Tuesday, March 31, 2009

KITA PMRAM...pertahankan PMRAM...

COPY PASTE 1 : Suara Pembela PMRAM

Madinah Nasr,26 mac 2009, Seluruh perwakilan yang mewakili semua Badan Kebajikan Anak Negeri dan Dewan Perwakilan Mahasiswa Malaysia seluruh Mesir berikrar akan mempertahankan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan naungannya dari diganggu gugat oleh sebarang anasir yang menggugat dan memecah belahkan ahli dan kesatuan.


Mukatamar Tahunan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) kali ke-76 sebulat suara meluluskan dua usul yang membawa kesepakatan lebih 3000 ahlinya mempertahankan kesatuan PMRAM dari sebarang serangan dan gangguan , 11 Badan Kebajikan Anak Negeri dan 8 Dewan Perwakilan Mahasiswa Malayasia yang bernaung di bawah lembayung kesatuan PMRAM menyatakan sokongan penuh menolak sebarang usaha kotor pihak tertentu untuk menggugat keutuhan solidariti mahasiswa Malaysia di Mesir.lebih kurang 1000 ahli hadir ke muktamar tersebut termasuk 750 perwakilan sepakat menyatakan sokongan padu dan dewan muktamar digegarkan dengan tepukan gemuruh apabila usul-usul tersebut diluluskan.

Walaubagaimanapun Perhimpunan Agung Umno yang dijalankan serentak dengan tarikh Muktamar Tahunan PMRAM memutuskan sebaliknya. PMRAM bukan sahaja ditohmah malah diusul untuk dihapuskan.

Menurut laporan malaysiakini, seorang perwakilan Umno luar negara yang menuntut universiti di Southampton, Britain mengusulkan supaya PMRAM diharamkan. Gesaan itu dibuat atas alasan kononnya ia menyebarkan ideologi politik pembangkang.

Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan juga menggesa biasiswa pemimpin Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) ditarik balik. "PMRAM perlu diharamkan, biasiswa pelajar yang menyertai PMRAM perlu ditarik balik," katanya.

"Apabila pelajar kita tiba sahaja (di Mesir), PMRAM lebih dahulu menyambut mereka di lapangan terbang. "Mereka ini, pegawai- pegawai kita pun takut.


Walaubagaimana pun Presiden PMRAM menegaskan bahawa PMRAM bukanlah sebuah organisasi politik seperti Kelab Umno Mesir yang jelas nama dan gagasan ideologi politiknya adalah dari Umno Malaysia. Namun harus difahami bahawa jelas berbeza diantara berpolitik secara langsung dan mengambil tahu serta menyatakan pandangan dalam sebarang isu termasuk isu politik. Malah kewajipan masiswa menyatakan pandangan dalam sebarang isu adalah suatu kewajaran yang tidak dapat disangkal lagi. Ia bebas untuk diamalkan oleh sesiapa sahaja , dimana-mana sahaja untuk memberikan sikap dan pandangan masing-masing selaku mahasiswa yang prihatin dan bersemangat patriotik.

Jelas, Pmram tidak pernah menamakan diri sebagai organisasi poltik , malah tidak wujud langsung dalam objektif penubuhannya sebarang gagasan politik seperti kelab Umno Luar Negara yang namanya pun sudah jelas membawa aspirasi Umno Malaysia.walaubagaimana pun PMRAM selaku pendokong kepada proses perkembangan kemahasiswaan yang baik tidak mengahalang sesiapa jua dari kalangan mahasiswa termasuk ahli kelab Umno dari menyatakan pandangan dan perbincangan sebarang isu kenegaraan termasuk isu politik Malaysia.

Apakah wakil kelab Umno tersebut sudah hilang pertimbangan sehingga mencadangkan agar PMRAM diharamkan kerana kononnya berpolitik. Sedangkan ia sendiri ahli kelab Umno yang jelas berpolitik. Gesaannya supaya biasiswa pelajar yang meyertai PMRAM ditarik balik tidak lebih dari menunjukkan sikap politik kediktatoran yang berjaya disematkan kedalam setiap pemikiran ahli kelab Umno. Apakah pemikiran yang penuh hasad dan kedengkian ini yang menjadi tunjang kepada gerakan kelab Umno yang membawa aspirasi Umno Malaysia.

Sikap ini bukan sahaja mencerminkan dendam kesumat malah ia adalah lambang betapa tidak profesionalnya mereka setelah gagal mendapat tempat di kalangan mahasiswa Al Azhar yang terkenal sebagai kilang melahirkan pejuang Islam di seluruh dunia. Apakah Kelab Umno Mesir terlalu menikus sehingga sanggup membiarkan wakil Kelab Umno Britain untuk membawa gesaan tersebut yang jelas mencampuri urusan mahasiswa Malaysia Mesir dan amat menyimpang dari dasar kesatuan dan perpaduan yang dicanangkan oleh Umno untuk menyatukan Melayu.

Apakah mereka tidak menyedari bahawa PMRAM adalah sebuah NGO besar Melayu di Mesir yang sah berdaftar dengan kerajaan Mesir.Mengharamkan PMRAM seumpama mengkhianati sebuah khazanah Melayu yang amat bernilai dalam siri sejarah keagungan perkembangan ketamadunan Melayu yang bertaraf antarabangsa.

PMRAM sendiri lebih awal ditubuhkan untuk menanungi rakyat Malaysia sekian lama sebelum tertubuhnya Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah. Malah kesatuan mahasiswa seawal penubuhan PMRAM lah yang menggesa supaya kerajaan Malaysia pada waktu itu mewujudkan sebuah kedutaan di Mesir.

Kini isu pengharaman PMRAM kembali timbul pada Perhimpunan Agung Umno setelah ia pernah disensasikan suatu ketika dahulu oleh menteri yang mengawal Kementerian Penerangan pada waktu itu.

Mantan menteri Umno Zainudin Maidin pernah mengecam PMRAM secara terbuka dalam arus media perdana Malaysia beberapa tahun dahulu. PMRAM diserang bertubi-tubi dengan tuduhan yang tidak berasas sama sekali.Di antaranya PMRAM dituduh mengongkong kebebasan mahasiswa Al Azhar. Malah nama PMRAM pernah meniti di setiap mulut kepimpinan Umno sebagai sasaran kedua yang wajib djatuhkan selepas kerajaan PAS kelantan suatu ketika dahulu.

Usaha pihak pemerintah ini dikuatkan lagi dengan usaha mengutuskan pegawai bagi menjaga setiap premis rumah-rumah negeri bagi menghalang PMRAM dari bergerak aktif di kalangan anak-anak negeri. Bukan sahaja PMRAM dilarang menggunakan dewan rumah-rumah negeri malah lambang PMRAM turut dilarang untuk dipamerkan dalam sebarang iklan dan notis.

Pmram juga pernah ditohmah sebagai pertubuhan haram, pengganas dan presidennya kaki perempuan dalam siri-siri kursus persediaan untuk ke Mesir oleh Biro Tata Negara Malaysia. Apakah perlu kerajaan Malaysia membayar ribuan ringgit kepada petugas-petugas BTN hanya semata-mata untuk memburukkan PMRAM dan mengugut mahasiswa baru dari bergerak aktif bersama PMRAM di Mesir.

Selain kecaman terbuka terhadap PMRAM dan ahlinya,Ia pernah dinafikan hak untuk menggunakan sebarang premis kerajaan Malaysia di Mesir. Malah sehingga kini PMRAM masih lagi dinafikan hak memiliki pejabat dan penggunaan Rumah Melayu (sekarang Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) oleh kerajaan Malaysia. Sedangkan umum mengetahui bahawa sejarah menyatakan tanah kawasan terbinanya (DMAK) asalnya adalah kurniaan kerajaan Mesir kepada PMRAM atas kebersamaannya mendokong kerajaan Mesir menghadapi Perang Mesir -Israel. Sebagai catatan umum, termaktub didalam surat perjanjian penyerahan tanah tersebut kepada kerajaan Malaysia ialah hak PMRAM untuk menerima suatu ruang di (DMAK) sebagai pejabat pentadbiran yang dinafikan hingga ke saat ini.

Bukan sahaja PMRAM yang dimangsakan oleh kerajaan bahkan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir(BKSAM) juga pernahkan diharamkan oleh Kerajaan Selangor pimpinan Umno .Pelbagai sekatan yang telah dikenakan terhadap pelajar Selangor yang menyertai PMRAM,zakat disekat dan dipolitikkan, malah kemuncak penganiayaan tersebut ialah segelintir pelajar dihalau serta dihalang untuk menghuni asrama Selangor.Peristiwa yang hampir sama berlaku terhadap Keluarga Penuntut Terengganu (KPT) , hak penggunaan satu ruang di asrama Terengganu sebagai pejabat pentadbiran turut dinafikan.Terkini Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang Mesir(BKIMP) pula sedang diancam untuk dibubarkan oleh pihak tertentu.

