Saturday, September 05, 2009

Seruan Ramadhan: Biarkan al Quran Menyentuh Jiwa Mu

Sejarah menyaksikan bagaimana generasi sahabat yang mendapat sentuhan keimanan dari Rasulullah SAW benar-benar tersentuh dengan al Quran. Kata Hassan Al Banna bagi mereka al Quran umpama arus elektrik, semakin sensitif jiwa mereka semakin terasa sentuhan al Quran.

Hati mereka benar-benar tersentuh sehingga tidak ada sesuatu yang membatasi antara keduanya. Hati mereka berhubungan dengan arus tersebut, menyerapnya, kemudian memancarkan cahayanya, bergerak dengan gerakannya, terpengaruh oleh daya pengaruhnya. Semua ini dihidupkan dan dimunculkan oleh arus tersebut, digerakkan oleh tenaga iman sehingga melahirkan amal dan kesungguhan.” (As Syahid Hassan Al Banna)

Ada sahabat yang menggeletar dan ada yang jatuh pengsan bahkan ada yang rebah dan terus meninggal dunia apabila mendengar ayat-ayat al Quran.

Saidina Umar RA ketika menjadi Khalifah pernah pada suatu malam keluar mengintai keadaan umatnya. Ketika sampai disebuah rumah dia lalu terdengar bacaan al Quran surah at Thur. Ketika sampai ayat yang ke 7 dan 8: “Sesungguhnya azab Tuhanmu pasti terjadi. Tidak seorangpun yang dapat menolaknya”, ketika itu dia berkata, ini memang janji yang benar lalu dia terus rebah dan pengsan. Saidina Aslam yang bersamanya lalu menggendongnya pulang. Saidina Umar RA selepas itu sakit selama sebulan.

Pernah diriwayatkan bagaimana Abu Aufa membaca firman Allah SWT “Maka waktu itu adalah waktu (datangnya) hari yang sulit; bagi orang-orang kafir tidak mudah.” (al Mudatsir:9-10), ia jatuh dari mihrabnya dan terus meninggal dunia.

Begitulah peranan dan sentuhan al quran pada umat pertama hingga mengolah sejarah yang penuh dengan keajaiban. Sejarah yang diwarnai dengan warna-warna keimanan sedangkan segala janji dan ancaman Allah adalah wangiannya. Dengan celupan Robbani inilah terbinanya jiwa-jiwa mereka. Iman menjadi permasalahan awal, utama, besar dan agung. Tidak ada persoalan lain yang boleh mengatasi persoalan Iman. Iman menjadi neraca bagi segala sikap dan laku mereka, Iman menjadi dasar prinsip dan pertimbangan mereka.

Lihatlah ketika tentera Islam dibawah pimpinan Saad ibn Waqash mengambil masa yang terlalu lama untuk menawan satu bandar. Ketika berita ini sampai pada Khlaifah Umar RA yang dihantarnya bukanlah satu batalion tentera tambahan tetapi hanya seorang utusan bersama sekeping warkah darinya. Antara kandungan warkah tersebut “Hendaklah kalian bermuhasabah diri, kemenangan kita adalah kerana maksiat musuh pada Allah SWT. Tetapi sekiranya kitapun melakukan maksiat tentu kita akan kalah dalam peperangan ini; tentera mereka lebih ramai dan senjata mereka jauh lebih baik dari kita”. Akhirnya seluruh tentera Islam bermuhasabah diri serta membetulkan segala kealpaan dan kesalahan serta meminta keampunan Allah SWT diatas segalanya. Akhirnya Allah memberikan mereka kemenangan yang mudah.

Hasil dari sentuhan al Quran, mereka menjadikan Iman sebagai neraca, panduan dan sistem hidup mereka. Mereka bahkan terlalu izzah dengan keimanan dan Islam hingga tidak mampu untuk membandingkan Islam dan sistem hidup yang lain. Islam dilihat sebagai karya dari pelukis agung sedangkan sistem-sistem lain umpama contengan kanak-kanak kecil yang masih belum mengenal erti kehidupan. Mereka merasa malu dan terhina jika di dalam jiwa mereka masih merasa ada pilihan antara Islam dan sistem hidup yang lain.

Al Quran benar-benar dekat dan memberi kesan pada jiwa mereka tetapi hari ini al Quran terasa begitu jauh dari jiwa kita apatah lagi untuk memberi kesan pada jiwa kita. Kenapa? Inilah satu persoalan yang perlu kita hayati dan cari penyelesaiannya.

Syed Qutb dalam bukunya ‘Seni penggambaran Dalam al Quran’ menyebutkan bahawa sekiranya kita benar-benar memahami bahasa al Quran ketika membacanya kita akan terasa seolah-olahnya al Quran ini sebuah filem dengan gambaran dan watak-watak yang hidup.

Sekiranya kita berusaha untuk ‘memahami bahasa iman’ kita melihat satu babak demi satu babak yang menggambarkan suasana dan watak watak yang hidup. Kita akan melihat pergerakan yang menyentuh jiwa serta suasana yang mendebarkan dan menggemparkan jiwa. Ketika kita sedang asyik menghayati ayat-ayat hukum tiba-tiba kita dikejutkan dengan pertanyaan tentang Hari Qiamat.

Al Quran mengemukakan peristiwa yang dapat dirasakan dengan indera, dapat disaksikan dengan mata kepala. Kemudiannya gambaran yang dilukiskannya itu ditingkatkannya dengan memberi kehidupan yang menjelma atau gerakan yang berulangkali terjadi. Pengertian yang diperolehi dalam fikiran lalu menjelma menjadi suatu keadaan atau gerakan. Sedang suasana kejiwaan menjelma, jiwa mula menjadi layar putih atau panggung pertunjukan. Tiba-tiba contoh kemannusiaan mula muncul dan hidup. Lalu peristiwa-peristiwa, pengalaman, cerita dan panorama dihidangkan dalam benruk watak yang hidup (personafikasi) yang terasa begitu dekat dan hidup serta bergerak. Sehingga akhirnya muncul dialog-dialog yang melengkapkan semua unsur-unsur gambaran atau tayangan. (Syed Qutb)

Ketika manusia yang ingin terus ingin melakukan maksiat itu bertanya “bilakah Hari Qiamat” Allah tidak memberikan jawapan dengan menayatakan tarikh atau tempoh masa sedangkan Allah berkuasa melakukannya tetapi Al Quran menjawab dengan satu jawapan yang mendebarkan jiwa dengan segala gambaran yang hidup dan melahirkan suasana kejiwaan yang menakutkan.

"Maka apabila mata terbelalak, dan bulan pun hilang cahayanya, lalu matahari dan bulan dikumpulkan, pada hari itu manusia berkata “Kemana tempat nak lari”. Tidak! Tidak ada tempat berlindung! Hanya kepada Tuhanmu tempat kembali pada hari itu. Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikan. Bahkan manusia menjadi saksi atas dirinya sendiri, meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya....” (Al Qiamah: 7-15)

Tidakkah kita merasai sentuhan Al Quran. Inilah jawapan yang mendebarkan jiwa; Ketika manusia terbelalak, terkejut dan takut melihat dahsyatnya hari Qiamat. Tidakkah kita terbayangkan wajah-wajah yang ketakutan, setelah hidupnya melupakan hari kematian, dosa-dosa dipandang ringan kini mereka melihat alam yang dihancurkan. Gunung ganangnya seperti debu-debu yang berterbangan. Bulan mul terpadam cahayanya dan matahari dan bulan bertembung dan hancur. Tidakkan kita melihat wajah-wajah yang ketakutan itu mencari tempat perlindungan, bukan perlindungan dari gempitanya hari Qiamat tetapi lari dari dosa dan maksiat yang menjadi dara h daging mereka selama ini. Tidak kita merasa sayu dan pilu apabila Allah mengatakan “Tidak! Tidak ada tempat berlindung” tiada lagi tempat untuk kita lari dari azab Allah SWT, bahkan akan dikhabarkan seluruh kejahatan kita hinggakan tidak satupun yang kekal sebagai rahsia, segalanya akan dibongkarkan bahkan seluruh anggota kita akan menjadi saksi.

Begitulah hidupnya gambaran yang diberikan al Quran agar jiwa kita tersentuh. Akhir sekali dibulan Ramadhan ini, marilah kita menghayati satu lagi firman Allah SWT yang merupakan hadith Qudsi. Hayatilah dengan jiwa kita sambil kita menghitung nikmat-nikmat Allah yang tidak terhitung dan dosa dan keengkaran kita yang tidak terbilang. Semoga jiwa kita menjadi lunak dan bersedia untuk mendapat sentuhan Al Quran.
Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Daripada Abu Zar al-Ghifari r.a. daripada Rasulullah SAW berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Baginda daripada Allah SWT bahawa Dia berfirman:

Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya aku mengharamkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku jadikannya di kalangan kamu sebagai suatu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim-menzalimi.
Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua sesat kecuali orang yang Aku hidayatkannya, maka hendaklah kamu meminta hidayat dariKu.
Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka hendaklah kamu meminta makan daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu makan.
Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua telanjang kecuali orang yang Aku berikannya pakaian, maka hendaklah kamu meminta pakaian daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu pakaian.
Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya kamu bersalah siang dan malam dan Aku mengampunkan semua dosa, maka mintalah keampunan daripadaKu nescaya Aku akan ampunkan kamu.
Wahai hamba-hambaKu! Selama-lamanya kamu tidak akan mampu memudharatkan Aku sehingga kamu boleh memudharatkan Aku.
Wahai hamba-hambaKu! Dan selama-lamanya kamu tidak akan mampu memberi manfaat kepada Aku sehingga kamu boleh memberi manfaat kepada Aku.
Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaanKu.
Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanKu.
Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua berhimpun di suatu tempat, lalu mereka meminta daripadaKu (iaitu meminta sesuatu pemberian), lantas Aku kurniakan setiap orang dari kalangan mereka permintaannya, nescaya hal itu tidak mengurangkan sedikitpun apa-apa yang ada di sisiKu kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan sebatang jarum.
Wahai hamba-hambaKu! Bahawa sesungguhnya hanya amalan kamu yang Aku akan perhitungkannya bagi kamu, kemudian Aku sempurnakan pembalasannya. Maka barangsiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan barangsiapa yang mendapat selain kebaikan, maka janganlah dia mencela kecuali mencela dirinya sendiri.

0 comments: