Sunday, September 28, 2008

Muhasabah Ramadhan & Sambutan Aidilfitri....

MUHASABAH RAMADHAN


Kita menghampiri kepada pengakhiran bulan Ramadhan. Persoalannya di sini bagaimanakah kita mengisi Ramadhan kali ini?? Cukupkah amalan kita untuk mencapai tingkat orang yang bertaqwa?? Bagaimana dengan puasa kita...

sempurna atau tidak? Bagaimana ibadah kita, bacaan Al-Quran....zikir, selawat solat terawikh .??


Sepatutnya madrasah Ramadhan ini kita gunakan peluang ini dengan sebaiknya... Pastikan diri kita berubah dari sebelum Ramadhan kepada menjadi hamba yang sering mengingati Allah, melazimi lidah dengan Al-Quran dan zikir serta selawat...juga menjadi hamba yang mengambil berat terhadap Solat Jamaah di masjid. Begitulah yang diharapkan dari Ramadhan ...


Amatlah rugi bagi yang melepasi hari-hari Ramadhan tanpa penambahan ibadah, iman dan taqwa. Sesungguhnya belum pasti untuk kita temui Ramadhan 1430H...pastinya nyawa masih di kandung badan, teruskanlah usaha untuk menjadi yang terbaik serta menjadi hamba Allah yang peka terhadap

solat jamaah, bacaan Al-Quran, zikir, selawat dan sebagainya. Nabi SAW bersabda :

للصائم فرحتان يفرحهما, اذا أفطر فرح بفطره واذا لقي ربه فرح بصومه

Bagi orang berpuasa dua kegembiraan, ketika berbuka dan ketika bertemu

Allah. Ketika berbuka pada setiap hari mereka bergembira dengan makanan yang

dimakan, dan ketika berbuka pada akhir Ramadhan, mereka bergembira dengan

kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang merupakan hari kemenangan mereka kerana berjaya melaksanakan kewajipan sebagai hamba Allah serta mendapat kasih sayang daripada Allah dan petunjuk Al-Quran

.

Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita, tetapi ianya bukan bererti kita telah terputus hubungan dengan Allah. Setengah salafusoleh berkata:

بئس القوم قوم لا يعرفون الله الا فى رمضان كن ربانيا ولا تكن رمضانيا

Seburuk-buruk kaum ialah kaum yang tidak pernah kenal Allah kecuali pada bulan Ramadhan sahaja, jadilah kamu hamba Allah pada setiap masa dan ketika, bukannya hamba Allah pada bulan Ramadhan semata-mata, kemudian selepas Ramadhan kembali lalai dan melakukan maksiat kepada Allah. Kerana Tuhan yang kita sembah adalah Tuhan semua bulan, bukannya Tuhan bulan Ramadhan sahaja.

Oleh Kerana itulah, jangan dilupakan bahawa kita dituntut untuk melakukan puasa enam hari pada bulan syawal, supaya setiap umat Islam sentiasa dalam amal ibadat dan taat kepada Allah pada setiap masa.Sabda Rasulullah saw:

من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر أي كأنما صام السنة كله

Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian mengikutinya enam hari pada bulan syawal,maka ganjarannya seolah-olah dia berpuasa setahun keseluruhannya.”


MENYAMBUT ‘IDULFITRI


Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala membalasnya dengan satu hari yang dinamakan ‘Idulfitri atau Hari Raya Fitrah, di mana Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syara‘ dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan

.

Apakah adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya?

Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahih.

Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan ‘Idulfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.

Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas dan Al-Fakih bin Sa‘d Radhiallahu ‘anhum bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadits ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.

Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja‘far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya: Maksudnya: "Bahawasanya Shallallahu ‘alaihi wasallam memakai kain yang bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya." (Hadits riwayat Al-Syafi‘e dan Al-Baghawi)

Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: "Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil.


0 comments: