سبحان الذى خلق الأزواج كلها مما تنبت الأرض ومن أنفسهم ومما لا يعلمون
Maksudnya: Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. [Yaasin: 36]
Baitul Muslim biasanya dikaitkan dengan perkahwinan. Lebih tepat lagi baitul muslim memberi pengertian proses pembinaan rumahtangga yang berlandaskan syariat dan peraturan yang ditetapkan di dalam agama Islam. Malah Baitul Muslim juga dikatakan sebagai permulaan dakwah ke arah pembentukan masyarakat dan negara Islam dan ianya juga menjadi medan pentadbiran Khilafah kecil.
Perkahwinan juga digambarkan sebagai sebuah kumpulan masyarakat yang kecil dimana sistem pentadbiran Khilafah kecil ini mampu dilaksanakan mengikut method yang digunapakai oleh Nabi SAW di dalam firman Allah yang bermaksudnya: "Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, akibatnya, engkau akan menjadi dari golongan yang dikenakan azab seksa. Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman". [ Al-Syuaraa’: 213, 214 & 215 ]
Allah SWT juga berfirman dengan maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam suatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya". [An-Nisa’: 58 & 59].
Perkahwinan merupakan suatu jalan yang sah di sisi syarak bagi menghalalkan perhubungan di antara seorang lelaki dengan seorang wanita. Allah SWT berfirman;
ومن كل شئ خلقنا زوجين لعلكم تذكرون
"Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami)". [Al-Dzariyaat: 49]
Manakala khilafah pula memberi maksud menegakkan agama Islam dan mentadbir dunia mengikut ajaran dan undang-undang Islam.
ومن لم يحكم بما أنزل الله فأولئك هم الكافرون
"Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir". [Al-Maaidah: 44]
Institusi kekeluargaan Islam merupakan suatu institusi yang diwahyukan. Ia terbentuk bukan berdasarkan pengalaman hidup atau melalui proses pencarian manusia (human discovery). Kalau dilihat dari segi kepentingan sosial, institusi perkahwinan merupakan suatu bentuk pembahagian tugas antara manusia, di mana para suami bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak masing-masing.
Simboliknya, para suami dianggapkan sebagai pemimpin sebuah negara manakala isteri dan anak-anak diumpamakan sebagai rakyat jelata yang memerlukan bimbingan dan pimpinan daripada ketua negara. Rasulullah SAW bersabda;
كلكم راع وكلكم مسؤل عن رعيته
[ Setiap daripada kamu adalah pengembala dan kamu semua bertanggungjawab terhadap gembalaannya ].
TUGAS KHALIFAH DAN KETUA KELUARGA
Firman Allah Taala ;
وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku". [Al-Dzariyat: 56]
Tugas besar seorang khalifah adalah mengembalikan rasa kehambaan di dalam diri manusia agar mereka merasai bahawasanya Allah SWT sahaja yang layak untuk ditakuti dan mengakui bahawasanya Islam adalah sebagai penyelesai segala masalah yang timbul dikalangan manusia.
Kesilapan besar yang dilakukan oleh manusia mutakhir ini adalah mencari jalan selain daripada ajaran Islam sebagai penyelesai permasalahan di dalam kehidupan. Sedangkan Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran;
أفغير الله أبتغى حكما وهو الذى أنزا إليكم الكتاب مفصلا والذين ءاتيناهم الكتاب يعلمون أنه منزل من ربك بالحق فلا تكونن من الممترين
"(Katakanlah wahai Muhammad): “Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dialah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan salah)?” Dan orang-orang yang Kami berikan Kitab, mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu". [Al-An’aam: 114]
Di atas sebab ini seorang Khalifah wajib untuk mengembalikan kefahaman rakyat dengan melaksanakan segala perintah dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sehinggalah mereka mampu untuk kembali ke jalan Allah dan menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama di dalam meneruskan kehidupan.
