Sunday, September 11, 2011

Kemusnahan Umat-umat Yang Ingkar

Islam tidak tertegak dicelah-celah Jahiliyyah, tetapi Islam tertegak di atas keruntuhan Jahiliyyah.

Demikianlah antara ciri-ciri umum Islam yang dapat membayangkan kepada kita betapa Islam sama sekali tidak boleh berada bersama-sama, berkumpul apatah lagi bersatu dengan segala bentuk jahiliyyah. Dimana adanya Islam, menjadi tanda-tanda bahawa Jahiliyyah Pasti Tumbang! Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru tetapi sudah terakam dalam kotak sejarah ketamadunan manusia. Malah Allah S.W.T memberi penegasan kepada umat manusia dengan firmanNya yang bermaksud:

“Janganlah kamu mencampuradukkan antara yang haq (benar) dengan yang batil (salah), dan janganlah kamu menyembunyikan yang haq itu sedangkan kamu mengetahui.” (al-Baqarah:42)

Jahiliyyah bukan sahaja wujud dalam bentuk perlakuan atau perkataan, tetapi jahiliyyah wujud dalam setiap perkara, medium malah sistem yang dilalui oleh manusia selagi tidak ada penerimaan atau pengamalan Islam secara menyeluruh. Sejak tercipta manusia di atas muka bumi sudah adanya jahiliyyah dalam diri mereka. Namun dengan hidayah dan petunjuk dari Allah maka manusia dibebaskan dari perkara-perkara jahiliyyah yang ada dalam diri mereka. Begitulah kita pada hari ini, jahiliyyah hanya akan terbebas dari diri kita apabila kita menerima dan mengamalkan Islam secara syumul.

Sungguhpun begitu, tidak semua manusia yang dikurniakan aqal fikiran ini mahu menerima Islam, sekaligus menolak dan menumbangkan jahiliyyah. Ada dikalangan mereka yang memimpin kaum-kaum mereka dengan seruan yang membina dan menyuburkan jahiliyyah. Maka atas kasih sayang Allah, Dia menurunkan para Nabi dan Rasul sebagai pemimpin yang haq! Untuk menyeru, untuk mengajak manusia ke arah kesejahteraan di dunia dan akhirat. Sayangnya, tidak sedikit mereka ini yang membunuh para Nabi dan Rasul A.S. Tidak cukup dengan itu, Allah menurunkan kitab-kitabNya seperti Taurat, Zabur dan Injil. Tetapi kedegilan jahiliyyah menyebabkan kitab-kitab ini sekadar menjadi mainan buat mereka dengan tuduhan sihir dan sebagainya. Malah para pemimpin mereka yang cerdik pandai telah mengubah, meminda dan memalsukan isi kandungannya. Inilah antara kebiadaban umum jahiliyyah. Firman Allah S.W.T di dalam surah al-An’aam ayat 39 yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami adalah pekak, bisu dan berada dalam gelap gelita (jahiliyyah). Barangsiapa yang dikehendaki Allah (kesesatan) nescaya disesatkanNya. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah (untuk diberikan petunjuk), nescaya Dia menjadikannya berada di jalan yang lurus.”

Kehidupan jahiliyyah kaum Nabi Nuh menyebabkan mereka diazab Allah di atas dunia lagi dengan banjir yang membinasakan, hanya sebahagian yang di atas bahtera Nabi Nuh sahaja yang selamat. Golongan ini telah berkembang biak, termasuklah kaum Nabi Hud iaitu kaum ‘Aad antara yang berkembang dari golongan yang terselamat dari atas bahtera Nabi Nuh. Namun manusia yang berwatak jahiliyyah tidak pernah serik dengan pengajaran yang telah Allah tunjukkan. Kaum ‘Aad ingkar terhadap seruan tauhid Nabi Hud. Mereka mengamalkan penyembahan jahiliyyah sebagaimana nenek moyang mereka kaum Nabi Nuh. Penentangan paling kuat adalah dari pemuka-pemuka kaum ‘Aad sendiri yang menuduh Nabi Hud sebagai orang yang tidak siuman dan pembohong. Nabi Hud dengan sabar memberi tazkirah kepada mereka, akhirnya keingkaran mereka dibayar dengan angin puting beliung yang amat dahsyat. Dan kaum ‘Aad dimusnahkan dari muka bumi Allah kecuali nabiNya dan orang-orang yang beriman.

Datanglah pula kaum Tsamud yang dilantik juga dari kalangan mereka sendiri seorang Rasul iaitu Nabi Saleh A.S. Atas kurniaan Allah, kaum Tsamud disampaikan tazkirah oleh Nabi Saleh bahawa mereka dibangkitkan selepas kemusnahan kaum ‘Aad yang ingkar. Allah merahmati mereka sebagai khalifah di atas muka bumi dengan nikmat pemberian yang melimpah-ruah hingga ada dikalangan mereka yang hidup mewah. Sayangnya apabila kemewahan menimpa diri, mereka menjadi sombong dan bongkak lalu mempertikaikan dan mengingkari Nabi mereka. Natijahnya kaum Tsamud yang ingkar menjadi bangkai yang dibinasakan Allah dengan gempa bumi yang dahsyat.

Nabi Lut A.S juga dihadirkan Allah untuk meruntuhkan jahiliyyah kaumnya. Kaum Nabi Lut mengamalkan perbuatan jahiliyyah seperti yang disebut pada hari ini homoseks dan lesbian secara berleluasa. Allah lalu mengazab mereka yang mengamalkan perbuatan jahiliyyah ini dengan hujan batu berapi lalu diterbalikkan negeri mereka menjadi laut yang kita kenali kini sebagai Laut Mati.

Di negeri Madyan, Nabi Syu’aib A.S menghadapi kaum yang melaksanakan sistem ekonomi jahiliyyah. Nabi Syu’aib A.S teguh menyatakan kebenaran dengan tazkirah-tazkirahnya. Namun seruan Nabi Syu’aib tidak diendahkan melain dari sedikit sahaja di kalangan mereka. Maka Allah menghancur ranapkan harta benda dan diri mereka dengan gempa bumi, yang terselamat hanyalah Nabi Syu’aib dan pengikut-pengikutnya yang setia. Dan Allah juga mengazab penduduk negeri Aikah dengan angin samun yang panas menyebabkan mereka mati kering kerana keingkaran mereka terhadap Nabi Syu’aib dengan melaksanakan sistem ekonomi jahiliyyah juga.

“Maka orang-orang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.” (al-An’aam:45)

Begitulah kisah yang dipaparkan oleh al-Qur’an akan perbuatan jahiliyyah umat-umat terdahulu yang dimusnah hancurkan oleh Allah untuk menjadi pengajaran buat manusia. Malah al-Qur’an juga memaparkan bagaimana tumbang dan runtuhnya kerajaan-kerajaan jahiliyyah masa lalu. Keingkaran Qarun, Fir’aun dan Namruz menjadi kisah yang cukup menginsafkan.

Kisah Nabi Musa A.S menghadapi kezaliman Fir’aun tercatat di dalam al-Qur’an sebagai kisah yang cukup panjang. Fir’aun menjadi raja Mesir yang memerintah dengan kezalimannya. Maka Allah ‘membangkitkan’ Nabi Musa untuk memerdekakan Bani Israel dari kerajaan jahiliyyah Fir’aun yang bersifat diktator.

