Sunday, September 28, 2008

Selamat Hari Raya Aidiilfitri

(bersama sahabat di shubra, mesir - aidilfitri 1428H)

Assalamualaikum buat semua... alhamdulillah tahun ini, dengan izin Allah dapat juga saya menyambut ramadhan di malaysia bersama keluarga setelah 3 tahun berturut-turut di mesir... ramadhan & aidilfitri di mesir pastinya tidak akan saya lupakan...

Terima kasih buat teman2 di atas urusan kepulangan saya pada 30 Ogos tempohari.... semoga Allah memberkati jasa2 kalian.....

Sepanjang ramadhan tahun ini, saya telah menjadi imam terawikh jemputan di masjid sultan ahmad shah, bandar jengka. kadang2 waktu cuti @ klu ada imam ganti, saya ditugaskan untuk menajdi imam di masjid jamik jengka 15. Sejak akhir2 ramadhan ni, saya telah di jemput untuk mengimami qiamullail di masjid lama, rantau perintis. apa pun bukanlah satu perkara yang di banggakan, namun ianya hanya satu sumbangan serta penambahan amal apabila ianya difikirkan secara positif... dengan adanya perkara mcm ni, mungkin ianya akan mengajar kita sibuk dengan aktiviti ibadah sepanjang bulan yang mulia ini....

Alhamdulilah juga, setelah pulang ini Allah telah taqdirkan saya mengajar di Tahfiz Rahimiyah, Rantau Perintius BAndar Jengka dan menjadi guru ganti di Maahad SAS. mudhan ianya menjadi sedikit sumbangan saya kepada pelajar-pelajar di situ,....

Di kesempatan bulan ramadhan ini juga saya berkesempatan menziarahi Pejabat yayasan pahang dan kompleks maahad tahfiz di tanjung lumpur. Ziarah pensyarah2 mtq.

Dan tidak melepaskan peluang melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan anjuran PAS cawangan jengka 15- membantu gotong royong majlis berbuka serta PAS cawangan kuala krau-majlis berbuka puasa serta ceramah sempena badar alkubra tempohari...

Rasanya setakat ini dahulu,... di kesempatan ini sukalah saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiilfitri buat keluarga tercinta, dan shbt2 di bumi mesir, di syria, dan yang sedang berada di mekkah al-mukarramah serta tidak dilupakan sahabat2 seperjuangan di bumi malaysia tanahairku.....wassalam...

(bersama sahabat di shubra, mesir - aidilfitri 1427H)

Muhasabah Ramadhan & Sambutan Aidilfitri....

MUHASABAH RAMADHAN


Kita menghampiri kepada pengakhiran bulan Ramadhan. Persoalannya di sini bagaimanakah kita mengisi Ramadhan kali ini?? Cukupkah amalan kita untuk mencapai tingkat orang yang bertaqwa?? Bagaimana dengan puasa kita...

sempurna atau tidak? Bagaimana ibadah kita, bacaan Al-Quran....zikir, selawat solat terawikh .??


Sepatutnya madrasah Ramadhan ini kita gunakan peluang ini dengan sebaiknya... Pastikan diri kita berubah dari sebelum Ramadhan kepada menjadi hamba yang sering mengingati Allah, melazimi lidah dengan Al-Quran dan zikir serta selawat...juga menjadi hamba yang mengambil berat terhadap Solat Jamaah di masjid. Begitulah yang diharapkan dari Ramadhan ...


Amatlah rugi bagi yang melepasi hari-hari Ramadhan tanpa penambahan ibadah, iman dan taqwa. Sesungguhnya belum pasti untuk kita temui Ramadhan 1430H...pastinya nyawa masih di kandung badan, teruskanlah usaha untuk menjadi yang terbaik serta menjadi hamba Allah yang peka terhadap

solat jamaah, bacaan Al-Quran, zikir, selawat dan sebagainya. Nabi SAW bersabda :

للصائم فرحتان يفرحهما, اذا أفطر فرح بفطره واذا لقي ربه فرح بصومه

Bagi orang berpuasa dua kegembiraan, ketika berbuka dan ketika bertemu

Allah. Ketika berbuka pada setiap hari mereka bergembira dengan makanan yang

dimakan, dan ketika berbuka pada akhir Ramadhan, mereka bergembira dengan

kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang merupakan hari kemenangan mereka kerana berjaya melaksanakan kewajipan sebagai hamba Allah serta mendapat kasih sayang daripada Allah dan petunjuk Al-Quran

.

Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita, tetapi ianya bukan bererti kita telah terputus hubungan dengan Allah. Setengah salafusoleh berkata:

بئس القوم قوم لا يعرفون الله الا فى رمضان كن ربانيا ولا تكن رمضانيا

Seburuk-buruk kaum ialah kaum yang tidak pernah kenal Allah kecuali pada bulan Ramadhan sahaja, jadilah kamu hamba Allah pada setiap masa dan ketika, bukannya hamba Allah pada bulan Ramadhan semata-mata, kemudian selepas Ramadhan kembali lalai dan melakukan maksiat kepada Allah. Kerana Tuhan yang kita sembah adalah Tuhan semua bulan, bukannya Tuhan bulan Ramadhan sahaja.

Oleh Kerana itulah, jangan dilupakan bahawa kita dituntut untuk melakukan puasa enam hari pada bulan syawal, supaya setiap umat Islam sentiasa dalam amal ibadat dan taat kepada Allah pada setiap masa.Sabda Rasulullah saw:

من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر أي كأنما صام السنة كله

Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian mengikutinya enam hari pada bulan syawal,maka ganjarannya seolah-olah dia berpuasa setahun keseluruhannya.”


MENYAMBUT ‘IDULFITRI


Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala membalasnya dengan satu hari yang dinamakan ‘Idulfitri atau Hari Raya Fitrah, di mana Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syara‘ dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan

.

Apakah adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya?

Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahih.

Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan ‘Idulfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.

Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas dan Al-Fakih bin Sa‘d Radhiallahu ‘anhum bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadits ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.

Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja‘far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya: Maksudnya: "Bahawasanya Shallallahu ‘alaihi wasallam memakai kain yang bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya." (Hadits riwayat Al-Syafi‘e dan Al-Baghawi)

Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: "Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil.


Wednesday, September 24, 2008

Tips 10 Malam Terakhir



Tips 10 Malam Terakhir



Bulan Ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Wahai muslimin dan muslimat sekalian, rebutlah pahala di sepuluh malam yang terakhir ini sesungguhnya di sepuluh malam yang terakhir ini. “Dimalam itu (Lailatul Qadr) malaikat dan ruh turun dengan izin Tuhan mereka …” (Al-Quran).Pernah dimalam itu Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia, Baitul Izzah. Ramadan 1429H/2008M semakin ruh 10 malam terakhirnya, yakin pahala di salah satu dari malam-malam tersebut digandakan pahalanya sebanyak ibadah yang sama dikerjakan selama 1000 bulan! Itulah malam Lailatul Qadar.


Pada 10 malam tersebut, demi berebut untuk mendapatkannya, Rasulullah saw mengasingkan dirinya dari isteri-isterinya, beriktikaf di dalam Masjid Nabawi, beribadah dan bermunajat kepada Allah swt sambil diikuti oleh para Sahabat ra. Firman Allah swt bermaksud, “Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Quran) dalam malam Lailatul Qadr. Tahukah kamu apa itu malam Lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dalam semua urusan. Salam (sejahtera) malam tersebut hingga naik fajar” (Al-Quran).Diantara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan ialah qiamulail, puasa fardhu, berbuka, solat Tarawih, tilawah Al-Quran, berdoa, zikir, istighfar, memuhasabah diri, merancang untuk amalan diri, keluarga dan Dakwah dan sebagainya.


TipsBeberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul Qadr :
1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama disegi keyakinan, kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu semata-mata, tidak untuk kesibukan lain.


2. Memahami bahawa dimana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada Allah swt dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk “Hari (Akhirat) yang tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera” (Al-Quran).


3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk Iktikaf, siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari. Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah Iktikaf dan Qiyamullail 10 Malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka yang tidak memahaminya.


4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.


5. Jika anda bekerja dibawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika anda tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba berktikaf di masjid sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu 27/9/2008 dan Ahad 28/9/2008.


6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau assignments dari sekarang agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan. Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan mencari tiket nanti.


7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal, sebelum 10 Malam Terakhir, agar kita tidak disibukkan nanti dengan membeli belah, memasang langsir, membuat kuih muih, menyiap atau menjahit pakaian Raya dan sebagainya seperti yang sering berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan 10 malam terakhir Ramadan.


8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang bahkan pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri masing-masing. Madrasah 10 Malam Terakhir Ramadan yang bakal dilalui boleh turut membantu mencapai kearah perubahan tersebut. Semoga Allah mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah menjalani ibadah di bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh rahmah, keampunan dan selamat dari api neraka. Ameen.

Tuesday, September 23, 2008

Pidato Umum Di Jengka

Berbuka Puasa & Ceramah Perdana
PECUTAN TERAKHIR KE PUTRAJAYA

bersama


DATO TUAN IBRAHIM TUAN MAN
(PJ PAS PAHANG/AJK PAS PUSAT)

SDR ABDULLAH KARIM
(EXCO DPP PUSAT/PEGUAM)

UST SUHAIMI SAAD
(PEMANGKU KETUA DPP PAHANG)

23 RAMADHAN/SEPT 08

SELASA MALAM RABU

(LEPAS TARAWIKH)

DTRN MASJID LAMA,

BANDAR PUSAT JENGKA

Tuesday, September 16, 2008

Al-Quran mukjizat terbesar Rasulullah SAW


Kandungan kitab miliki rahsia mengenai kehidupan perlukan kajian mendalam


RABU ini, sekali lagi umat Islam menyambut ulang tahun peristiwa terbesar dalam sejarah Islam iaitu turunnya al-Quran, mukjizat terbesar Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadan yang turut dikenali sebagai Nuzul Quran.


Ada ulama berpendapat al-Quran diturunkan kepada Rasulullah untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia menerusi tiga peringkat. Peringkat pertama, al-Quran diturunkan Allah secara keseluruhannya ke suatu tempat dinamakan Lauhil Mahfudz.


Peringkat kedua, al-Quran dibawa keseluruhannya dari Lauhil Mahfudz ke Baitul Izzah iaitu suatu tempat yang terletak di langit dunia. Proses ini berlaku pada malam lailatul qadar seperti firman-Nya dalam ayat pertama surah al-Qadr: "Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatul qadar."


Seterusnya, al-Quran diturunkan dari langit dunia kepada Nabi Muhammad menerusi perantaraan malaikat Jibrail AS secara berperingkat dan turunnya ayat pertama adalah pada 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos 610.


Peristiwa penurunan ayat pertama hingga kelima dari surah al-Alaq itu juga menjadi petanda kerasulan Nabi Muhammad ketika Baginda berada di Gua Hira, di bukit Jabal Nur berhampiran Makkah.


Ayat itu adalah: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekian makhluk). Ia mencipta manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan penulisan. Ia mengajarkan manusia akan apa yang tidak diketahuinya."


Ayat al-Quran mengandungi 114 surah diturunkan selama 23 tahun dengan 13 tahun di Makkah (1,456 ayat) dan sepuluh tahun di Madinah (4,780 ayat).


Selepas disampaikan Rasulullah, nas al-Quran dipelihara melalui tiga cara iaitu hafalan sahabat, naskhah yang ditulis untuk nabi serta naskhah yang ditulis untuk simpanan sahabat.


Selain itu, Rasulullah turut mengulang ayat al-Quran di hadapan Jibrail setahun sekali dan pada akhir hayat Baginda, Rasulullah khatam al-Quran sebanyak dua kali di hadapan Jibrail. Bagaimanapun, kebanyakan sahabat yang menghafaz al-Quran syahid dalam peperangan menegakkan agama Allah menyebabkan perlunya al-Quran dikumpul dan dijilidkan.


Sejarah penjilidan al-Quran bermula pada pemerintahan Uthman Affan dan setiap nas disusun mengikut tertib ditunjukkan Rasulullah sebelum Baginda wafat. Uthman menubuhkan jawatankuasa khas untuk membukukan al-Quran diketuai Zaid bin Tsabit selain Abdullah bin Zubair, Sa'id 'Ash dan Abdur Rahman bin Harits bin Hisyam.


Jawatankuasa itu mengumpul serta menyalin nas al-Quran hingga dibukukan selain memperoleh lembaran nas yang disalin Abu Bakar as-Siddiq daripada puterinya Hafsah. Antara lain, jawatankuasa itu menjejak penghafaz al-Quran untuk mendengar hafalan mereka dan semua hafalan itu ditulis kembali dalam dialek Quraish untuk mengelakkan perbalahan sesama kaum. Akhirnya, jawatankuasa itu berjaya menyalin serta menjilid lima al-Quran yang dinamakan al-Mushhaf dan empat daripadanya dikirimkan ke Makkah, Syria, Basrah dan Kufah untuk disalin pihak di sana.


Sebuah lagi al-Quran disimpan untuk kegunaan Uthman RA dinamakan Mushhaf al-Imam dan selepas itu, semua lembaran salinan al-Quran yang ditulis sebelum pembukuan dibakar.


Ayat al-Quran turut memiliki rahsia tersendiri mengenai kehidupan yang disampaikan kepada manusia secara jelas atau memerlukan kajian mendalam. Hal ini diakui Allah menerusi firman-Nya: "Inilah ayat-ayat al-Quran yang mengandungi hikmah." (Surah Yunus, ayat pertama).


Allah sudah menerangkan secara jelas mengenai pelbagai fakta sains yang melampaui pemikiran manusia walaupun pada masa ayat al-Quran diturunkan, zaman ketika itu masih dianggap kuno dan belum terdedah kepada ilmu sains.


Antara fakta sains yang ditemui dalam al-Quran iaitu semua cakerawala bergerak secara terapung (Yaasiin: 40), bumi bergerak (An-Naml: 88), atom adalah benda terkecil (Yunus: 61), semakin tinggi semakin sukar bernafas (Al-An'aam: 125), makhluk berpasangan (Adz-Dzaariyaat: 49), proses kejadian manusia (Al-Mu'minuun), kegunaan besi (Al-Hadiid: 25) dan langit yang terkawal (Al-Anbiyaa': 32).


Selain itu, kajian lain yang dijalankan mendapati jumlah sesetengah perkataan yang berlawanan dalam bahasa Arab adalah sama antaranya perkataan dunia dan akhirat disebut masing-masing sebanyak 115 kali.


Perkataan lain adalah malaikat dan syaitan (88 kali), hidup dan mati (145 kali), faedah dan kerugian (50 kali), kesusahan dan kesabaran (114 kali), lelaki dan perempuan (24 kali), ummah dan penyampai (50 kali), iblis dan memohon perlindungan daripada iblis (11 kali), musibah dan bersyukur (75 kali), bersedekah dan berpuas hati (73 kali) serta zakat dan berkat (32 kali). Golongan muslimin dan jihad (41 kali), emas dan kemurahan hidup (lapan kali), keajaiban dan fitnah (60 kali), minda dan nur (49 kali), lidah dan sumpah (25 kali), nafsu dan ketakutan (lapan kali), bercakap di khalayak ramai dan berdakwah (18 kali). Jumlah perkataan lain yang dianggap ajaib ditemui adalah solat (lima kali), bulan (12 kali), tahun (365), lautan (32 kali) dan daratan (13 kali).


Jumlah lautan dan daratan ini apabila ditukar dalam bentuk peratus adalah bersamaan dengan jumlah sebenar kawasan laut dan darat yang ada di dunia ketika ini iaitu masing-masing 71.111 peratus dan 28.889 peratus. Misteri yang terkandung dalam ayat al-Quran ini membuktikan kitab berkenaan bukanlah rekaan seorang manusia melainkan ia dihasilkan oleh suatu kuasa yang mentadbir seluruh alam ini yakni Allah.

Saturday, September 06, 2008

Ramadhan Kareem

Umat Islam seluruh dunia wajib bersyukur kerana masih lagi berkesempatan pada tahun ini menikmati kehadiran bulan Ramadan yang ditunggu-tunggu, kerana kedatangannya membawa seribu makna yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Apapun Ramadan memang benar-benar menjanjikan yang terbaik berupa amalan-amalan, yang bukan sahaja tidak dijanjikan pada bulan-bulan lain selainnya, malah setiap amalan itu pula diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda. Ia bertujuan untuk menggalakkan umat agar suka beribadat untuk mencari keredaan Allah SWT.

Ditambah pula dalam Ramadan terdapat 'Lailatul Qadr', tadarus al-Quran, tazkirah, sesi berbuka puasa dan sahur, qiamullail, iktikaf, pengeluaran zakat fitrah, sedekah, penyediaan juadah berbuka puasa untuk orang yang berpuasa, bersolat jemaah pada solat lima waktu, bersegera melakukan kebaikan dan banyak lagi merupakan amalan-amalan yang boleh melonjakkan prestasi seorang individu Muslim itu kepada Allah SWT.

Bayangkan, bahawa Rasulullah s.a.w. ada menegaskan dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi maksudnya, setiap amalan sunat seseorang Muslim itu pada bulan Ramadan dianggap sebagai satu amalan fardu, dan amalan fardunya pula diganjari hingga 700 pahala, ia bertujuan menggalakkan kepada semua agar bersungguh melakukannya dan meraih pahala daripada allah SWT.

Kaedah bagi melakukan pengislahan diri pada bulan Ramadan

* Iringkan diri anda sentiasa bersama niat yang suci untuk melakukan pengislahan diri sepanjang bulan Ramadan.

* Persiapkan diri anda dengan perancangan rapi untuk berubah dan sentiasa raikan perancangan tersebut.

* Paling utama yang perlu anda lakukan ialah pulihkan hubungan baik dengan Allah, jadikan Ramadan tahun ini sebagai langkah permulaan ke arah itu dengan sentiasa memerhatikan segala kekurangan yang telah anda lakukan terhadap-Nya dalam segenap tindakan beribadat sebelum kehadiran Ramadan.

* Jadikan Ramadan tahun ini untuk bertekad melakukan solat fardu pada awal waktu secara berjemaah di masjid atau surau, sama ada ketika berada di rumah atau di pejabat.

* Mulakan tekad untuk bertadarus al-Quran, bukan sahaja dalam bentuk bacaan, malah meneliti ayat-ayatnya yang terdiri daripada arahan, larangan, janji syurga dan neraka, pahala dan dosa, mengenai hukum-hukum Allah yang wajib dilaksana, ayat-ayat gembira, sedih, ancaman dan sebagainya bagi membangkitkan rasa tanggungjawab untuk menjadikan diri sebagai hamba Allah yang kerdil di sisi-Nya, kerana al-Quran adalah kitab Allah yang abadi hingga ke akhir zaman.

* Berjanji di hadapan Allah untuk menjadi hamba-Nya yang baik, dengan melakukan amar makruf dan nahi mungkar.

* Menjadikan pelaksanaan solat fardu lima waktu sebagai pemangkin kepada meninggalkan perkara-perkara terlarang, sepertimana yang ditegaskan Allah dalam al-Quran, ia dapat dilakukan melalui penghayatan terhadap segenap bacaan yang terkandung dalam ibadat tersebut.

* Bertekad untuk melakukan 'taubat nasuha' iaitu dengan niat dan berazam untuk meninggalakan segala kejahatan, tidak mahu mengulanginya semula, bersahabat dengan orang-orang yang boleh meningkatkan keimanan kepada Allah SWT, kerana setiap satu kesalahan walaupun kecil bentuknya, jika ia dilakukan, sesungguhnya ia telah mengundang kemarahan Allah, menggembirakan syaitan, menjauhkan diri anda daripada syurga, mendekatkan diri kepada neraka, menyebabkan Rasulullah s.a.w. sedih di dalam kubur, menyakiti para Malaikat, mengkhianati seluruh makhluk yang ada di muka bumi ini.

* Layani kedua-dua ibu bapa dengan baik dan sopan khususnya pada bulan Ramadan, ia juga termasuk menghormati golongan yang lebih tua daripada diri anda seperti abang, kakak, para guru dengan ungkapan yang boleh membangkitkan rasa hormat terhadap mereka.

* Berbuat baik terhadap jiran tetangga, kawan-kawan, saudara mara, mohonlah kemaafan atas kesalahan yang pernah anda lakukan terhadap mereka, bukan tunggu menjelangnya awal Syawal.

* Hadiri majlis-majlis tazkirah yang boleh membangkitkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap agama.

* Carilah keaiban diri sendiri untuk melakukan pengislahan dengan bersungguh-sungguh, kerana sepanjang Ramadan adalah waktu yang palin sesuai untuk melakukannya, janganlah biarkan Ramadan berlalu tanpa melakukan perkara yang terbaik buat diri anda sendiri.

* Tinggalkan tabiat buruk menjelang Ramadan seperti suka melewatkan solat fardu, melepak, tidak suka berkunjung ke masjid atau surau.

* Hormati bulan Ramadan dengan menutup aurat dengan sempurna lebih-lebih lagi jika anda seorang Muslimah, kerana orang yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjaga maruah dan harga dirinya tidak mungkin akan diberi syafaat (recommendation) Rasulullah s.a.w. untuk masuk syurga pada hari Kiamat.

Yang penting, pengislahan diri yang mahu anda lakukan itu pada bulan Ramadan, janganlah terhenti dengan kedatangan bulan Syawal, kerana Allah SWT bukan sahaja ada pada bulan Ramadan, malah sepanjang bulan, sepanjang masa Dia memerhatikan kita.

Mudah-mudahan Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita persembahkan ke hadrat Allah SWT. Ingatlah saudara-saudari, umur kita semakin hari semakin meningkat tua, perhatikan sepanjang kita hidup yang sudah pun mencecah puluhan tahun dengan memakan rezeki Allah.

Apa yang telah kita lakuan untuk agama-Nya dari sudut sumbangan, jasa bakti seperti yang pernah ditonjolkan oleh pasa sahabat baginda sebelum mereka meninggal dunia. Sama-samalah kita fikirkan.