Di dalam konteks kekeluargaan pula, ayat Allah yang berbunyi ;
يا أيها الذين أمنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا وقودها الناس والحجارة عليها ملائكة غلاظ شداد لا يعصون الله ما أمرهم ويفعلون ما يؤمرون
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya; manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan". [Al-Tahrim: 6]
Ayat ini memberikan panduan untuk memandu dan mencorak rumahtangga yang diredhai oleh Allah Taala. Perkara ini diajarkan sendiri oleh Nabi SAW di dalam mengurus rumahtangga baginda. Allah Taala berfirman yang bermaksud : "Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: “Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah)dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut’ah (saguhati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. Dan sekiranya kamu semua mahukan keredhaan Allah dan Rasul-Nya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu pahala yang besar". [Al-Ahzab: 28 & 29]
Wala’ & Ketaatan Kepada Pemimpin
Setelah cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, maka wajib bagi setiap muslim untuk mencintai para wali-wali Allah dan membenci musuh-musuh-Nya. Termasuk dari dasar-dasar aqidah Islam, bahawa setiap muslim yang beragama Islam wajib untuk:
1. Berwala’ (sikap setia, loyal) terhadap orang-orang yang beraqidah Islam dan memusuhi orang-orang yang menentangnya.
2. Mencintai orang yang bertauhid yang mengikhlaskan ibadahnya untuk Allah.
3. Membenci orang-orang musyrik yang memusuhi akidah tersebut.
Imam Hassan Al-Banna Rahimahullah menyebutkan apa yang perlu di fahami di dalam konsep ketaatan ini adalah “melaksanakan perintah dan melakukannya ketika susah, senang sihat dan sakit”. Namun terdapat beberapa pengecualian daripada memberikan ketaatan kepada pemimpin samada daripada peringkat pimpinan negara mahupun keluarga sebagaimana yang diterangkan di dalam hadis Nabi salallahualahi wasalam ;
على المرء المسلم السمع والطاعة فيما أحب وكره إلا أن يؤمر بمعصية فإن أمر بمعصية فلا سمع ولا طاعة
[ Wajib ke atas setiap individu muslim dengar dan patuh (arahan kepimpinan) pada setiap perkara yang disukai dan dibenci kecuali apabila disuruh untuk melakukan maksiat. Apabila disuruh untuk melakukan maksiat maka tidak akan ada ketaatan padanya ].
Oleh kerana itu, terdapat beberapa perkara yang ditetapkan oleh Islam untuk memilih pemimpin iaitu;
1. Keimanan yang kuat kepada Allah SWT.
2. Memiliki sifat taqwa kepada Allah SWT.
3. Amanah dan ikhlas
4. Cergas dan kuat.
5. Tidak kasar dan keras hati.
Di dalam sudut perkahwinan juga digalakkan untuk para pasangan untuk mengutamakan agama lebih daripada segala-galanya sebagaimana yang disebut di dalam hadis yang masyhur ;
تنكح المرأة لأربع، لمالها، ولحسبها، وجمالها، ولدينها، فاظفر بذات الدين تربت يداك
[ Dinikahi wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana pangkatnya dan kecantikannya dan kerana agamanya. Maka utamakanlah wanita yang memiliki agama nescaya akan beruntung kedua tanganmu ].
Kesimpulannya, sebuah rumahtangga adalah sebuah kelompok masyarakat kecil dan di dalam khilafah kecil inilah setiap pasangan mampu untuk memasyarakat hukum dan perundangan Allah SWT secara menyeluruh. Malanglah bagi mereka yang tidak menjadikan Al-Islam sebagai cara hidup kerana melalui pengamalan hidup berlandaskan agama inilah yang mampu untuk menjamin kesejahteraan di dunia dan di akhirat seterusnya mampu untuk melahirkan sebuah negara Islam yang syumul dan mencapai darjat ;
بلدة طيبة ورب غفور
[ negara yang baik dan mendapat keampunan daripadaNya (Allah Taala) ].
Wallahu A’lam.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Rujukan:
1. Al-Quran Al-Karim dan terjemahannya.
2. Nizom Al-Usrah Fi Al-Islam; Dr. Ali Yusuf Al-Subki.
3. Risalatu Al-Taalim; Muhammad Abdullah Khatib & Muhammad Abdul Halim Hamid.
4. Min Fiqh Al-Daulah Fi Al-Islam; Dr. Yusof Al-Qaradawi.
5. Maza Ya’ni Intimai Li Al-Islam; Fathi Yakan.
6. Kaunseling Perkahwinan Menurut Perspektif Islam; Dr. Siti Zalikhah Md Nor.
>> http://thaqafah.coconia.net/
0 comments:
Post a Comment