Tentu sekali kita tidak lupa bagaimana Fir’aun telah memperkenalkan suatu akta agar membunuh semua anak laki-laki kerana percaya kepada pegawai kanannya yang merupakan seorang tukang tilik yang menyatakan bahawa kerajaannya boleh digugat sekiranya kaum lelaki Bani Israel lebih ramai. Maka dikerahkan semua anggota pasukan keselamatannya memastikan setiap bayi lelaki yang lahir dibunuh. Namun takdir Allah menentukan segalanya, Musa A.S sendiri merupakan ‘anak pungut’ yang dibesarkan, dibela dan dimewahkan di istana Fir’aun sendiri. Namun itu semua tidak meruntunkan hati Nabi Musa untuk menyatakan kebenaran di hadapan Fir’aun apabila Allah S.W.T memerintahkan Nabi Musa memberi peringatan terhadap sikap melampau Fir’aun. Sanggahan Nabi Musa terhadap Fir’aun bertepatan sekali dengan hadith Rasulullah S.A.W:

“Sesungguhnya jihad yang paling tinggi adalah berkata benar di hadapan pemimpin yang zalim.”

Ketika inilah Fir’aun mencabar Nabi Musa hinggakan Allah mengurniakan dua mukjizat yang menyebabkan Fir’aun dan para menterinya terpegun besar. Maka sedarlah mereka bahawa Nabi Musa mempunyai pengetahuan yang cukup luas. Maka dikumpulkan sekalian cerdik pandai mereka untuk melawan Musa A.S. Sebelum pertembungan itu bermula, Fir’aun menjanjikan mereka pangkat dan kemewahan. Tetapi kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya. Musa A.S dimenangkan Allah sebagaimana yang dirakamkan kisah ini di dalam al-Qur’an yang bermaksud:

“Maka tetaplah yang benar dan batallah segala yang mereka perbuatkan itu.” (al-A’raaf :118)

Maka berimanlah sekalian cerdik pandai tadi secara terang-terangan di hadapan Fir’aun. Lalu Fir’aun mengancam mereka dengan ugutan untuk melaksanakan hukuman. Namun ahli cerdik pandai itu tetap dengan pendirian mereka memilih keimanan, dan itulah kali pertama Fir’aun yang mengaku sebagai tuhan, yang tidak pernah dibantah, ditentang kuat oleh para pendokongnya sendiri.

Fir’aun juga menyebarkan fahaman jahiliyyah kononnya dialah tuhan yang mengatur rezeki untuk seluruh negara Mesir. Hinggalah Nabi Allah Musa A.S memberi ingatan bahawa negeri Mesir akan dilanda taufan, serangan belalang, kutu, katak dan darah namun tetap tidak dihiraukan. Maka bilamana perkara itu benar-benar terjadi Fir’aun pun terpaksa memanggil Musa dan berjanji memenuhi seruan Musa. Dengan izin Allah bencana itu terhenti, tetapi dengan angkuh Fir’aun memungkiri janjinya. Perkara ini dikisahkan melalui surah al-A’raaf ayat 133:

“Maka Kami kirimkan kepada mereka taufan, belalang, kutu, katak dan darah sebagai bukti yang jelas, tetapi mereka tetap menyombongkan diri dan mereka adalah kaum yang berdosa.”

Sehinggalah pada suatu masa Nabi Musa dan Harun serta pengikutnya (Bani Israel) dibenarkan keluar dari bumi Mesir, maka berangkatlah mereka pada suatu malam. Rupanya Fir’aun sekali lagi memungkiri janjinya, dia telah mengarahkan anggota pasukan keselamatannya mengejar golongan yang dibenarkan bebas itu. Sehingga mereka hampir dapat menghancurkan pengikut Musa di tepi laut lalu dengan kehendak Allah laut itu terbelah. Maka menyeberangilah Musa dan pengikutnya hingga ke seberang. Fir’aun dan bala pasukan keselamatan berkudanya memacu mengejar Musa dan pengikutnya melewati belahan lautan itu juga. Ketika sampai di tengah dasar lautan itulah, Allah S.W.T menutupi kembali belahan lautan tadi menyebabkan Fir’aun dan pasukannya tenggelam. Maka tumbanglah riwayat sebuah kerajaan jahiliyyah. Lautan itu kini dikenali sebagai Laut Merah.

“Sesungguhnya dosa itu hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela menceroboh di muka bumi dengan tidak ada sebarang alas an yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (asy-Syura:42)

0 comments: