Thursday, December 09, 2010

Selamat Tahun Baru 1432H

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Selamat Tahun Baru Hijrah 1432 diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat di mana sahaja berada. Semoga Allah mengampun dosa-dosa yang telah lalu dan diambil sebagai pengajaran bagi mengharungi tahun baru dan saki baki umur yang Allah SWT bekalkan di dalam iman, taqwa dan huda (petunjuk taufiq daripada Allah jua).

Sesungguh jarak 1432 tahun daripada peristiwa besar dalam Islam, iaitu hijrah Nabi Muhammad SAW dari bumi kelahirannya sendiri ke bumi Madinah al-Munawwarah adalah suatu jarak jangka masa yang sangat lama dan panjang. Sudah berapa puluh generasi dan berapa buah zaman pemerintahan. Namun, risalah yang dibawa oleh Baginda SAW dan al-Quran itu masih itu itu. Kekal teguh menjadi panduan umat Islam bukan setakat 1431 yang berlalu, tetapi sehingga Kiamat. Itulah janji Allah SWT kepada umat Muhammad SAW.

Persoalan sama ada umat Islam mengambil tinggalan itu sebagai pedoman hidup mereka ataupun sebaliknya dapat menggambarkan kekuatan umat itu sendiri. Mereka akan mulia dan dihormati kawan dan lawan sekiranya mereka menggunakan panduan itu sebaliknya mereka akan dihina dan menjadi tidak berguna sekiranya menolak mana-mana bahagianpun di dalam al-Quran sehingga sanggup mengambil apa-apa sumber ciptaan manusia sebagai galang ganti.

Marilah sama-sama kita merasa mulia dengan Islam, dengan sumber agama Islam iaitu al-Quran, sunnah dan sebagainya itu. Tidak ada kemuliaan bagi manusia melainkan kemuliaan yang Allah berikan. Yang Allah sarankan manusia mengambil dan menggunakannya sebagai panduan hidup dalam segenap segi. Mulakan diri dengan menguasai ilmu dan kemahiran membaca al-Quran, seterusnya ilmu tafsiran ayat-ayatnya yang akan memancarkan sinar dan ‘mampu’ mentaati segala perintah-perintah yang terkandung di dalamnya.

Selamat Tahun Baru Hijrah. Marilah sama-sama mempertingkatkan perubahan. Sudah lama seruan untuk berubah dilaungkan. Apakah kali ini juga seruan sama akan diulang-ulang? Masakan tidak sekiranya yang sebenar tidak ada apa-apa perubahan yang telah dilakukan. Sebaliknya, jika telah anda berganjak selangkah untuk berubah kepada mentaati Allah, al-Quran dan panduan hidup Islam, cuma kini, anda perlu mempertingkatkan perubahan itu lagi, lagi dan lagi.

Al-Quran itu mukjizat bagi manusia. Ubat bagi segala penyakit dalam bentuk individu, keluarga malah masyarakat dan umat. Percayalah, dengan menghayati dan tunduk terleku di bawah naungan al-Quran sahaja hati individu manusia mampu ditakluki, seterusnya menghidupkan hati masyarakat dan juga hati bagi kehidupan ini. Dan, hanya kerana hati kehidupan telah padam dan telah lama mati, maka timbulkan pelbagai kebusukan maksiat, jenayah dan keruntuhan nilai kemanusiaan manusia itu seperti hari ini.

Sekadar ajakan untuk diri sendiri. Sekali lagi, selamat menghayati ketibaan tahun baru Hijrah dan pertamban umur serta semakin dekatnya diri ke perkuburan… wallahu aklam.

0 comments: