Friday, February 09, 2007

Qiraat 11

Bicara Qiraat.....
Mafhum dari ayat 9 Surah Al-hijr Allah s.w.t berfirman yang maksudnya:-

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kamilah benar-benar memeliharanya."

Al-Quran merupakan mukjizat teragung Al-habibul-Mustafa Sayyiduna Muhammad s.a.w yang abadi telah diturunkan oleh Allah s.w.t dalam struktur Bahasa Arab yang paling tinggi ditambah dengan keindahan balaghahnya. Oleh itu, ilmu Qiraat diturunkan oleh Allah s.w.t serentak dengan penurunan Al-Quran sebagai bukti kesempurnaan mukjizat ini bertujuan untuk memudahkan proses pembacaan danpemahaman terhadap Al-Quran lantaran perbezaan lahjah (dialek) diantara qabilah-qabilah arab samada dari sudut intonasi, bunyi, huruf dan lain-lain. Maka, ilmu ini mempunyai beberapa ciri-ciri istimewa yang tidak terdapat dalam bidang-bidang ilmu yang lain dan telah memainkan peranan yang penting pada era terawal kegemilangan Islam lebih-lebih lagi dalam pentafsiran Al-Quran.

Ilmu ini telah mulai mantap dan berkembang pada zaman Rasulullah S.A.W sebagai mursyid utama kepada sahabat baginda yang kemudiannya menjadi masyaikhul qiraat di kalangan masyarakat Islam antaranya Ubay, Ali, Zaid bin Thabit, Ibnu Mas'ud dan Abu Musa Al-Asya'ri Radiallahua’nhum yang seterusnya menjadi sumber pembacaan Al-Quran bagi sebahagian besar para sahabat dan generasi tabi’in.

Namun begitu, dalam era perkembangan ilmu ini berlakunya krisis yang perlu ditangani secara serius dengan kemunculan versi-versi bacaan yang mendakwa bersumber daripada Rasulullah s.a.w. Justeru itu, pada akhir abad ke-2 hijrah mulailah para ulamak khususnya para Qurra' melaksanakan usaha-usaha untuk mentahqiq setiap wajah qiraat yang tersebar pada zaman tersebut.

Ternyata setelah kajian teliti yang diusahakan berdasarkan kriteria-kriteria yang digariskan maka bacaan-bacaan yang dikembangkan oleh tujuh imam Qiraat yang begitu masyhur itu yang dikenali sebagai Al-Qiraatussab'ah (Qiraat Tujuh) telah disepakati sebagai Qiraat yang bertaraf mutawatir. Adapun tingkatan Qiraat bagi tiga imam yang terakhir dari Qiraat sepuluh, para ulamak telah berselisih pendapat mengenai tingkatannya samada di antara masyhur atau mutawatir. Namun begitu pendapat yang sahih dan diterima pakai bahawa Qiraat riwayat tiga imam tersebut mempunyai nilai sanad yang mutawatir.

Demikianlah ilmu Qiraat ini berkembang masyhur di seluruh benua Islam hasil usaha gigih yang dilakukan oleh para ulamak ahli Al-Quran sehingga ke hari ini. Dalam rangka memberi penghargaan kepada sepuluh imam tersebut maka nama-nama mereka disandarkan kepada Qiraat yang dimasyhurkan oleh mereka umpamanya disebut Qiraat Nafi', Qiraat A’sim, Qiraat Qalun yang dirawikan oleh gurunya Imam Nafi’ ataupun Qiraat Hafs yang dirawikan oleh gurunya Imam A’sim dan sebagainya .
Hal ini bukan bermakna bahawa mereka sendiri yang menciptakan Qiraat tersebut bahkan diterima secara talaqqi dan musyafahah bersumber daripada Rasulullah s.a.w. Ini kerana seperti yang dimaklumi bahawa ilmu ini merupakan tauqifi (ketentuan Allah Taala) dan bukanlah hasil ijtihad para imam tersebut. Justeru itu, dapatlah difahami bahawa apabila suatu wajah bacaan dinisbahkan kepada seorang imam contohnya Qiraat A’sim bermakna tiada khilaf di antara bacaan kedua-dua rawinya. Sebaliknya apabila suatu wajah bacaan dinisbahkan kepada perawi seorang imam contohnya riwayat Hafs daripada imam A’sim bermakna terdapat perbezaan wajah bacaan di antara kedua-dua perawi imam tersebut sebagai contoh lafaz ( ملك ) di dalam surah Al-fatihah dibaca oleh imam A’sim dengan mengekalkan alif sesudah mim. Merujuk kepada contoh ini bermakna apabila disebut Qiraat A’sim sekaligus dapat dimaklumi bahawa kedua-dua perawi iaitu Syu'bah dan Hafs' turut mengekalkan alif selepas mim pada lafaz ( ملك ).

Wallahua’lam….

0 comments: