Thursday, November 06, 2008

Menghafal Al-Quran ( 1 )

Assalamualaikum,... terima kasih kepada semua kerana sudi melayari blog nie..... di atas permintaan seorang sahabat yang meminta supaya saya memuatkan artikel berkenaan hafazan Al-Quran....mudahan apa yang dimuatkan ini memberi manfaat kepada semua....Selamat membaca dan beramal....


Menghafal Al-Quran memerlukan kesabaran jitu, kerana ia merupakan mukjizat Allah yang diturunkan kepada nabi besar Muhammad SAW. Al-Quran merupakan cahaya dan ia mudah hilang kerana kegelapan maksiat. Untuk itu cubalah jauhi perbuatan buruk walaupun pada perkara yang ringan seperti mendengar muzik, berbual kosong dan sebagainya. Menurut pendapat penghafal Al-Quran yang berpengalaman, masa yang sesuai untuk menghafal Al-Quran ialah ketika sunyi terutama di waktu pagi. Walaupun begitu, anda harus berlatih untuk menghafal dalam setiap situasi sekadar termampu.




Cara menghafalnya pula berbagai-bagai. Namun kaedah biasa ialah dengan mengulangi 2-3 ayat secara melihat kepada Al-Quran kemudian cuba mengingatinya, setelah itu bolehlah berpindah ke ayat-ayat yang lain. Untuk menguatkan hafalan, anda dikehendaki mengulanginya selalu. Kalau boleh bacakan ayat-ayat yang telah dihafal di dalam solat fardu atau sunat rawatib. Harus diingat menghafal ayat yang baru adalah lebih mudah dari menjaga ayat yang telah dihafal. Oleh kerana itu peruntukkan waktu khusus untuk mengulanginya. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, "sesungguhnya Al-Quran lebih cepat luput dari hati dari hilangnya unta yang terlepas dari ikatannya". Anda hendaklah juga menjaga makanan, agar tidak memakan makanan yang haram atau syubhah, kerana ia boleh memberi kesan kepada mutu hafalan.




Perbanyakkan ibadat sunat dan solat hajat. Jika anda merasa masih terlalu susah hendak menghafal cuba lakukan solat ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Tabrani yang menceritakan bahawa saidina Ali pernah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang hafalannya yang buruk, lalu Rasulullah SAW menyuruhnya mendirikan solat pada tiap-tiap malam Jumaat sebanyak 4 rakaat. Pada rakaat pertama sesudah Al-Fatihah dibaca surah Yaasiin. Pada rakaat kedua sesudah Al-Fatihah dibaca surah Ad-Dukhan, seterusnya pada rakaat ketiga selepas Al-Fatihah dibaca surah As-Sajadah dan pada rakaat yang keempat selepas Al-Fatihah hendaklah dibaca surah Al-Mulk.




Setelah Saidina Ali melakukannya selama 7 kali Jumaat, beliau begitu gembira apabila memberitahu Rasulullah SAW yang beliau telah menghafal Al-Quran dan hadisnya dengan mudah. Diharapkan Allah SWT akan memberi taufik kepada saudara untuk terus menjadi generasi yang memelihara Al-Quran dan hadis-hadis nabi SAW. Untuk keterangan lanjut sila rujuk buku Fadail Al-Quran karangan Ibn Kathir.
    1 - ADAB MEMBACA & MENGHAFAZ AL-QURAN
      1. Ikhlaskan niat.
      2. Bersabar.
      3. Mulakan bacaan dengan Bismillah.
      4. Banyak berdoa kepada Allah s.w.t.
      5. Bersih dari hadas kecil dan besar.
      6. Sebaiknya menghadap kiblat.
      7. Memakai pakaian putih yang bersih dan menutup aurat.
      8. Jangan banyak berkata dan ketawa ketika membaca dan menghafal.
      9. Memberikan tumpuan sepenuhnya.
      10. Jangan membaca ketika mengantuk atau menguap.
      11. Berhenti membaca ketika ingin membuang angin.
      12. Menghormati Al-Qur'an.
      13. Menghormati guru.
      14. Solat dua rakaat sebelum memulakan kelas.

      0 comments: