Thursday, April 09, 2009

MASJID IMAM AL-GHAZALI, MAAHAD SAS

Surau al-Ghazali, MaahadSAS, yang terletak lebih kurang 450 meter dari pintu besar Ma'ahadsas telah dinaik taraf sebagai masjid. Ianya mula berkuatkuasa pada 17 Disember 2008, bersamaan 19 Zulhijjah 1429 apabila kebenaran mendirikan solat Jumaat Sementara telah dikeluarkan oleh Pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. Sebelum itu Jabatan Mufti, setelah membuat penelitian mengikut hukum syarak telah mengesahkan bahawa permohonan mendirikan solat Jumaat telah dibenarkan pada 5 disember 2009.

Sehubungan itu pihak sekolah telah membuat pengumuman dan mewar-warkannya pada seluruh warga Maahad dan ahli-ahli kariah bahawa solat Jumaat pertama akan diadakan pada 9 Januari 2009. Imam dan khatibnya yang pertama adalah Pegawai Agama Islam Daerah Jengka iaitu Tuan Haji Bunyamin bin Abdul Ghani


(Khutbah pertama oleh PAID Jengka, Tuan Haji Bunyamin Abdul Ghani pada 9 Januari 2009)

Perancangan untuk menaik taraf surau ini sebagai masjid dan mendirikan solat Jumaat telah dibuat setelah mengambil kira beberapa aspek. Selama ini pelajar terpaksa berjalan kaki sejauh 3 kilometer ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah jika bas sekolah yang selalu “uzur” mengalami kerosakan atau ketiadaan pemandu. Tambahan pula dua buah masjid di Bandar Jengka ini iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah dan Masjid Uwais al-Qarni dalam kampus UiTM tidak lagi dapat menampung solat Jumaat dengan selesa. Ini disebabkan oleh pertambahan penduduk bandar Jengka yang mencecah 18,000 orang. Dalam masa yang sama UiTM sendiri merancang untuk menambah penuntutnya sehingga 10,000 orang. Berdasarkan statistik terkini, wilayah Jengka keseluruhannya berjumlah 200,000 orang.


OBJEKTIF

Adalah diharapkan, dengan penaikan taraf ini, pihak sekolah akan dapat mendidik dan melatih imam-imam muda dengan lebih efektif. Imam-imam muda ini nanti akan dipilih dari 25 rancangan Felda yang ada dan mudah-mudahan mereka akan menjadi pemangkin untuk melahirkan generasi yang cintakan masjid di tempat masing-masing.

PERANCANGAN

Masjid al-Ghazali ini dengan keluasan sedia ada iaitu 60 x 60 dan dua anjung di kiri dan kanannya, dapat menampung seramai 600 orang jemaah pada satu-satu masa. Pihak sekolah sedang merancang untuk meluas dan melebarkan kedua-dua anjung ini. Mesyuarat Penyelarasan Masjid yang pertama telah diadakan pada hari Jumaat 27 Mac 2009 / 30 Rabiul Awwal 1430 dan membincang beberapa perkara seperti taqwim, tazkirah sebelum solat Jumaat dan beberapa perkara berkaitan solat Jumaat.

SUMBANGAN DAN DERMA

Masjid al-Ghazali telah menerima sumbangan orang ramai berupa permaidani dan sejadah. Namun, pihak masjid masih mengharapkan sumbangan masyarakat untuk mendapatkan naskhah-naskhah al-Quran atau surah Yaasin, ma'thurat, rak-rak buku dan vacuum cleaner

(Masjid al-Ghazali dari satu sudut)

(Di sebelah dalam dari anjung kiri)

( Kuliah maghrib adalah agenda program harian masjid )

(Dari anjung kanan, di sebalik tabir)

(Kaligrafi di anjung kiri)

0 comments: