang cukup maksimum dalam usaha mendidik peserta....Tahniah!!! yakinlah dengan janji2 Allah....Terima kasih buat cikgu hasan (mudir), us nafizal, ustz nor ayu, ustz azimah dan yang terlibat secara langsung atau tidak....jazakumullah.

Thursday, April 16, 2009

Manisnya Tarbiyah, Pada Hati Yang Hangat Dengan Getaran Iman..

Pada hari Sabtu dan Ahad yang lepas bersamaan 11-12hb April 2009, Lajnah Tarbiyah DPPNP telah mengadakan Ijtimak’ Nuqaba’ Pemuda Pas Pahang bertempat di Dewan Utama Pejabat Perhubungan Pas Negeri Pahang. Program yang padat dengan pengisian ilmu, fikir dan zikir ini disertai lebih kurang 60 orang nuqaba’ pemuda dari pelbagai kawasan, jabatan dan lajnah yang bernaung di bawah DPPNP. Urusetia juga sedia maklum di atas keuzuran sebahagian nuqaba’ yang tidak dapat bersama menyertainya lantaran pertembungan program utama yang lain seperti mesyuarat agung pemuda kawasan dan sebagainya. InsyaAllah, kita akan bertemu dalam program-program tarbiyah yang berikutnya.


Di antara pengisian utama ialah taujihat perasmian yang disampaikan oleh Ustaz Suhaimi Saad, Ketua Pemuda yang menyentuh isu semasa dan sokongan positif rakyat kepada Pas pada hari ini memerlukan keseimbangan dari sudut kekuatan peribadi saff pemuda yang bersedia menyahut cabaran-cabaran mendatang yang tentunya lebih besar. Kekuatan peribadi tersebut hendaklah dibina di dalam program-program tarbiyah seperti ijtima’ yang diadakan pada hari ini. Pengisian fikrah yang lainnya ialah :

  • Menangani Isu Khilafiyah dan Bid’ah ; Sikap Kita? – AJK Lajnah Tarbiyah Dewan Ulama’ PAS Pahang
  • Tazkiyah ; Akar Tunjang Pokok Perjuangan - Timb. Ketua Lajnah Tarbiyah DPP Kawasan Serdang
  • Keseimbangan Antara Ilmu dan Amal, Fikrah dan Perjuangan – Ketua Dewan Pemuda PAS Rompin
  • Pembentukan Akhlak Qiyadah dan Jundiy – AJK Lajnah Tarbiyah & Perkaderan PAS Pusat

Di samping itu juga diadakan qiam dan munajat di sebelah paginya hingga ke subuh yang dipimpin oleh Ketua Pemuda Pas Kawasan Pekan.


Saya selaku Pengerusi Lajnah Tarbiyah Negeri mengambil kesempatan ini untuk menegaskan apa yang telah saya sampaikan pada muqaddimah program tersebut bahawa, kita pemuda parti islam sangat berbeza dengan pemuda-pemuda parti dari ideologi yang lain. Pemuda parti Islam mestilah rutin kehidupannya dilingkungi dengan bi’ah atau persekitaran ilmu dan zikir. Pemuda parti Islam mestilah pemuda yang cinta dengan ilmu dan muraqabatilLah (menghampirkan diri dengan Allah s.w.t.).


Dalam masa yang sama, saya sangat berharap agar program-program yang dianjurkan dapat mengeratkan ukhuwwah sesama para peserta yang hadir walau dari latar belakang yang pelbagai dan kawasan yang berbeza. Biarlah pertemuan itu bukan semata-mata pertemuan fikrah, tetapi juga sebuah pertemuan perasaan yang berjaya mempertautkan hati sesama kita.


Akhir sekali, saya ingin mengucapkan syabas kepada saff nuqaba’ yang dapat mengikuti program tersebut dengan jayanya. Diharap perkongsian ilmu yang diperolehi dapat diterjemahkan dalam bentuk amal dan praktik, mampu mengislah dan membentuk sikap pejuang Islam yang sepatutnya di samping meningkatkan kualiti diri sebagai nuqaba’, insyaAllah.


Saya sendiri secara peribadi sangat bersyukur ke hadrat Allah dan berterima kasih kepada semua lantaran peluang bersama kalian dalam pertemuan seketika itu benar-benar satu nikmat. Saya menikmati kesegaran ilmu dan fikrah. Saya juga menikmati manisnya kesempatan bersama di dalam halaqah zikir, taubat dan munajat. Dan, yang paling membahagiakan ialah pertemuan antara hati-hati yang diikat dengan perasaan persaudaraan yang kuat berpaksikan kepada prinsip keyakinan dan jalan perjuangan yang satu.


Itulah manisnya tarbiyah, bagi hati yang hangat dengan getaran iman… semoga berkekalan!


http://pusattarbiyah.blogspot.com/ >>> **********nanti buat bnyak lagi pgram macam ni,..bagus, blh g lagi,...he he.... :)

Al-Quran Milik Siapa?

“Sepatutnya sudah lama benda al-Quran ini dibaca dan digunakan dengan meluas oleh semua orang termasuk oleh orang Cina”. (Berita TV1 pada pagi 6 April 2009 dan rancangan Berita TV9 jam 8.00 malam).


Inilah lebih kurang, bunyi kata-kata saya sewaktu diminta mengulas penggunaan dan sebutan ayat al-Quran oleh Exco Kerajaan Negeri Perak, YB. Nga Ko Ming. Sebagai penjelasan lanjut, izinkan saya berkata begini:

Islam ini pada dasarnya diturunkan untuk membawa petunjuk. Ia sumber hidayah. Ia menjadi rahmat dan penawar. Nilai gunanya adalah untuk seluruh semesta alam. Ia bersifat “rahmatal lil ‘alamiin.” Ia berguna untuk seluruh umat manusia tanpa mengira perbezaan kaum, suku bangsa, warna kulit dan bahasa.

Sepatutnya, al-Quran itu boleh digunakan dengan jujur dan ikhlas oleh penggunanya tanpa mengira sesiapa. Pada saya, kesediaan YB. berkenaan yang cenderung menggunakan ayat al-Quran adalah satu permulaan kepada satu perkembangan yang cukup menggalakkan. Tidak ada sebab ia tidak dialu-alukan.

Jika dalam zaman awal Islam pun, Abu Lahab yang bukan Islam itupun diizin membaca dan memahami surah Al-Lahab yang mencela beliau, maka apa pilihan kita untuk menutup hak bukan Islam untuk mendekati, membaca dan cuba memahami al-Quran?

Isu ini bermula sebaik sahaja sesetengah pihak mencetuskan keresahan demi meraih perhatian untuk mendapatkan populariti dan simpati ke atas diri mereka. Saya diberi faham bahawa isu asal hanyalah kecil. Isu yang berbangkit ialah nama surah sahaja yang disebut salah tetapi ayat yang dikutip dan diterjemahan adalah betul.

Bacaannya masih OK; cuma intonasi dan sebutannya saja yang sedikit tersalah. Tetapi, tidaklah pula bacaannya itu sebaik seorang qari musabaqoh atau tilawah. Hatta, ada juga orang Islam baka, yang sudah lama Islamnya sekalipun; masih tidak sempurna dari segi tertib dan tartil, dari segi sebutan dan tajwid serta lafaz panjang pendeknya.

"...إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ"

Apa yang saya nampak, YB. berkenaan tidak mentafsir. Dia cuma membaca terjemahan "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan". Dia terjemah perkataan “ehsan” sebagai 'belas kasihan'. Itu sahaja.

Dalam Islam, ada satu perkara yang disebut “Li iilaafi-quraisy“ seperti yang terkandung didalam surah Quraisy ayat 1. Maksud bergerak dari kalimat ini saya ertikan sebagai “menjinak atau menjinakkan.” Menjinakkan siapa, jika tidak orang-orang yang belum Islam kepada Islam?

Disini, apa salah orang Cina jika dia membaca Quran dengan tujuan untuk berjinak-jinak dengan Islam? Jika katakan tersalah (katakan), maka dengan lemah lembut dibetulkan. Tidak berbangkit sama sekali soal keperluan laporan polis oleh sesiapa.

Pada saya, ini percubaan menutup ruang dan menyekat langsung laluan non-Muslim mendekati Islam seperti yang pernah dilakukan oleh sebahagian dari penguasa masjid di tempat-tempat tertentu yang menghalang orang non Islam dari memasuki masjid.

Sedangkan dalam surah ‘Abasa, jelas yang Nabi SAW menerima, menegur dan membimbing orang Islam dan non-Muslim di dalam masjid.

Berbalik kepada isu, jika orang Cina baca salah, maka apa jaminan yang orang Melayu yang kebanyakannya datang dari jenis Islam baka ini pun turut tidak salah? Hal ini boleh disahkan oleh guru-guru tajwid seluruh negara pada bila-bila masa.

Ambil saja surah al-Fatihah yang menjadi ummul kitab. Saya tidak suka mencabar tetapi saya hampir pasti akan kekurangan yang juga turut melanda orang Melayu yang diperanakkan dalam suasana Islam sepenuhnya ini.

Satu lagi ialah apa gunanya Quran jika tidak untuk dibaca? Bagaimana orang bukan Islam mahu memahami jika diharamkan mereka dari bertatih membaca al-Quran. Ini permulaan. Kita kena faham.

Hatta, Saidina Umar sendiri diwaktu belum Islam (kufur) sekalipun direkodkan pernah merampas sesuatu dari tangan adik beliau. Beliau lalu mendapati bahawa ia satu tulisan dari Surah Toha lalu beliau membacanya dalam keadaan genggam dan lepas.

Sebenarnya kufur zaman dulu adalah orang Cina atau Indialah di zaman sekarang. Sepatutnya, kita berbangga apabila orang bukan Islam boleh memetik dan cuba-cuba membaca ayat dari kitab suci kita.

Salah satu punca kelemahan dalam menguasai ilmu pembacaan al-Quran ini ialah tidak dapat menguasai tulisan jawi. Ini kerja siapa jika tidak mereka yang memperjuangkan “dasar anti- jawi”? Dalam keadaan mereka yang meninggalkan Quran dan telah membunuh tulisan jawi itu, tiba-tiba, apabila ada pemimpin Cina membaca Quran dalam pelat yang dipandang salah, mereka sibuk mendesak DAP mengemukakan permohonan maaf secara terbuka. Disini soalan pertama saya, mana lebih besar dosanya, menolak Quran dan mengherdik hukum Islam atau dosa cuba membaca al-Quran?

Soalan kedua saya, apa kata, jika dalam satu masa terdekat, ada pihak yang dapat buktikan yang ada juga pemimpin Melayu Muslim yang membaca Quran dengan salah? Mahu atau wajarkah mereka dimalukan dengan dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka?

Dalam hal begini saya lebih gemar kita semua melakukan muhasabah. Jika takdirnyalah, rakan-rakan kita dari yang “belum Islam” ini ada kekurangan dari segi sebutan ayat-ayat Quran, kenapa kita tidak berfikir untuk adakan kelas-kelas asas pengenalan ilmu al-Quran kepada non-Muslim?

Dalam hal ini, gunakanlah semua rangkaian radio dan televisyen kita untuk mengadakan slot-slot rancangan berupa kelas “mesra al-Quran” seperti yang ada dalam rancangan “learn a word a day” atau belajarlah satu perkataan satu hari.

Mungkin juga ia boleh disusuli dengan kelas-kelas malam percuma di semua masjid dan surau. Mungkin juga, kelas-kelas tuisyen malam disekolah-sekolah boleh juga diatur seperti sistem sekolah dewasa di awal tahun 60 han.

Atau, kita ada IKIM, JAKIM, YADIM, dan Jabatan-Jabatan Agama Islam setiap Negeri. Saya percaya, kita boleh melakukan sesuatu; mengambil kesempatan dan menafaat dari trend keghairahan baru yang sihat ini demi membangun bersama Islam dan mendekatkan non-Muslim kepada Islam.

Di sini, tidak bolehkah kita sama-sama cuba berfikir dalam kerangka pemikiran sebuah kerajaan. Janganlah terlalu mahu berpolitik secara berparti dalam serba-serbi sehingga segenap perkara hendak dipolitik mengikut syak wasangka kepartian. Sikit-sikit menuntut maaf. Sikit-sikit laporan polis. Sikit-sikit perkara perkauman, menghasut, sensitif dan boleh menimbulkan pecah belah.

Jika kita tidak sensitifkan isu ini maka tidak sensitif lah ia. Perkara ini bukannya susah sangat tetapi sengaja nak dikeliru dan nak disusah-susahkan. Sekarang, orang sudah ramai yang cerdik. Ini khususnya dikalangan orang-orang muda. Mereka biasanya lebih cepat menghidu dan dapat membezakan terus antara durian dengan tempoyak.

Sebagai penutup, mari kita mendalami keluhan dukacita YB. Nga di atas isu yang sengaja ditimbulkan. Kata beliau, “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”


Nik Abdul Aziz Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
Tanggal: 7 April 2009
dipetik daripada: http://www.blogtokguru.com

Wednesday, April 15, 2009

KELAS KAFA (AL-QURAN & FARDHU AIN) di SM JENGKA 16

Pelajar menunggu giliran utk mmbaca Al-Quran

Semalam adalah hari yang pertama saya menjejakkan kaki saya ke SM Jengka 16. Saya telah di lantik menjadi guru KAFA di sekolah tersebut kerana masih tiada guru KAFA di aspura.


Pada asalnya saya di minta untuk mengendalikan kelas tersebut pada hari
Isnin, Selasa & Khamis, namun saya hanya free pada hari Selasa shaja. Saya hanya akan datang ke kelas KAFA ini pada hari SELASA. Pada hari Isnin& khamis, saya telah memberi tawaran kepada Us Halim yang juga mengajar di Maahad SAS kerana beliau tiada apa-apa aktivi mengajar pada waktu petang.

Walaupun keletihan, saya tetap terima tawaran ini, kerana memikirkan tanggungjawab yang terpundak di bahu ini. bila difikirkan para nabi dan rasul serta sahabat dan ulama2 terdahulu tidak pernah jemu menyampaikan ISLAM sehingga kini saya dan kita semua dapat mengecapi nikmat Iman dan ISLAM..... saya bersyukur.... mudahan dgn usaha yg sedikit ini Allah menilainya sebagai amal yang baik..... sahabat pembaca, doakan saya thabat!!!!!! syukran!!!!

Tuesday, April 14, 2009

HUKUM ORANG BUKAN ISLAM MEMBACA AL-QURAN


Berikut adalah fatwa dari Syeikh Atiyyah Saqr (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar)seperti yang terdapat di dalam kitabnya Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam:

Soalan:

Saya merupakan seorang guru al-Quran al-Karim dan Bahasa Arab. Terdapat nas-nas al-Quran al-Karim dalam sukatan pelajaran yang perlu dipelajari oleh semua pelajar dan antara mereka adalah orang Islam dan bukan Islam. Maka adakah boleh orang bukan Islam membaca dan menghafal ayat-ayat al-Quran al-Karim?

Jawapan:

Berkata sebahagian ulama: Golongan bukan Islam tidak ditaklifkan dengan syariat dan hukum-hakam Islam kerana asal syariat tidak terdapat di sisinya. Maka mereka tiadalah halangan (boleh) untuk membaca, membawa dan menyentuh al-Quran al-Karim walaupun tanpa wudhuk. Manakala sebahagian ulama lagi berpendapat: Golongan bukan Islam turut ditaklifkan dengan hukum-hakam dan permasalahannya. Mereka juga akan dihisab oleh Allah Taala di atas pentaklifan syariat ini. Maka mereka tidak dibolehkan untuk membaca, menyentuh atau membawa al-Quran al-Karim jika tidak berada di dalam keadaan bersuci. Jika perkara itu masih lagi terdapat khilaf maka tiadalah halangan (boleh) dari mengambil salah satu pandangan ulama khususnya jika terdapat keadaan yang memerlukan yang demikan.

BAGAIMANA MENGHADAPI KHILAF INI?

Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud:

Tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya.
(Lihat kitab: al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).

Maksud kaedah ini (di atas) secara lebih jelasnya ialah kita tidak boleh menafikan, membantah atau menuduh orang lain adalah tidak betul atau salah kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam perkara yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika dilihat fenomena hari ini terdapat segelintir golongan yang menyanggah dan menyalahi kaedah ini lantas menyalahkan orang lain yang tidak sependapat dengannya. Malah mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah di antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam di Malaysia khususnya semenjak sekian lama.

Friday, April 10, 2009

LIQA' GURU LELAKI

Alhamdulillah, setelah mengajar di Maahad SAS, kali ini kali yang ke dua saya bersama mengikuti liqa' ini. Pada minggu lepas kali pertama. Saya kira liqa' ini cukup baik dan mestilah di teruskan dengan agenda yang lebih baik dan saya amat mengharapkan agar penyertaan di kalangan guru-guru lelaki semakin baik.

Saya juga berharap agar semua pihak dapat memberikan kerjasama serta memikirkan cara yang terbaik untuk menarik lebih ramai untuk hadir ke dalam liqa' ini.

Semalam saya hadir dengan penuh debaran kerana saya telah ditaklifkan untuk memberikan sedikit pengisian dalam liqa' ini.

Saya terasa begitu kerdil kerana dihadapan saya semuanya ustaz2 yang hebat belaka. Saya bercadang untuk menggunakan kitab syarahan Wasiat Sepuluh Imam AlBanna. Namun sebelum membuka kitab tersebut, saya memulakan dengan tazkirah yang bertajuk teka-teki Imam Al-Ghazali kepada anak muridnya. Seingat saya teka-teki ini pernah saya sampaikan sewaktu berada di tingkatan 5 SMA Al-Khairiah. Waktu itu saya ditaklifkan menyampaikan tazkirah di perhimpunan sekolah.


Respon dan penambahan yang diberikan oleh Syeikh Ali. Penterjemah us Aidil.

Suka juga ingin saya kongsikan dengan semua teka-teki yang penuh dengan manfaat. mudah2an dapat menginsafi kita serta memberi satu ingatan kepada kita dalam usaha untuk kita mendekatkan diri kepada Allah....


TEKA-TEKI IMAM AL-GHAZALI


Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya :

Soalan pertama

Imam Ghazali : Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?

Murid 1 : Orang tua

Murid 2 : Guru

Murid 3 : Teman

Murid 4 : Kaum kerabat

Imam Ghazali : Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran:185) .



Soalan kedua
Imam Ghazali : Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?

Murid 1 : Negeri Cina

Murid 2 : Bulan

Murid 3 : Matahari

Murid 4 : Bintang-bintang

Iman Ghazali : Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.



Soalan ketiga

Iman Ghazali : Apa yang paling besar didunia ini ?
Murid 1 : Gunung
Murid 2 : Matahari

Murid 3 : Bumi

Imam Ghazali : Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU(Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka .



Soalan keempat

Imam Ghazali : Apa yang paling berat didunia ?

Murid 1 : Baja

Murid 2 : Besi

Murid 3 : Gajah

Imam Ghazali : Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung,dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah(pemimpin) di duni! a ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.'



Soalan kelima

Imam Ghazali : Apa yang paling ringan di dunia ini ?

Murid 1 : Kapas

Murid 2 : Angin

Murid 3 : Debu
Murid 4 : Daun-daun

Imam Ghazali : Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat.



Soalan keenam
Imam Ghazali : Apa yang paling tajam sekali didunia ini ?


Murid- Murid dengan serentak menjawab : Pedang Imam Ghazali : Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA . Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.


Semoga mendapat manfaat!!! Siiru 'ala barakatillah....

Thursday, April 09, 2009

MASJID IMAM AL-GHAZALI, MAAHAD SAS

Surau al-Ghazali, MaahadSAS, yang terletak lebih kurang 450 meter dari pintu besar Ma'ahadsas telah dinaik taraf sebagai masjid. Ianya mula berkuatkuasa pada 17 Disember 2008, bersamaan 19 Zulhijjah 1429 apabila kebenaran mendirikan solat Jumaat Sementara telah dikeluarkan oleh Pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. Sebelum itu Jabatan Mufti, setelah membuat penelitian mengikut hukum syarak telah mengesahkan bahawa permohonan mendirikan solat Jumaat telah dibenarkan pada 5 disember 2009.

Sehubungan itu pihak sekolah telah membuat pengumuman dan mewar-warkannya pada seluruh warga Maahad dan ahli-ahli kariah bahawa solat Jumaat pertama akan diadakan pada 9 Januari 2009. Imam dan khatibnya yang pertama adalah Pegawai Agama Islam Daerah Jengka iaitu Tuan Haji Bunyamin bin Abdul Ghani


(Khutbah pertama oleh PAID Jengka, Tuan Haji Bunyamin Abdul Ghani pada 9 Januari 2009)

Perancangan untuk menaik taraf surau ini sebagai masjid dan mendirikan solat Jumaat telah dibuat setelah mengambil kira beberapa aspek. Selama ini pelajar terpaksa berjalan kaki sejauh 3 kilometer ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah jika bas sekolah yang selalu “uzur” mengalami kerosakan atau ketiadaan pemandu. Tambahan pula dua buah masjid di Bandar Jengka ini iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah dan Masjid Uwais al-Qarni dalam kampus UiTM tidak lagi dapat menampung solat Jumaat dengan selesa. Ini disebabkan oleh pertambahan penduduk bandar Jengka yang mencecah 18,000 orang. Dalam masa yang sama UiTM sendiri merancang untuk menambah penuntutnya sehingga 10,000 orang. Berdasarkan statistik terkini, wilayah Jengka keseluruhannya berjumlah 200,000 orang.


OBJEKTIF

Adalah diharapkan, dengan penaikan taraf ini, pihak sekolah akan dapat mendidik dan melatih imam-imam muda dengan lebih efektif. Imam-imam muda ini nanti akan dipilih dari 25 rancangan Felda yang ada dan mudah-mudahan mereka akan menjadi pemangkin untuk melahirkan generasi yang cintakan masjid di tempat masing-masing.

PERANCANGAN

Masjid al-Ghazali ini dengan keluasan sedia ada iaitu 60 x 60 dan dua anjung di kiri dan kanannya, dapat menampung seramai 600 orang jemaah pada satu-satu masa. Pihak sekolah sedang merancang untuk meluas dan melebarkan kedua-dua anjung ini. Mesyuarat Penyelarasan Masjid yang pertama telah diadakan pada hari Jumaat 27 Mac 2009 / 30 Rabiul Awwal 1430 dan membincang beberapa perkara seperti taqwim, tazkirah sebelum solat Jumaat dan beberapa perkara berkaitan solat Jumaat.

SUMBANGAN DAN DERMA

Masjid al-Ghazali telah menerima sumbangan orang ramai berupa permaidani dan sejadah. Namun, pihak masjid masih mengharapkan sumbangan masyarakat untuk mendapatkan naskhah-naskhah al-Quran atau surah Yaasin, ma'thurat, rak-rak buku dan vacuum cleaner

(Masjid al-Ghazali dari satu sudut)

(Di sebelah dalam dari anjung kiri)

( Kuliah maghrib adalah agenda program harian masjid )

(Dari anjung kanan, di sebalik tabir)

(Kaligrafi di anjung kiri)

Wednesday, April 01, 2009

April Fool: Antara Barat dan Keparat !!!!

“Kawan saya ni memang hidup cara Barat. Biar pun baik hatinya, tapi akhirnya bercerai juga dengan isteri. Apa nasihat yang patut diberi kepada orang macam ni, ustaz?” tanya salah seorang hadirin dalam program ceramah saya.

“Hidup cara Barat itu tidak menjadi punca masalah, jika yang dimaksudkan itu ialah bercakap bahasa Inggeris, makan makanan Eropah atau berpakaian mengikut format orang sana,” saya cuba menyuluh perspektif.

Di Barat sendiri, jumlah mereka yang memeluk Islam cukup tinggi. Jika Islam bertentangan dengan Barat, tentu sulit untuk orang Barat menerima Islam.

“Maka apa yang diperlukan oleh sahabat tuan itu, ialah meninggalkan dosa-dosa yang dianggap Barat, serta menyuntik kesedaran tentang persoalan hidup ini untuk apa. Sebagaimana yang kita bincangkan sebentar tadi,” saya menyudahkan jawapan.

Seorang Barat yang memeluk Islam, akan terus bercakap bahasa Barat, makan makanan Barat, beribu bapakan orang Barat, beradik beradikkan manusia Barat, dan terus menjadi Muslim yang tulen di Negara Barat. Apa yang ditinggalkan hanyalah bahasa carut dalam kerosakan budaya Barat, makanan haram dalam hidangan Barat, dan mengenepikan perbezaan aqidah ibu bapa dan adik beradik dalam hubungan sosial. Itu sahaja.

Seseorang boleh menjadi moden tanpa perlu menjadi Barat. Seseorang itu juga boleh menjadi Barat tanpa perlu menjadi Keparat!

BARAT DAN KEPARAT

Ya, jika ahli politik seperti Ataturk keliru di antara proses modernisasi (modernization) dengan proses pembaratan (westernization), kita pula ramai yang keliru di antara Barat dengan Keparat.

Ramai yang cuba untuk meniru kehidupan Barat berubah menjadi Keparat. Malah kerana ‘yang mengikut’ selalunya lebih teruk dari ‘yang diikut’, kita menjadi lebih Keparat dari Barat. Entah kenapa, benda yang elok-elok dari Barat tidak hendak diikut. Yang busuk-busuk dan keparat itu juga yang didambakan.

Malah yang Kristian pun ramai juga yang keliru antara Kristian dan Barat. Kristian adalah agama yang lahir di Timur, tetapi ada pula yang bertaqlid dengan agama Kristian supaya ‘menjadi Barat’, malah memperalatkan agama Kristian untuk menjustifikasikan perbuatan keparat sesetengah mereka.

Kelemahan jati diri bangsa kita yang mengkeparatkan diri untuk kelihatan Barat, menyebabkan saya hilang upaya untuk mengulas tentang budaya April Fool. Tidak perlulah dibahas-bahaskan sangat latar belakang sejarahnya, mana yang betul, mana yang salah. Huraian tentang sejarah April Fool itu sendiri pun banyak yang fool.

Jelasnya ia fool!

Terungkap pada sabda Nabi SAW:

lubangdhab.jpg

“Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak (dhab) nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?”

[Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang