Latest News

Selamat Pengantin Baru....

Posted by syababghard on Tuesday, July 28, 2009 , under | comments (0)



Selamat Pengantin Baru buat Mazuan & Musyrifah yang telah selamat menjadi sepasang suami isteri. Semoga Kekal hingga ke syurga abadi,...insya'Allah. Layarilah bahtera rumahtangga dengan sebaiknya, sesungguhnya nikmat perhubungan halal ini merupakan tanda2 kebesaran Allah dan nikmat yang besar dalam Islam!!!!

KEWAJIPAN KITA TERHADAP AL-QURAN

Posted by syababghard on Monday, July 27, 2009 , under | comments (0)



4 Kewajipan terhadap al-Quran

Imam Hasan al-Banna dalam satu taujihatnya kepada ahli-ahli Ikhwan Muslimin berkata; "Hendaklah kamu tunaikan empat kewajipan kamu terhadap al-Quran;

1. Meyakini bahawa tidak ada jalan hidup yang selamat melainkan yang diambil daripada al Quran. Sebarang sistem atau peraturan dalam apa bidang sekalipun jika tidak bersandar atau tidak di ambil daripada al Quran maka ia pasti akan menemui kegagalan.

2. Menjadikan al-Quran sebagai teman hidup iaitu dengan selalu membacanya dan bersungguh-sungguh ketika membacanya. Membaca al Quran hendaklah dijadikan amalan tetap pada setiap hari.

3. Menghormati al-Quran iaitu dengan menjaga adab-adab ketika membaca al-Quran dan juga ketika mendengar bacaan al-Quran.

4. Beramal dengan segala ajaran dan hukum-hakam yang terkandung di dalam al-Quran. Hukum-hakam yang terkandung dalam al Quran terbahagi kepada dua kategori;

a) Hukum-hakam yang berkait dengan setiap individu; iaitu hukum-hakam yang khusus kepada setiap manusia secara individu seperti solat, puasa, haji, taubat, istighfar dan akhlak-akhlak terpuji (benar, memenuhi janji, amanah) dan sebagainya.

b) Hukum-hakam yang berkait dengan masyarakat atau sosial; iaitu hukum-hakam yang berkaitan dengan pemerintahan dan hal-hal yang menjadi kewajipan negara seperti menegakkan undang-undang jenayah Islam (hudud), jihad dan sebagainya. Hukum-hakam ini menjadi kewajipan ke atas negara untuk melaksanakannya.

Sekiranya negara tidak melaksanakannya maka ia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah taala dan kewajipan masyarakat pada ketika itu (iaitu ketika hukum-hakam sosial ini tidak dilaksanakan) ialah membuat tuntutan supaya ia dilaksanakan.

(Hassan al Banna, Hadis as-Thulasa’, hlm. 14-17)

Ramuan Al-Fatih Takluki Konstantinople

Posted by syababghard on Thursday, July 23, 2009 , under , | comments (0)



Konstantinople kota milik empayar Byzantine merupakan sebuah kota yang memiliki pertahanan yang amat menakjubkan.


Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bhosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh, antaranya seperti:
  1. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter
  2. Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter
  3. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebal
  4. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
  5. Terdapat 400 batalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa.
Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi. Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat diletakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.

Konstantinapole telah menjadi ibu kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.

Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerintah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.
Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi SAW, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453.

Tentu bukan mudah untuk Sultan Muhammad al Fatih untuk menakluki kota tersebut. Peribadi baginda dan tentera-tentera baginda juga menjadi ramuan kemenangan ini. Perkara ini dapat disaksikan semasa baginda dan tentera-tentera baginda ingin menunaikan solat Jumaat kali pertama di Konstantinople selepas menumpaskan Angkatan tentera Byzantine.
Timbul pertanyaan di kalangan mereka siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.

Baginda kemudiannya memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!".

Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu. Pertanyaan seterusnya, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!".

Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertitah, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".

Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah!
Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul. Mungkin inilah satu faktor kemenangan Baginda dan tentera baginda. Mereka betul-betul berhak untuk mendapat gelaran seperti yang terdapat dalam sabda Rasulullah SAW itu. Renung-renungkan.

"Sultan Muhammad II juga dikenali dengan Muhammad al-Fatih atau "si Penakluk" dilahirkan pada 30 Mac 1432 di Edirne dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hünkârcay?r?, berdekatan Gebze di Turki" Gambar hiasan : Saya dan us Najhie semasa menziarahi maqam Al-Fatih di Istanbul, Turki.

Ceramah Mansuh ISA

Posted by syababghard on Tuesday, July 21, 2009 , under | comments (0)



Ceramah Umum Mansuhkan ISA

22 Julai 2009
Rabu
9 malam
Markaz Jengka 20

Oleh :

Ustaz Azman Syafawi Abd Rani
Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat

Puan Norlela
( isteri kepada mangsa kezaliman ISA yang masih ditahan
di Kem Kemunting sejak 8 tahun lalu)

Semua dijemput hadir....

-------------------------

Puan Norlela akan bertemu kaum muslimat
pada jam 3.00 petang di Markaz Jengka 17
untuk mendedahkan kezaliman ISA ke atas suaminya.

Semua muslimat di jemput hadir.

Musim Temuduga

Posted by syababghard on , under | comments (0)



Salam...alhamdulillah, semalam saya telah selesai temuduga Peg. Hal Ehwal Islam (IMAM) S41 di Pej. SPA Pahang di Kuantan. Ada di kalangan teman2 yang lain terlibat temuduga di Pej. daerah Temerloh.

Sekarang memang musim temuduga. Bertalu2 surat panggilan temuduga dari SPA sampai ke rumah. Masing2 semuanya membuat persediaan...

Saya juga terlibat dengan temuduga Imam Hafiz Masjid Daerah pada 28 Julai nanti dan untuk guru kontrak DC 41 nnti...

----------PERSEDIAAN & TIPS MENGHADIRI TEMU DUGA__________


1. Sila pastikan anda membaca dan memahami dengan teliti surat panggilan temu
duga.

2. Buat persediaan fizikal seperti memohon cuti atau kebenaran daripada majikan
untuk menghadiri temu duga , menyediakan alat tulis (jika perlu), pakaian yang
bersesuaian dan sebagainya.

3. Buat persediaan mental seperti berehat secukupnya sehari sebelum hari temu
duga, tenangkan perasaan dan berfikiran positif.

4. Kenalpasti pusat temu duga anda dan rancang perjalanan ke tempat yang
hendak di tuju.

5. Buat persediaan mengenai jawatan yang akan ditemu duga seperti nama dan
gred jawatan; bidang tugas; kemahiran yang di perlukan; pengetahuan am
mengenai pemerintahan dan pentadbiran kerajaan negeri Pahang, kerajaan
persekutuan; membaca akhbar dan mengenalpasti isu semasa negara dan
negeri Pahang; dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya.

6. Bersikap sabar, tertib dan sopan santun sepanjang tempoh menghadiri temu
duga.

7. Pamerkan penampilan diri yang kemas dan positif.

8. Menjawab soalan-soalan dengan tenang, teratur dan berkeyakinan.

9. Kurangkan berbual-bual secara berlebihan semasa menunggu giliran temu duga.
Ini kerana ia akan mengganggu persediaan dan fokus anda serta calon-calon
lain.

10. Sila tinggalkan pusat temu duga sebaik sahaja selesai sesi temu duga anda dan
elakkan berkongsi maklumat dengan calon-calon lain mengenai sesi temu duga
yang telah anda hadiri.

..SELAMAT BERJAYA..

Perkhemahan Pelajar Islam 2009 - Masuk SINAR 17 Julai 2009

Posted by syababghard on , under | comments (0)


Rehlah Tabadul Thaqafi Turki '08 (5)

Posted by syababghard on , under | comments (0)



MASJID BIRU / MASJID SULTAN AHMED (hari ke-2 : 6 Julai 2008)


Masjid Sultan Ahmed adalah masjid bersejarah di Istanbul, merupakan salah satu dari beberapa buah masjid yang dikenali sebagai Masjid Biru oleh kerana jubin birunya menghiasi dinding di bahagian dalamnya. Ia dibina di antara 1609 dan 1616, sewaktu pemerintahan Ahmed I. Seperti kebanyakan masjid lain, ia mengandungi suatu kubur penemunya, sebuah madrasah dan sebuah hospital. Masjid Sultan Ahmed telah menjadi salah satu dari tarikan pelancong yang terhebat di Istanbul.


Reka bentuk Masjid Sultan Ahmed adalah puncak pembangunan dua abad masjid Uthmaniyyah dan gereja Byzantine. Ia menggabungkan sesetengah elemen-elemen Byzantine dari Aya Sofia / Haghia Sophia dengan seni bina Islam tradisional dan dianggap masjid raya yang terakhir pada zaman klasik.


AYA SOFIA / HAGIA SOPHIA (hari Ke-7 : 11 Julai 2008)


Hagia Sophia merupakan satu bangunan muzium di kota Istanbul. Bangunan ini sering dianggap sebagai bangunan yang teragung dan tercantik di dunia. Hagia Sofia dibina sebagai Gereja Besar Kristian Ortodoks tetapi diubahsuai menjadi masjid agung oleh Sultan Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453. Kerajaan Republik Turki telah menjadikannya sebagai muzium pada tahun 1935.


Hagia Sophia asalnya dibina sebagai gereja antara tahun 532 dan 537 atas arahan Maharaja Byzantine Justinian. Ia direka oleh dua orang arkitek, Isidore dari Miletus dan Anthemius dari Tralles. Hagia Sophia menjadi gereja besar di Constantinople selama hampur 1000 tahun.


Pada tahun 1453, Constantinople ditawan oleh kerajaan Uthmaniyyah dan Sultan Muhammad Al-Fatih mengarahkan bangunan itu diubahsuai menjadi masjid. Loceng, altar dan lain-lain berkenaan Kristian dibuang sementara lakaran di dinding ditampal. Ini semua diganti dengan unsur-unsur Islam seperti mihrab, mimbar dan empat menara di luar ditambah. Hagia Sophia kekal sebagai masjid sehingga tahun 1935 apabila ia ditukar kepada muzium oleh kerajaan Republik Turki.


Selama hampir 500 tahun, Hagia Sophia menjadi masjid utama di Istanbul dan model kepada masjid-masjid lain seperti Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru di Istanbul), Masjid Sehzade, Masjid Suleymaniye dan Masjid Rustem Pasha.


Hagia Sophia mempunyai satu kubah besar di tengah yang terletak di atas singgah kubah yang disokong oleh empat tiang sambut. Dindang dalam ditutupi dengan batu marmar, mozek emas dan lain-lain. Di bahagian luar, dinding stuko ringkas menyerlahkan lagi ke kubah dan kubah utama.


ISTANA DOLMABAHCE / DOLMABAHCE PALACE (hari Ke-7 : 11 Julai 2008)


Istana Dolmabahce telah dibina semasa pemerintahan Sultan Abdul Majid II pada tahun 1853. Tempoh pembinaannya telah memakan masa 11 tahun dengan belanja 5 milion kiraan potongan emas Uthmaniah dengan kata lain 35 tan emas.


Istana ini merupakan pejabat kepada sultan-sultan Uthmaniah sekitar tahun 19 dan 20 an. Apabila jatuhnya Empayar Turki Uthmaniah, istana ini kosong sehingga Mustafa Kamal Ataturk menjadikannya pejabat dan Mustafa Kamal Ataturk berada di istana ini pada 1 Julai 1927 hingga 10 November 1938. Mustafa Kamal Ataturk menemui ajalnya di sini di dalam sebuah bilik "Harem Section" pada 10 November 1938.


Kini istana ini dijadikan muzium dan di antara tempat tarikan pelancong di Istanbul.

Turki

Melayu

Teşekkür ederim.

Terima Kasih

Bilmiyorum.

Saya tidak tahu

Kash fara

Berapa harga?

Lütfen.

Tolong / P;ease

Nasılsınız?

Apa khabar?

Hoş geldiniz

Selamat datang..

İsminiz nedir?

Siapa nama kamu?

İsmim ...

Nama saya…

Allah razosun

Semoga Allah memberkati kamu



PENUTUP

Pada hari terakhir, kami berpeluang untuk melawat MiniaTurk. Merupakan sebuah tempat yang memuatkan segala replika bangunan sejarah, masjid seluruh Turki dan bangunan-bangunan penting pada hari ini di Turki. Apabila berada di sini, seolah-olah kami telah melawat seluruh tempat bersejarah di Turki.


Kenangan berada di Turki pastinya indah dan tidak akan saya dan teman-teman yang lain lupakan. Bermula dengan Masjid Baru di Eminonu, kecantikan Selat Bhosporus yang menjadi pemisah antara Turki Asia dan Eropah, keunikan masjid-masjid serta kebersihan bandar Istanbul begitu mengasyikkan...


Untuk akhirnya tidak dilupakan kepada muysrif kami ust Omar, Ust Mahmud dan Fatih Bey yang telah banyak membantu menguruskan rehlah ini. Tidak dilupakan sahabat serehlah dan sahabat-sahabat Turki di Universiti Istanbul serta orang perseorangan mahupun NGO’s yang telah menaja makanan kami selama berada di sana.


Sekadar ini yang termampu saya coretkan dalam ruangan catatan kembara ini. erima Kasih buat semua...Jazakumullah kahiran jaza’. (SUKMA 13-edisi DPM Shubra)

SHEIKH REDHA SALIM RAHIMAHULLAH - Al-Fatihah

Posted by syababghard on Sunday, July 19, 2009 , under | comments (0)



Al-Fatihah....mulut saya terkumat kamit membacakan surah al-Fatihah selepas menerima sms dari teman di Shubra mengenai berita kembalinya Syeikh Redha Salim ke rahmatullah. Salah seorang syeikh kami yang begitu rapat dengan pelajar 'Malizi' di Shubra, Mesir.... Semoga Allah menempatkan beliau di tempat orang2 yang beriman.....Amin...


SHOUBRA 18 Julai - Seluruh warga Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra telah dikejutkan dengan berita pemergian Syeikh Redha Salim. Syeikh Redha merupakan syeikh dan qurra' di Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra. Beliau kembali ke rahmatullah pada pagi ini di kediaman beliau di Mumbiyadhah, Shoubra.

Berita pemergian beliau amat mengejutkan ramai pihak lebih-lebih lagi para pelajar Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra. Ini berikutan keadaan beliau yang kelihatan masih sihat dan mampu berjalan ke sini sana tanpa menunjukkan tanda-tanda yang beliau tidak sihat. Difahamkan beliau meninggal akibat diserang penyakit lelah. Beliau meninggal ketika berusia 56 tahun.

Kehilangannya amat dirasai oleh warga Maahad lebih-lebih lagi beliau merupakan salah seorang syeikh yang mempunyai sanad yang tinggi dalam periwayatan Al-Quran. Satu kelebihan yang dikurniakan Allah kepada beliau adalah walaupun beliau buta, tetapi hatinya tetap 'celik' dan mampu mengingati 30 juzuk Al-Quran.

Jenazah almarhum disemadikan di kampung halamannya di Qalyubiah. Semoga Allah memberkati dan merahmati Sheikh Redha Salim Rahmatullahi 'alaihi wasia'ah. Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang amat besar dalam bidang ilmu Qiraat. Tarikh 18 Julai 2009 masehi bersamaan 25 Rejab 1430 hijrah pasti akan menjadi ingatan yang terpahat kukuh di hati para pelajar beliau. Allahummaghfirlahu warhamhu wa'aafihi wa'fu'anhu.

Perkhemahan Pelajar Islam 2009 (10 - 12 Julai 2009 )

Posted by syababghard on Wednesday, July 15, 2009 , under | comments (0)



Bandar Jengka, 15 Julai - Ilmam Pahang (Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir) dengan kerjasama Pusat Latihan Pertahanan Awam (PULAPA) bandar Jengka telah menganjurkan Perkhemahan Pelajar Islam baru-baru ini.

Program ini telah disertai seramai 38 orang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah sekitar Temerloh, Chenor dan Bandar Jengka.

Program selama 3 hari itu telah memuatkan beberapa pengisian yang menarik denganm gabungan ilmu-ilmu penghayatan Islam iaitu Aqidah, Ibadah, Akhlak juga mengaitkan beberapa pengisian serta penerapan berkaitan nilai-nilai murni sebagaimana yang tercatat di dalam Falsafah Pendidikan Islam iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek.

Setiap modul yang disediakan kepada pelajar amat bermanfaat dan mempunyai objektif yang tersendiri. Juga melatih ciri-ciri kepimpinan dalam diri peserta.

Pelajar juga di beri peluang untuk memberanikan diri bercakap di dalam setiap program dengan memberikan pendapat dan pandangan masing-masing. Slot Debat Ala Parlimen juga sangat baik kepada peserta kerana slot ini memberi peluang para peserta menggunakan minda secara kreatif dan kritis untuk mencambahkan idea.

Program ini berakhir pada jam 12 tengahari hari ahad 12 Julai. Walaupun keletihan para peserta sangat gembira dengan pengisian serta dorongan dari urusetia dan fasilitator yang terdiri daripada ahli Ilmam Pahang. [ Ilmam Pahang]

SMA Darun Naim : imbasan memori....

Posted by syababghard on Tuesday, July 14, 2009 , under | comments (0)



Alhamdulillah, saya berkesempatan menziarahi SMA Darun Naim semalam. Saya memasuki sekolah ini semasa tingkatan 1 pada tahun 1997 hingga tingkatan 2 - 1998. Selepas itu saya berpindah ke SMA Al-khairiah, Temerloh. Semuanya kerana taqdir Allah.


Setelah saya berpindah ke SMA Al-Khairiah, saya boleh kira dengan jari kekerapan saya datang ke sekolah ini. Saya pun x ingat kenapa,... tapi selepas pulang ke Mesir inilah kali pertama saya ke sekolah ini.

Walaupun saya hanya berada di sekolah ini hanya 2 tahun, saya cukup berbangga. Banyak juga ilmu serta pengalaman yang saya dapat di sekolah ini.

Saya sebenarnya di 'tamrin'kan di sini. pada waktu itu us shuhaimi sebagai warden, dengan tegasnya mendidik serta amat menitikberatkan solat berjemaah bgg kami yang tinggal di asrama. Kesannya cukup mendalam. Antara lainnya ramai juga teman2 yang banyak membantu saya semasa di sini.

Hanya pada Allah saya ucapkan syukur....

Kini SMA Darun Naim telah banyak berubah. Struktur bangunan juga telah banyak ditambah. Cuma bilangan pelajar ketika ini hanya tinggal lebih kurang 130 orang sahaja. Kalau dahulu lebih kurang 350 pelajar. Saya tidak tahu kenapa....

Bangunan ASPURA yang baru

Penambahan bangunan ASPURI

Musolla

Saya juga mengenali Mudir, Ust Hotfi yang juga sedang berkursus KPLI-KDC bersama saya di maktab Lipis. Banyak juga masalah yang diceritakan kepada saya....

Apapun, saya doakan semoga sekolah ini terus berada dalam perhatian semua dan saya juga mendoakan kepada tenaga pendidik yang telah mendidikan dan membentuk saya serta ilmu2 yang telah di sampaikan... semoga Allah merahmati semua....

Rehlah Tabadul Thaqafi Turki '08 (4)

Posted by syababghard on Sunday, July 12, 2009 , under , | comments (0)




MAQAM ABU AYYUB AL-ANSARI R.A (hari ke-6 : 10 Julai 2008)

Menghayati kesungguhan Abu Ayyub Al-Ansari dalam usaha baginda untuk memperjuangkan Islam telah berbekas di dalam jiwa kami. Sayu di hati apabila berada di sisi maqam baginda.

Abu Ayyub Al Ansari pernah mengikuti ekspedisi perang menentang tentera Rom di Constantinople semasa zaman kerajaan Bani Umaiyyah. Baginda ingin jasadnya dikuburkan di tembok Constantinople dan ketika ditanya mengapa baginda ingin dikuburkan ditembok tersebut, baginda berkata kepada panglima Bani Umaiyah: "Aku mendengar baginda Rasulullah S.A.W mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut & aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda."

Maqam baginda terletak di medan Eyup Sultan yang berada di dalam ruang masjid Abu Ayyub Al-Ansari.

Menjadi kebiasaan jamaah di sini setiap hari selepas solat Subuh mereka akan keluar dari masjid beramai-ramai menuju dan menghadap ke maqam Abu Ayyub Al-Ansari seterusnya meng'amin'kan doa yang di baca oleh imam.

Beberapa fakta menarik mengenai baginda....

Abu Ayyub al-Ansari r.a (587 - 668) atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid bin Kulaib dari Bani An-Najjar. Beliau mendapat penghormatan kerana Rasulullah SAW turun dari unta baginda di rumah beliau selepas baginda memasuki Madinah semasa baginda berhijrah ke sana dari Mekah.

Semasa Rasulullah SAW memasuki Madinah, setiap orang dari kalangan orang-orang Ansar bercita-cita supaya Rasulullah SAW turun dari unta baginda di rumah mereka. Mereka menghalang perjalanan unta Nabi SAW secara silih berganti supaya unta baginda menghala ke rumah mereka kemudian Nabi bersabda kepada mereka: “Biarkanlah ia pergi kerana ia telah diperintahkan”. Lalu unta tersebut terus berjalan sehinggalah ia berhenti di halaman rumah Abu Ayyub Al-Ansari r.a.

Abu Ayyub terlalu gembira melihat keadaan tersebut lalu beliau terus mendapatkan Rasulullah SAW menyambut kedatangan baginda dengan perasaan terlalu gembira dan rasa sangat terharu sambil membawa barang-barang yang dibawa oleh Nabi SAW seolah-olah beliau membawa khazanah dunia kemudian terus masuk ke rumahnya.

Beliau terlibat dalam peperangan menentang kerajaan Rom Byzantine sejak mula perjuangan hinggalah ke zaman pemerintahan Muawiyah. Beliaulah yang diisyaratkan oleh baginda dalam hadisnya yang bermaksud:

"Seorang lelaki yang soleh akan syahid dan akan dikuburkan di bawah kubu kota Konstantinopel"

Turki Uthmaniyyah mengangkat beliau sebagai idola dalam usaha pembebasan kota Konstantinopel ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fatih.

Rehlah Tabadul Thaqafi Turki '08 (3)

Posted by syababghard on Saturday, July 11, 2009 , under , | comments (0)



BURSA (hari Ke-3 & 4 :7 & 8 Julai 2008)


Selain Istanbul, kami berpeluang sampai ke Bursa. Bursa merupakan sebuah wilayah kecil selatan Istanbul. Bursa juga adalah sebuah wilayah yang kaya dengan hasil pertaniannya dan terkenal dengan kawasan berbukit, juga sebuah kota bagi kerajaan Uthmaniah suatu ketika dahulu.


Kami di Bursa selama 2 hari 1 malam. Kami berpeluang menaiki kereta cabel. Uniknya kereta cabel ini di bina oleh seorang jurutera dari Jerman yang akhirnya telah memeluk Islam dan diberi penghormatan sebagai warga asing pertama dikebumikan di permaqaman Emir Sultan. Emir Sultan ialah seorang wali dari keturunan Nabi SAW yang telah berkahwin dengan anak kepada Sultan Yeldrim Biyazed (sultan ke-4 kerajaan Uthmaniah).


Selain itu, kami juga menziarahi masjid Ulu Jamik yang telah dibina oleh Sultan Yeldrim Biyazed sebagai membayar nazar kerana telah memenangi peperangan menentang tentera Byzantine di Wilayah Adana. Keistimewaan masjid ini ialah pernah dikunjungi oleh Nabi Khidir a.s dan dipenuhi dengan khat-khat yang cantik dan ada di antara khat-khat tersebut usianya telah mencapai ratusan tahun.


Satu lagi yang suka untuk saya coretkan di sini ialah semasa di Bursa kami di beri peluang untuk menikmati makanan Turki di sebuah restoran terkenal Yesyil Konak yang berlatar belakangkan bukit tertinggi di Bursa serta permandangan bandar Bursa yang indah. Kami dihidangkan dengan hidangan kebab dan kuftah ala Turki yang turut dinikmati oleh pimpinan besar negara-negara luar yang hadir ke Bursa antaranya tokoh politik terkenal Indonesia Amin Rais.


Antara tempat lain ialah kami di bawa menziarahi sekolah 5 bintang hasil infaq rakyat Turki, bazar sekitar Masjid Ulu Jamik dan beberapa masjid-masjid lain yang terkenal dengan seni binanya yang unik.

Rehlah Tabadul Thaqafi Turki '08 (2)

Posted by syababghard on Thursday, July 09, 2009 , under , | comments (0)



MAQAM SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH / FATIH SULTAN MEHMED 1432-1481
(Hari ke-2 : 6 Julai 2008)

Alhamdulillah, sagala puji dan syukur hanya kepada Allah. Saya tidak pernah terfikir untuk sampai dan menziarahi maqam seorang sultan yang agung ini. Maqam baginda di jaga dengan rapi dan berada di dalam bongkah kaca. Di bahagian kepala terdapat serban besar di atas dan di dinding terdapat frame logo kerajaan Uthmaniah serta bingkai khat yang tertera hadis Nabi SAW :

"لتفتحنَّ القسطنطينية فلنعمَ الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش" رواه أحمد

(“Constantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera.” )

Sukacita saya sertakan maklumat ringkas berkenaan dengan baginda.

Sultan Muhammad II juga dikenali dengan Muhammad al-Fatih atau "si Penakluk" dilahirkan pada 30 Mac 1432 di Edirne dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hünkârcay?r?, berdekatan Gebze. Baginda adalah Sultan yang memerintah Empayar Uthmaniyyah dalam masa yang singkat iaitu dari tahun 1444 ke 1446 dan kemudian dari tahun 1451 ke 1481. Baginda menakluk Constantinople ketika berumur pada umur 21 tahun sehingga membawa kepada kehancuran Empayar Byzantine.

Muhammad II dilahirkan di Edirne yang pada masa itu merupakan ibu kota kerajaan Uthmaniyyah pada 30 Mac 1432. Bapanya adalah Sultan Murad II (1404–51) ibunya Huma Hatun, anak perempuan Abd'Allah dari Hum.

Muhammad al-Fatih merupakan seorang sultan yang mementingkan kekuatan dalaman dan luaran para tenteranya. Mempunyai kepakaran dalam bidang ketenteraan, sains, matematik dan menguasai enam bahasa (bahasa Turki, Greek, Hebrew, Arab, Parsi dan Latin) pada ketika berumur 21 tahun, beliau adalah seorang pemimpin yang hebat, warak dan tawaduk selepas Sultan Salahuddin Al-Ayyubbi (pahlawan Islam dalam Perang Salib) dan Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz (pahlawan Islam dalam peperangan di Ain Jalut menentang tentera Mongol). Malah sifat-sifat baginda dan tenteranya telah diisyaratkan oleh Rasulullah S.A.W:

“Constantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera.”

Kejayaan baginda dalam menewaskan tentera Salib menyebabkan ramai kawan dan lawan kagum dengan kepimpinan baginda serta taktik dan strategi peperangannya yang dikatakan mendahului pada zamannya dan juga kaedah pemilihan tenteranya. Baginda merupakan anak didik Syeikh Syamsuddin yang mana merupakan keturunan Abu Bakar As-Siddiq.

Antara sumbangan baginda adalah menakluk Constantinople yang juga menyebabkan berakhirnya Empayar Byzantine. Baginda jugalah yang menukar nama Constantinople kepada Islambol (Islam keseluruhannya). Kini nama tersebut telah ditukar oleh Mustafa Kamal Ataturk kepada Istanbul. Di atas jasanya, Masjid Al Fatih telah dibina bersebelahan makamnya.

Diceritakan bahawa para tentera Sultan Muhammad Al Fatih tidak pernah meninggalkan solat wajib sejak baligh & separuh dari mereka tidak pernah meninggalkan solat tahajud sejak baligh. Hanya Sultan Muhammad Al Fatih sajalah yang tidak pernah meninggalkan solat wajib, tahajud & rawatib sejak baligh hinggalah ke saat baginda meninggal dunia.

Sesuailah untuk kita jadikan baginda sebagai suri tauladan dalam hidup kita.

Rehlah Tabadul Thaqafi Turki '08 (1)

Posted by syababghard on Sunday, July 05, 2009 , under , | comments (0)



5 Julai 2008, saya dan beberapa teman2 yang lain telah bertolak menuju ke Instanbul. Rehlah yang dianjurkan olek Markaz Nil dengan kerjasama PMRAM ini berjaya buat julung kalinya.

Tidak disangka2, kami diberi kesempatan oleh Allah untuk menjejaki negara yang penuh bersejarah itu, terutama sejarah Islam global berkaitan Kerajaan Uthmaniah satu ketika dahulu.
Kami di sana hampir 2 minggu.

Penginapan dan makan minum kami telah ditaja oleh pertubuh
an2 ngo Islam di sana. Wang poket kami hanya dikeluarkan untuk tambang kapal terbang sahaja. Suka saya catatkan beberapa maklumat serta info yang saya dan teman2 perolehi semasa di sana. .......

berlatarbelakangkan EMINONU YELICAMII (New mosque) 1597-1663

MUKADDIMAH

Suatu masa dahulu saya pernah membaca novel bertajuk Sesegar Nailofar karya Zaid Akhtar. Itulah pertama kali saya membaca novel dan kemudiannya timbul minat untuk membaca novel selepas itu, akan tetapi mesti pastikan juga jenis novel, yang penting boleh menambah ilmu dan memberi pengajaran, lebih-lebih lagi novel yang ada kaitan dengan agama.


Apa yang ingin saya utarakan di sini bukanlah novel perkara pokoknya, cuma kaitan yang ada di dalam novel Sesegar Nailofar itu. Antara isinya (ingat-ingat lupa) beberapa info berkaitan dengan Istanbul dan beberapa tempat di bandar yang penuh dengan sejarah agungnya suatu ketika dahulu, antaranya Selat Bosphorus, Masjid Biru, Aya Sofia dan sebagainya. Melalui novel itu, saya mendapat maklumat tentang beberapa lokasi tersebut dan cuba membayangkan latar suasananya.


Alhamdulillah, tidak disangka-sangka , dengan izin Allah Yang Maha Hebat dengan perancanganNya mengatur dan mentadbir alam ini, saya diberi peluang menyertai Rehlah Tabadul Thaqafi ke Turki anjuran bersama Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan Markaz Nil serta beberapa NGO di Turki.

Istanbul ialah bandar raya terbesar, juga pusat kebudayaan dan ekonomi Turki. Bandar raya ini yang merupakan ibu negeri Wilayah Istanbul terletak berhampiran Selat Bosphorus, dan merangkumi pelabuhan asli yang dikenali sebagai Golden Horn (bahasa Turki: Haliç) di barat daya negara ini.


Istanbul yang keluasannya menjangkau kedua-dua belah Selat Bosphorus di kedua-dua benua Eropah (Thrace) dan Asia (Anatolia) merupakan metropolis yang unik di dunia. Istanbul yang begitu bersejarah pernah menjadi ibu kota kepada tiga buah Empayar yang berbeza iaitu:


1. Empayar Rom (330-395);

2. Empayar Rom Timur (395-1453); dan

3. Empayar Uthmaniyyah (1453-1923).


Saya tidaklah berhajat untuk memperpanjangkan maklumat mengenai bandar yang dahulunya pernah dipanggil Constantinople dan Stamboul ini dan tidak juga berhasrat untuk menceritakan sepenuhnya diari kembara perjalanan saya dan teman-teman yang lain dalam rehlah ini, sebaliknya hanya beberapa catatan ringkas untuk tatapan semua.


ISTANA TOPKAPI / MUZIUM TOPKAPI (hari Ke-2 : 6 Julai 2008)


Salah satu bangunan terbesar di Historical Peninsula, ialah Istana Topkapi yang merupakan tempat tinggal para sultan Kerajaan Othmaniah. Bangunan ini terbahagi kepada empat bahagian besar dan tiga gerbang utama. Pada bahagian pertama istana, terdapat sebuah gereja yang telah dibina oleh orang Romawi. Walaubagaimanapun, bangunan itu kini digunakan sebagai gedung teater.


Di bahagian kedua istana terdapat Harim Section atau tempat tinggal isteri-isteri sultan. Mereka diajarkan cara menyulam dan memainkan beberapa instrumen muzik.


Bilik terbesar di Istana Topkapi memang berada di Harim Section. Ada pula sebuah ruangan yang digunakan untuk pertemuan rahsia. Di ruangan ini terdapat pancuran air untuk mengelabui suara saat pertemuan berlangsung.


Pada bahagian ketiga Istana Topkapi, terdapat sekolah untuk pelajar-pelajar berumur 10 tahun. Semua kanak-kanak tersebut dipilih oleh sultan dari serata pelosok Turki, sementara tempat tinggal para sultan berada di kawasan ke empat. Tempat ini biasanya digunakan sultan untuk berbuka puasa pada hari pertama Ramadan.


Selain itu, terdapat sebuah bangunan di mana di dalamnya di simpan beberapa artifak peninggalan Rasulullah SAW dan sahabat baginda. Kami berpeluang melihat di dalamnya serban Rasululah SAW, pedang, rambut, kesan tapak kaki baginda.


-- saya dan teman2 di Istana TOPKAPI>>


Terdapat juga pedang Saidina Ali, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman. Antara yang turut kami lihat ialah Tongkat Nabi Musa a.s, Serban Nabi Yusof s.a, pancur Emas (milik Kaabah Al-Musyarrafah yang lama) dan banyak lagi.


Secara umumnya, Istana Topkapi adalah sebuah istana milik Sultan Kerajaan Uthmaniah satu ketika dahulu dan merupakan tempat tinggal Sultan Kerajaan Uthmaniah sehinggalah pemerintahan Sultan Abdul Majid I pada tahun 1839-1860. Kini, istana ini dijadikan muzium dan dibuka kepada orang ramai.


bersambung....


Risalah Menutup Aurat untuk remaja FELDA!!! II

Posted by syababghard on Friday, July 03, 2009 , under | comments (0)



Cara Bertudung Menurut Syara‘

Antara pakaian yang digunakan untuk menutup aurat pada bahagian kepala wanita seperti rambut, telinga dan sebagainya ialah tutup kepala yang dikenali sebagai tudung. Ciri-ciri tudungkepala yang dituntut oleh syara‘ itu adalah seperti berikut:


1. Tudung itu menutupi seluruh kepala termasuk leher, kecuali kawasan muka. Bukanlah cara bertudung yang betul menurut syara‘ jika masih menampakkan rambut, leher, tengkuk, telinga, bahagian dada dan seumpamanya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang bermaksud :
“Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;….” (Surah an-Nur: 31)

Belahan baju itu letaknya di kawasan dada. Oleh yang demikian, tudung kepala itu hendaklah juga menutup atau menyembunyikan bahagian dada.


2. Tudung itu diperbuat daripada kain atau bahan yang tebal yang menutupi warna kulit dan rambut dari kelihatan. Bukan tudung yang jarang, nipis atau berlubang-lubang sehingga boleh menampakkan warna kulit atau anggota aurat yang lain.


Antara Ciri-Ciri Pakaian Yang Dilarang Oleh Syara‘

Selain daripada ciri menutup aurat, pakaian wanita yang dituntut oleh syara‘ hendaklah juga bukan pakaian yang khusus dipakai oleh kaum lelaki sahaja, umpamanya pakaian cara Melayu dan baju kemeja. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telahpun memberi peringatan sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya: َ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat lelaki yang memakai pakaian (cara) perempuan dan (melaknat) perempuan yang memakai pakaian (cara) lelaki.”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Adapun maksud laknat itu ialah seseorang itu jauh dari rahmat dan belas kasihan Allah Ta‘ala. Bila Allah Ta‘ala dan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melaknat ke atas seseorang itu, maka menunjukkan orang itu telah membuat suatu dosa besar dan menjadikannya seorang fasiq.


Pakaian yang dituntut oleh syara‘ juga ialah pakaian yang bukan dipakai untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk, kerana memakai pakaian dengan tujuan sedemikian adalah dilarang dalam Islam sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu‘alaihi wasallam bersabda:


Maksudnya: “Barangsiapa yang memakai pakaian yang megah ketika di dunia, maka Allah akan memakaikannya pakaian kehinaan pada hari Qiamat, kemudian dinyalakan api di dalamnya (pakaian tersebut).” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Kesedaran tentang tanggungjawab menutup aurat perlu bermula dari individu itu sendiri. Untuk menyuntik kesedaran ini, perlu ada kefahaman tentang maksud sebenar-benarnya menutup aurat. Apabila kaum wanita memahami maksud sebenarnya menutup aurat sebagai satu bentuk ketaatan kepada Allah Subhanahu waTa‘ala dan juga satu nikmat yang wajib disyukuri dan dipelihara, mereka tidak akan bersikap mencuai-cuaikan dan menangguhnangguhkan kewajipan ini atau memilih-milih waktu dan tempat untuk melaksanakannya. Sebaliknya mereka akan istiqamah dan bersungguh-sungguh melaksanakannya dengan memenuhi ciri-ciri pakaian sebagaimana yang dituntut oleh syara‘.

Termasuk dalam misi perlaksanaan perintah menutup aurat ini, para ibu-bapa, suami dan keluarga mesti turut berperanan malahan bertanggungjawab untuk mendidik, membimbing dan menasihati anak, isteri, ibu dan anggota keluarga yang lain supaya sentiasa melaksanakannya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala maksudnya :

“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.” (Surah asy-Syu‘ara’: 214)

Tanggungjawab dan kewajipan menyuruh menutup aurat itu tidak terkecuali digalas juga oleh ahli masyarakat. Sikap tegur-menegur dan saling menasihati adalah tuntutan agama Islam. Maka setiap seorang daripada kita juga bertanggungjawab dalam sama-sama menjauhkan perkara-perkara dosa dan maksiat. Perkara ini berdasarkan kepada firman Allah Ta‘ala:


Tafsirnya: “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)

Dengan kesedaran wanita muslimah kita tentang tanggungjawabnya dalam menunaikan kewajipan menutup aurat serta peranan yang dimainkan oleh semua pihak, akan terbentuklah
masyarakat yang berpakaian benar-benar menepati kehendak syara‘.

Rehlah Tabadul Thaqafi Turki II

Posted by syababghard on Wednesday, July 01, 2009 , under , , | comments (0)




Saya terus membaca. Sah, rehlah ini adalah anjuran markaz nil dengan kerjasama pmram ke turki, negara yang penuh dengan sejarah kerajaan turki uthmaniah itu.

Pada tahun lepas saya dan beberapa sahabat yang lain telah ke sana juga melalui program rehlah yang sama. tahun ini hafizul sekali lagi ke sana dan telah dilantik oleh pmram sebagai musyrif. tahniah impian nta utk ke sana dimakbulkan ....semoga Allah permudahkan musafir antum..

------------------------------------------------------------------



BERITA arkib 2008 : PMRAM MENGHANTAR WAKIL KE TURKI
(PROGRAM LAWATAN SAMBIL BELAJAR)





Tanggal 5 Julai 2008 merupakan tarikh bersejarah buat PMRAM apabila buat julung kalinya berjaya menganjurkan rehlah ke Turki hasil kerjasama di antara pihak PMRAM dan wakil mereka di Mesir. Rehlah ini bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah sesama Muslim tanpa mengira bangsa dan kaum di samping bertukar pandangan dan maklumat sepanjang di sana.

Rombongan seramai 16 orang ini mula berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada jam 1.00 pagi yang diketuai oleh Saudara Khalil Yahya daripada Perak. Sebaik sahaja tiket diberikan oleh pihak Turki, Ustaz Umar kepada semua peserta, Presiden PMRAM yang hadir bersama-sama dalam majlis perlepasan tersebut memberikan kalam nasihatnya.

Dalam ucapannya beliau mengharapkan semua peserta supaya saling taaruf dan kenal- mengenali antara satu sama lain memandangkan kesemuanya daripada tempat dan negeri yang pelbagai, selain itu beliau juga mengingatkan agar menjaga akhlak dan keperibadian selaku pelajar Muslim dan selaku duta kecil PMRAM sepanjang di sana.

Selain itu, beliau juga mendoakan agar perjalanan ini selamat pergi dan pulang dan sentiasa dalam pemeliharaan Allah.

Selepas bacaan doa yang diketuai oleh Saudara Mohd Zarimi dari Shoubra, peserta bersiap untuk bertolak. Tiga peserta akhir yang lewat tiba di lapangan terbang turut sempat untuk menyertai rombongan tersebut. Turut bersama pada malam tersebut ialah Naib Setiausaha Agung Saudara Hanafi Zulkapli dan Ketua Badan Sambutan dan Rehlah Saudara Mohd Adlan Mokhtaruddin.

Rombongan ini telah berlepas pada jam 4.00 pagi dan tiba pada jam 6.30pagi. Sebagaimana maklum, rombongan ini sepatutnya berlepas pada 3 Julai yang lalu, akan tetapi berlaku permasalahan yang tidak dapat dielakkan menyebabkan penerbangan ditangguhkan pada 5 Julai.

PMRAM mendoakan rombongan wakil PMRAM ke Turki ini agar selamat pergi dan kembali semula ke Mesir.