12 Februari setiap tahun memperingati kita akan peristiwa kesyahidan Imam A-Syahid Hassan Al-Banna. Merupakan pejuang yang benar-benar ikhlas dalam menegakkan kalimah Allah. Kehilangan beliau ditangisi oleh umat Islam seluruh dunia. Umat Islam tidak akan lupa kejahatan perancangan kuffar seperti dalam peristiwa kesyahidan ini dan akan bekerja dan bangkit untuk memastikan agama Allah berada di tempatnya......
Imam As-Syahid Hassan Al-Banna
Sesungguhnya generasi baru umat ini telah dihalang dari mengenal Imam As-Syahid Hasan al-Banna, sejarah hidup, fikrah dan dakwahnya. Generasi baru umat ini adalah berhak untuk mengenalinya dan kita selaku pekerja islam bertanggung jawab memperkenalkannya kepada mereka. Selain dari itu, banyak pula orang yang sengaja mengkaburkan gambaran tentang As-Syahid dalam pemikiran generasi yang sedang tumbuh, supaya dengan itu mereka berhasrat dapat menghalang generasi tersebut dari mengikuti jalan perjuangan yang telah digariskan oleh As-Syahid. Di ruangan Tokoh Islam pada kali ini, akan dibentangkan serba sedikit riwayat hidup beliau supaya kita mengenali peribadi dan sejarah hidup mujaddid agung tersebut di samping kita sama-sama berusaha mengkaji fikrah dan pendekatan dakwahnya dari semasa ke semasa.
As-Syahid dilahirkan pada tahun 1906 di kampung al Mahmudiyyah dari daerah al Bahriah kira kira 90 batu dari Kaherah. Bapanya Ahmad Abdul Rahman adalah seorang ulama dan seorang pengarang yg telah mendapat pendidikan di al Azhar di zaman al Imam Muhammad Abduh. As-Syahid merupakan anak sulung dari 5 orang adik beradik. Dalam usia 8 tahun beliau memulakan pelajaran permulaannya di sebuah sekolah rakyat di kampungnya. dalam usia 12 tahun beliau memasuki sekolah rendah dan dalam masa yg sama menggabungkan diri dalam "Jamaah as Suluk al Akhlaqi" yg dikelolakan oleh gurunya sendiri. Di antara kegiatan badan ini ialah mengenakan tatatertib dalam bentuk denda ke atas ahli-ahlinya yang mengeluarkan kata-kata cacian dan maki hamun kepada teman-teman sejawatnya atau melakukan perbuatan yang menyalahi agama. Dalam masa yg pendek sahaja beliau telah memperlihatkan sifat-sifat kepimpinan yang baik dan muncul sebagai pemimpin badan itu.
Dalam peringkat usia persekolahan rendah ini, As-Syahid mula menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh "al Ikhwah al Hasafiah ", sebuah pertubuhan sufi yang banyak mempengaruhi jiwanya. Ketika itulah beliau berkenalan dengan seorang belia yang masih muda bernama Ahmad al Sakri yang kemudian menjadi seorang tokoh yang memainkan peranan penting di dalam penubuhan jamaah Ikhwan Muslimin (selepas ini ditulis IM). Sewaktu berada di tahun akhir sekolah rendah,pemberontakan 1919 telah tercetus dan beliau turut menyertai pelajar-pelajar yang lain di dalam demonstrasi di perkarangan dan di luar sekolah di samping mengubah dan mendeklamasikan sajak yang berkobar-kobar dengan semangat nasionalisme.
Pada tahun 1922 beliau di terima selaku anggota di dalam pertubuhan Jamaah al Hasafiah yg sebelum ini terkenal dengan nama al Ikhwan al Hasafiah. Pertubuhan ini mempunyai 2 tujuan iaitu:
1. berjuang untuk memelihara prinsip-prinsip akhlaq Islam.
2. menentang gerakan da'yah kristian di bandar Kaherah.
Semasa di dalam pertubuhan ini beliau terpengaruh dengan ajaran al Imam al Ghazali. Beliau sangat gemar membaca buku-buku tasauf, sejarah Rasulullah saw, kisah perjuangan pahlawan-pahlawan yang mempertahankan tanah air dan agama dan kisah-kisah perjuangan menuju jalan Allah swt.
Pada tahun 1923 dalam usia 16 tahun, beliau telah lulus sekolah perguruan rendah dan pada tahun yang sama juga beliau memasuki kuliah Darul Ulum iaitu satu yayasan pengajian tinggi yang merangkumi pengajian tradisional dan pengajian moden. Semasa berada di kota Kaherah, beliau dengan pandangan mata seorang anak desa yang berpendidikan agama dapat melihat dengan jelas pergolakan parti politik dan aliran-aliran yang menentang agama yang dicetuskan oleh gerakan Kamal Atarturk. Beliau juga melihat adanya aliran non islamic di universiti Mesir. Ketika itu, ramai beranggapan bahawa universiti Mesir tidak akan dapat menegakkan sekulerismanya melainkan dengan menentang agama dan memerangi tradisi-tradisi sosial berbentuk agama. Beliau melihat dengan sedih bagaimana persekutuan-persekutuan, parti-parti politik, himpunan-himpunan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial yang sekuler semuanya menuju satu haluan iaitu melemahkan pengaruh agama .
Pada tahun yang berikutnya beliau memasuki satu pertubuhan agama yang lain iaitu "Jamaatul Makram al Akhlaq al Islamiah" iaitu sebuah pertubuhan yang giat mengaturkan ceramah-ceramah islam. Beliau dan rakan-rakan seperjuangnya telah menjalankan dakwah bukan sahaja di masjid-masjid, tetapi di segala tempat perhimpunan orang ramai terutama di kedai-kedai kopi di merata pelusuk desa. Usaha beliau membawa dakwah ke kedai kopi telah memberikan hasil yang amat besar. Di peringkat ini beliau banyak membuat perhubungan dengan tokoh-tokoh pepimpinan islam yang terkenal di zaman itu seperti Mahyuddin al Khatib, Muhammad Rashid Redha, Farid Wajdi dan lain-lainnya.
Pada tahun 1927 beliau mendapat ijazah dari Darul Ulum dalam usianya 21 tahun. Kemudian beliau menjadi guru bahasa arab di salah sebuah sekolah rendah di Ismai'liah di wilayah Terusan Suez dan terus berkhidmat di bidang perguruan islam 19 tahun dan meletakkan jawatannya sebagai guru pada tahun 1946. Beliau menyusun kegiatan dakwah dengan berkesan dalam masyarakat bandar Ismai'liah . Beliau juga membawa dakwah ke kedai kopi seperti mana yang dilakukan di Kaherah dan di sanalah beliau dapat mencungkil bakat-bakat manusia yang baik untuk diberikan pendidikan selanjutnya yang lebih teratur.Walaupun beliau tinggal di Ismailiah, namun beliau tetap mempunyai hubungan rapat dengan badan-badan dan tokoh-tokoh pejuang islam di Kaherah. Beliau ikut serta menyokong penubuhan persekutuan Belia Islam pada tahun 1927 dan menjadi wakil majalah al Fatah, sebuah majalah yang menjadi jurucakap badan-badan dan pertubuhan islam di masa itu. Majalah itu di pimpin oleh Mahyuddin al Taib salah seorang ulama pejuang islam dan pengasas persekutuan belia Islam.
Pada bulan Mac 1928 beliau menubuhkan organisasi IM di bandar Ismailiah. Pertubuhan itu telah berkembang pesat. Setelah berpindah ke kota Kaherah, beliau membuka cawangan IM di Kaherah bersama adik bongsunya. Pertubuhan itu telah berkembang subur di masa tercetusnya perang dunia yang kedua dan berjaya menjadi salah satu kuasa politik yang bertarung di masa itu. Beliau telah mengatur IM dalam tiga peringkat. Peringkat pertama; memperkenalkan gagasan IM dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah-ceramah dan mengadakan kegiatan kebajikan masyarakat. Kedua; peringkat pembentukan keperibadian anggota-anggota ikhwan sebagai persedian untuk melancarkan jihad. Ketiga; peringkat melaksanakan cita-cita perjuangan islam dengan tegas.
Kegiatan dan kejayaan yang dicapai oleh IM telah tidak disenangi oleh kerajaan dan pihak British. Negara barat mendesak kerajaan Mesir supaya membubarkan IM. Pasukan tentera IM yang berperang di Palestin telah menunjukkan keberanian dan komitmen yang luar biasa. Justeru itu sebagai satu helah politik musuh, pada bulan November 1948, gencatan senjata telah diadakan di Palestin. Pada 8 November 1948, Perdana Menteri Mesir mengistiharkan pembubaran IM. Unit-unit tentera Mesir dan tentera IM yang berjuang di Palestin itu dipanggil balik. Berbagai-bagai tuduhan dan fitnah dilemparkan ke atas lkhwan. Anggota-anggota IM ditangkap, dimasukkan ke dalam penjara dan mereka diseksa dengan teruk, malah ada yang dibunuh. Tindakan tersebut telah melumpuhkan sama sekali kegiatan IM.
Dengan alasan untuk mengendurkan ketegangan antara IM dan kerajaan, pihak kerajaan menjemput As-Syahid untuk berunding bertempat di pejabat Jam'iyyah al-Syubban al-Muslimin. Sebenarnya jemputan itu hanyalah sebagai helah untuk membunuh As-Syahid. Pada 12 Februari 1949 jam 5 petang, As-Syahid bersama iparnya Abdul Karim Mansur, seorang peguam, suami kepada adik perempuannya berada di pejabat tersebut. Mereka menunggu Menteri Zaki Ali Basya yang dikatakan mewakili kerajaan untuk berunding, tetapi dia tidak kunjung tiba. Akhirnya setelah selesai menunaikan solat Isya' mereka memanggil teksi untuk pulang. Ketika baru sahaja menaiki teksi yang dipanggil, dua orang mata-mata gelap menerpa ke arah teksi dan salah seorang daripada mereka terus melepaskan tembakan pistol dan kedua-dua mereka terkena tembakan itu. Iparya itu tidak dapat bergerak akibat terkena tembakan tersebut. As-Syahid walaupun terkena tujuh tembakan , beliau masih mampu berjalan masuk semula ke pejabat Jam'iyyah alSyubban al-Muslimin memanggil ambulans untuk membawa mereka ke hospital. Sampai di hospital Qasral 'Aini, mereka dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dan tidak membenarkan sebarang rawatan diberikan kepada As-Syahid. Pada pukul 12.50 tengah malam, As-Syahid menghembuskan nafas yang terakhir akibat tumpahan darah yang banyak. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Muga-muga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh as-Syahid, Amin....
Pada pukul satu pagi pihak polis menyampaikan berita kematian kepada ayah As-Syahid dengan dua pilihan: pihak polis akan menghantarkan jenazah ke rumahnya untuk beliau menjalankan urusan pengkebumian pada jam sembilan pagi tanpa sebarang perhimpunan. Jika tidak menerima tawaran pertama itu, pihak polis sendiri terpaksa membawa jenazah dari hospital ke kubur tanpa beliau melihat jenazah anaknya itu. Ayah As-Syahid menerima pilihan yang pertama. Sebelum fajar menyinsing, jenazah as-Syahid dibawa ke rumahnya di Hilmiah al-Jadid dengan sebuah kereta yang dikawal rapi oleh polis yang lengkap bersenjata. Di sekitar rumahnya juga terdapat polis dan tentera berkawal dengan rapi. Mereka tidak membenarkan sesiapa pun menghampiri kawasan tersebut. Jenazah as-Syahid dibawa masuk ke rumahnya secara tidak ada orang yang melihatnya dan tidak ada yang mengetahui masa ketibaannya.
Sheikh Ahmad Abdur Rahman, ayah As-Syahid yang sudah berusia lebih 90 tahun itu dengan penuh kesabaran memandi dan mengkafanikan jenazah anaknya yang baru berusia 43 tahun itu seorang diri. Setelah diletakkan ke atas pengusung, beliau memohon pihak polis mencari beberapa orang untuk mengusungnya. Tetapi pihak polis menjawab, biarkanlah orang-orang perempuan tolong mengusungnya. Polis tidak membenarkan sesiapa datang ke rumah tersebut untuk mengucapkan takziah dan tidak dibenarkan membaca al-Qur'an. Ayah As-Syahid tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Beliau dengan tiga orang perempuan terpaksa mengusung anaknya itu menuju ke Masjid al-Qaisun untuk disembahyangkan. Pihak polis lebih dahulu telah pergi ke masjid memerintah orang-orang yang ada di situ supaya meninggalkan masjid. Sheikh Ahmad seorang diri menunaikan solat jenazah ke atas anaknya itu. Kemudian mereka meneruskan pengusungannya menuju ke perkuburan untuk disemadikan jenazah as-Syahid.
Pembunuhan As-Syahid adalah satu perancangan pihak istana dengan arahan Raja Farouk dan Perdana Menterinya Ibrahim Abdul Hadi. Sebab itulah tidak ada sebarang tindakan ke atas penjenayah dan orang yang terlibat. Kes pembunuhan ini walaupun telah dibawa ke mahkamah beberapa kali, tetapi telah ditangguhkan. Pertama kali dibawa pada masa pemerintahan Perdana Menteri Ibrahim Abdul Hadi. Kedua, pada masa pemerintahan Perdana Menteri Husin Sari. Ketiga, pada zaman pemerintahan Perdana Menteri Mustafa al-Nahhas Basya.Pada 23 Julai 1952 satu revolusi telah tercetus. Raja Farouk terpaksa turun dari singgahsananya. Berikutan itu, kes ini dibuka semula. Penjenayah ditangkap dan pada 2 Ogos 1954, mahkamah menjatuhkan hukuman seperti berikut:
* Koperal Ahmad Husin Jad dikenakan hukuman penjara seumur hidup dengan kerja berat.
* Pemandu kereta, Sarjan-Major Muhammad Mahfuz Muhammad dikenakan hukuman penjara 15
tahun dengan kerja berat.
* Major Muhammad al-Jazzar dikenakan hukuman satu tahun penjara dengan kerja berat.
Kemudian setelah hubungan antara Jamal Abdul Nasir dengan IM semakin bertambah buruk, semua anggota perisik yang tersebut telah dibebaskan oleh Jamal Abdul Nasir sebelum habis tempoh hukuman yang dikenakan. Bertahun-tahun lamanya orang-orang IM tertanya-tanya, manakah hukuman yang dikenakan ke atas orang-orang yang bersalah itu?
Secara umumnya jelas kepada kita As-Syahid merupakan seorang pejuang yang gigih dan berani, berjaya menyedarkan masyarakat dengan fikrah dan pendekatan barunya dalam gerakan dakwah dan manhaj tarbiahnya yang syumul. Walaupun beliau telah pergi menemui Ilahi, namun fikiran dan gerak kerjanya masih menjadi rujukan dan pegangan pejuang-pejuang dan harakah Islamiah hari ini. Memandangkan ajaran dan arahan yang dikemukakannya itu mempunyai nilai yang tinggi dan signifikannya yang tersendiri, maka dicadangkan, cita-cita perjuangan IM dan arahan-arahan Mursyid Amnya itu kita jadikan pegangan dan panduan hidup kita, moga-moga kita akan mencapai kemenangan dan keredaan Allah sebagaimana yang ditegaskan oleh As-Syahid sendiri katanya: "Saya penuh yakin, jika anda mengamalkannya dan menjadikannya sebagai cita-cita hidup dan matlamat terakhir diri anda, balasannya ialah ketinggian di dunia, kebajikan dan keredaan Allah di akhirat. Justeru itu anda termasuk golongan kami, dan kami merupakan golongan anda. Tetapi jika anda melepas tangan dan berpeluk tubuh tidak menjalankan gerak kerjanya, terputuslah hubungan antara kami dan anda walaupun anda mengadakan berbagai majlis ceramah dan menyandang setinggi-tinggi gelaran dan menampilkan sebesar-besar kehebatan kepada kami. Nantilah Allah akan mengira dengan seberat-beratnya terhadap sikap anda tidak menjalankan gerak kerja ini. Oleh itu terserahlah kepada anda yang memilih sendiri, kami tetap berdoa untuk kami dan anda juga, muga-muga mendapat hidayat dan taufikNya." (Majmu'ah al-Rasa'il:3l) .
Semoga kita berada dikalangan orang-orang yang mengikut jejak langkah As-Syahid. Allahu Akbar!!
0 comments:
Post a Comment