Perjuangkan hak dan kesatuan mahasiswa Malaysia Mesir
Sekian

Pejuang Kecil
http://najhie.blogspot.com/

9.22 pagi, 1 Rabiul Akhir 1439
Rumah Kedah Hayyu 10, Kaherah, Mesir.


COPY PASTE 2 : Umno takut golongan agama !

Selesai sudah Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-76 yang berlangsung tanggal 25 – 26 Mac kelmarin yang bertempat di bumi Anbiya', Mesir. Ust Abdul Muiz ditaklif sebagai Presiden baru bagi sesi 2009/2010. Tahniah diucapkan.


Pelbagai isu dibangkitakan dalam muktamar tersebut. Namun, antara isu yang panas dan hangat dibahaskan adalah masalah tekanan yang dilakukan ke atas beberapa Badan Kebajikan Anak Negeri yang bernaung dibawah PMRAM. Semua tindakan-tindakan ini dilakukan oleh pegawai-pegawai yang dilantik oleh Kerajaan Negeri masing-masing dan dihantar ke Mesir kononnya untuk membantu urusan kebajikan pelajar-pelajar.


Namun, hakikatnya jauh dari tugasan sebenar. Kewujudan pegawai dari kerajaan Selangor (sebelum ini), akhirnya melumpuhkan sama sekali Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) dan sekarang berjaya digerakkan semula. Nasib yang sama menimpa Badan Kebajikan Anak Negeri Sembilan (BAKANS). Entah bagaimana nasibnya hingga kini, masih tidak diketahui. Anak-anak Terengganu yang bernaung dibawah Keluarga Penuntut Terengganu (KPT) juga menghadapi situasi yang sama. Hak-hak mereka semakin dinafikan.


Terkini, Badan Kebajikan Mahasiswa Islam Pahang (BKMIP) pula menjadi sasaran tekanan. Belum lagi 2/3 ahli mempersetujui pembubaran BKMIP untuk peralihan kepimpinan baru yang termaktub didalam perlembagaan badan mereka, mereka telah diarah untuk membubarkannya oleh pegawai yang dihantar kesana. Kemungkinan, kepimpinan baru yang akan dilantik adalah mahasiswa yang berkecenderungan kepada pihak Umno atau yang terlibat dengan Nadi Umno disana. BKMIP acuan Umno mungkin akan berlaku dalam masa terdekat dan hubungan dengan PMRAM akan dinafikan.


Setakat artikel ini ditulis, tiada perkembangan yang diterima. Namun, saya optimis bahawa mahasiswa Islam dari Pahang yang berada disana, adalah golongan terdidik dan mampu mempertahankan hak-hak mereka yang dinafikan.


Benar-benar malang apabila program-program Tafaqquh (pengajian ilmu) yang mempunyai kaitan dengan PMRAM dan dibuat dikediaman anak-anak Pahang dihalang. Makluman terkini juga menyebut, dalam masa terdekat, pegawai baru dari Pahang pula akan dihantar untuk bertugas tanggal 1 April ini dan entah bagaimana watak ‘orang baru’ ini, wallahua’lam.


Kisah tekanan kepada anak negeri yang bernaung dibawah PMRAM bukan lagi isu baru. Ia sudah puluhan tahun berlaku. Semuanya hasil dari kebimbangan menggila dan benar-benar gila regim Barisan Nasional terhadap golongan yang terdidik dengan Islam dan menjadikan Islam sebagai fikrah kehidupan. Impaknya, kepulangan mereka dari Al-Azhar umpama bom atom yang akan meledakkan ‘aqidah’ sesat Sekular dan Nasionalisme yang diimani oleh pemerintah. Maka, jalan pintasnya adalah dengan melemparkan serangan bertalu-talu kepada PMRAM kononnya mereka adalah alat parti pembangkang di Mesir.


Akhirnya, apa sahaja yang ada kaitan dengan PMRAM, menjadi sasaran tembakan mereka termasuk pertubuhan-pertubuhan anak negeri.


Bagi menghadapi ketakutan yang mengerikan kepada pelajar-pelajar agama ini, maka alternative pilihan sebagai talian hayat terakhir adalah mewujudkan kelab Umno di luar Negara termasuk di Mesir yang famous dengan nama Nadi Umno. Lalu, pejabat-pejabat Badan Perhubungan Umno pun ditubuhkan disana termasuk di kediaman anak-anak negeri dari Pahang. Isu pembukaan pejabat Umno ini sudah dibicarakan oleh Ust Nasrudin Tantawi sebelum ini diblognya selepas pulang dari kunjungan ke Mesir.


Namun, tersangat malang dan terasa ditimpa musibah, apabila mahasiswa yang berada dalam lingkungan pengajian Islam baik Syariah atau Ushuluddin dan sebagainya menjadi sedikit dungu menggabungkan diri bersama Nadi Umno disana. Ada yang memang jelas Umno, ada yang sekadar mencari ‘nikmat’ bersama Umno dan ada juga yang pelbagai alasan maslahah dan masalah.


Disaat mahasiswa dimomokkan dengan ancaman jika terlibat dengan pembangkang, dilarang keras didalam kursus Biro Tata Negara dari melibatkan diri dengan Pmram, namun mereka juga yang bertindak tidak professional dengan menubuhkan Kelab Umno atas alasan membantu kebajikan pelajar. Jika benar mahukan kebajikan pelajar terjamin, untuk apa melalui Kelab Umno?


Bagaimana pula kalau selepas ini muncul pelajar yang berfikiran ‘radikal’ sedikit dan meminta pula ditubuhkan Kelab Pas, Kelab Keadilan, Kelab….dll? Bubarkan dulu Kelab Umno sebelum berbicara soal larangan mahasiswa berpolitik !


Jika PMRAM dituding sebagai pro-pembangkang sekalipun (jika itu adalah benar), muhasabahlah semula berkali-kali dan ketuk kepala sekuat mungkin dan soal diri, mengapa pelajar agama menolak Umno.


Catatan penulis : Saya sangat berkeyakinan bahawa antara punca Mou antara 18 buah Ipts di Malaysia dengan Al-Azhar dibatalkan juga adalah dengan peranan ‘orang-orang’ dari Malaysia ini juga. Pelbagai alasan dibuat dan diwar-warkan untuk meyakinkan mahasiswa di Malaysia, kononnya ini adalah keputusan rasmi pentadbiran Al-Azhar walaupun pada hakikatnya jawapan pemerintah Malaysia berbeza-beza ketika ditanya. Tim.Menteri Pengajian Tinggi , Dato' Idris Haron jawab “kerana peluang pekerjaan kurang untuk lepasan Azhar bila pulang, maka kerajaan menghadkan penghantaran ke sana”. Najib Al-Tantuya jawab “ini kehendak Azhar kerana mahasiswa yang pulang kurang mampu menguasai bahasa Arab”. Siapa yang betul? Inilah step-step terselindung pihak penguasa untuk mengurangkan, menghalang bahkan akan menutup terus penghantaran mahasiswa Malaysia ke sana.


Oleh : http://arruhuljadid86.blogspot.com/

Monday, March 30, 2009

Penamaan Calon PRK Bukit Gantang (PRK P059)







...alhamdulillah, saya berkesempatan bersama-sama teman2 satu rombongan dari PAS Kaw. Kuala Krau ke hari penamaan calon di Bukit Gantang PRK P059..Kami satu rombongan yang menaiki sebuah bas bertolak sekitar jam 9.45 malam dan sampai di Masjid Baru Taiping jam 5 pagi...saya begitu bersyukur kerana ramai teman2 yang dahulunye sama belajar di mesir , saya ketemui mereka ketika sama berarak dalam hari penmaan calon ini...Allahuakbar!! mudahan ukhuwah ini kekal hingga ke syurga...ikatan aqidah sebagaimana yang di nyatakan oleh Imam Hassan Al-Banna.

Friday, March 27, 2009

TEGAKKAN BAITUL MUSLIM

Memperbaiki diri sendiri dan menyeru orang lain kepada Allah, merupakan dua kewajipan asasi di atas jalan dakwah wajib kepada setiap muslim lelaki dan wanita. Di samping dua kewajipan itu timbul lagi satu kewajipan yang tidak kurang pentingnya. Iaitu menegakkan rumahtangga muslim. Individu muslim itu adalah seorang lelaki aqidah yang wajib dipersiapkan untuk menjadi Muslim yang sejati yang menjadi contoh Islam yang sahih dan teladan yang patut di ikuti.

Kita sangat memerlukan rumahtangga muslim yang menjadi contoh sebagai tiang yang kuat di dalam pembangunan masyarakat Islam. Usrah muslim, keluarga muslim mempunyai peranan yang penting di dalam kekuatan dan kepaduan masyarakat ataupun perpecahan dan kemusnahannya. Rumahtangga itu adalah merupakan pangkuan atau sarang bagi tunas-tunas baharu yang dididik dan dibentuk di masa pembentukan dan persediaan.

Rumahtangga lah yang bertanggungjawab mencetak dan membentuk keteguhan peribadi anak-anak yang akan mencorakkan hidup mereka, benarlah Rasulullah s.a.w. bersabda:
¡§Tiap anak itu dilahirkan di atas fitrahnya-kejadian yang suci dan ibu bapanya lah yang menjadikan Yahudi atau menjadikannya Kristian ataupun menjadikannya Majusi¡¨

Hadis Rasulullah s.a.w. berkenaan dengan pembangunan rumahtangga, tidak dapat dibicarakan hanya dengan satu makalah atau dua makalah sahaja akan tetapi perlulah kita merujuk kepada kitab-kitab dan karangan-karangan yang telah mengupas perkara yang penting itu Cukuplah di sini kita menerangkan sepintas lalu serba sedikit mengenainya supaya kita mendapat faedah daripadanya.

A: Pemilihan:
Saudara muslim dan saudari muslimah yang mahu memperbaiki diri dan menyeru orang lain kepada Allah, wajib lah ke atas keduanya, masing-masing memilih pasangannya. Putera Islam mencari puteri Islam untuk menjadi isterinya yang salihah. Puteri Islam mencari putera Islam untuk menjadikan suaminya yang salih, sebagai kongsi hidup suami isteri.

Dari awal-awal lagi hendaklah mereka ini membangunkan keluarga muslim yang diasaskan di atas dasar takwa. Saudara muslim yang sejati wajib mencari puteri Islam yang sejati dan memilih yang beragama, yang memahami tugas dan risalahnya di dalam hidup ini, menjadikan pasangan hidupnya sebaik-baik penolong di atas jalan dakwah, sentiasa mengingatkannya apabila dia lupa sentiasa memberi perangsang dan tidak menghalanginya, memelihara dirinya di waktu ghaibnya sekalipun bagaimana lamanya dan mendidik serta membentuk anak-anaknya menurut bentuk Islam yang sebenar-benarnya.

Demikian juga puteri Islam yang sejati, tidak wajar dan tidak patut menerima sebarang jejaka untuk menjadi pasangan hidupnya kecuali seorang muslim yang sejati yang menjadi pendukung dakwah Islam. Iaitu seorang penganut aqidah yang sahih yang bertakwa kepada Allah. Si isterinya pula dapat menolongnya untuk taat setia kepada Allah dan mencapai keredhaan Allah. Dengan cara yang demikian kita telah berjaya membangunkan sebuah keluarga Islam yang akan menjadi markas dakwah dan jihad Islam.
Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan kita kepada yang demikian dengan sabda baginda:
¡§Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana tarafnya, keturunannya dan pangkatnya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengambil wanita yang beragama supaya kamu berbahagia".
Oleh kerana itu Rasulullah (s.a.w.), tidak mengakui hak wali yang menikahkan puterinya dengan seorang lelaki yang tidak di sukai oleh puterinya. Ini memberi peluang kepada puteri Islam untuk memilih suami yang salih. ( didalam keadaan yang menepati sayrat-syarat nya--„³ KAtoi)

B: Beriltizam Dengan Batas-Batas Islam:
Kita mahukan supaya hukum-hukum Islam dan adab-adabnya mampu mengawal dan menguasai setiap tahap dan peringkat pembangunan rumahtangga muslim. Sama ada dari peringkat pinangan, akad nikah, mempersiapkan rumahtangga sepasang suami isteri, masa pengantin baharu atau berbulan madu mestilah jauh dari segala adat lapuk, pusaka usang jahiliah yang rosak.

Sama ada jahiliah lama atau baru, yang bertentangan dengan syariat Allah Taala atau pun yang menjadi rintangan di jalan perkahwinan yang kadang-kadang menghalang langsung untuk terlaksananya perkahwinan. Mengapakah tidak di laksanakan akad-nikah itu di Masjid? Di dalam udara yang bersih dan luas yang jauh dari segala sikap menunjuk-nunjuk dan adat-adat buruk? Berbelanja berlebih-lebihan dan boros yang bertentangan dengan syariat Islam? Cadangan itu adalah wajar.

Akad nikah di dalam Mesjid tidak di gemari oleh manusia sebagaimana dulu mereka tidak menggemari fesyen pakaian Islam. Tetapi kalau kita bersungguh-sungguh mendesak dan bertegas untuk melangsungkan juga akad nikah itu di dalam mesjid, lama kelamaan ia akan menjadi perkara yang di sukai oleh manusia dan akan menjadi perkara biasa. Sebagaimana fesyen pakaian Islam menjadi perkara lumrah dan di sukai oleh manusia. Sesungguhnya itu lah pertentangan di antara kemuliaan dan kehinaan.

Kalau kita berpegang teguh dengan kemuliaan dan adab-adab Islam, kita akan berjaya menegakkan dan menanamkan keperibadian Islam yang kita cita-citakan ke atas manusia.

C: Kebahagiaan Rumahtangga Yang Di Cita-Citakan:
Apabila telah selesai pemilihan yang berasaskan agama telah sempurnalah langkah-langkah yang menuju ke alam perkahwinan sesuai dengan ajaran Islam.

Mulalah kita membangunkan rumahtangga muslim di atas asas yang teguh yang akan merealisasikan kemantapan, ketenangan dan kebahagiaan yang sejati yang selama ini dicari-cari oleh beberapa banyak keluarga pada zaman ini. Kebahagiaan itu bukan dari luar diri, tidak pula dapat dicari dengan harta, tempat kediaman, pakaian dan dengan segala perhiasan rumahtangga.

Tetapi kebahagiaan itu diperolehi dari dalam diri sendiri, dari perasaan takwa kepada Allah, kerana Allah lah yang mengurniakan kebahagiaan, yang memberi mawaddah dan rahmah cinta dan kasih sayang di antara suami isteri. Benarlah Allah yang Maha Agung yang telah berfirman:
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¡¨ (Ar-Rum: 21)

Kita tidak memandang kebahagiaan itu di dalam harta yang banyak, akan tetapi orang yang bertakwa itulah orang yang berbahagia.

D: Perkahwinan Itu Ibadat:
Risalah dan tugas kita di dalam hidup ini ialah beribadat kepada Allah Taala. Jadi kita mestilah berusaha menjadikan segala urusan hidup kita sebagai ibadat kepada Allah Taala. Kita jadikan segenap kehidupan hidup sebagai alat untuk kita menghampirkan diri kepada Allah. Kita pergunakan hidup kita dengan segala kemudahan yang ada untuk menolong kita beribadat kepada Allah.

Amal dan nikah kahwin dan mendidik anak-anak dan lain-lain lagi yang merangkumi segala kegiatan hidup kita semuanya itu merupakan ibadat kepada Allah, untuk menghampirkan diri kepada Allah, selagi dibuat kerana mengharap keredhaan Allah dan menjauhi apa yang dimurkai Allah.

Oleh itu putera puteri Islam, mestilah memandang urusan perkahwinan mereka sebagai ibadah mereka kepada Allah apabila diurus menurut hukum Allah. Kedua-dua pihak mengharap keredhaan dan ganjaran Allah. Oleh kerana itu kedua belah pihak mestilah mengetahui ajaran-ajaran dan adab-adab Islam, hak-hak dan kewajipan suami-isteri rumahtangga dan keluarga, bersungguh-sungguh melaksanakan tugas masing-masing dan beriltizam dengan adab-adab itu. Tolong menolong ke arah kebaikan, menuju takwa dan ke arah taat kepada Allah di dalam pergaulan mereka. Harga menghargai, hormat-menghormati dan kasih sayang di antara keduanya Semuanya itu mesti di atur menurut syariat Islam.
Benarlah Rasulullah s.a.w tatkala bersabda yang bermaksud:
" Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air ke mukanya." (Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)

E: Perkahwinan Itu Saling Percaya Mempercayai:
Apabila telah wujud suasana saling percaya mempercayai, cinta mencintai, di antara suami isteri, lahirlah kebahagiaan dan kepuasan jiwa di dalam rumahtangga mereka. Rumahtangga mereka menjadi rumahtangga muslim yang bahagia dalam kebahagiaan yang sejati selagi ianya diatur menurut peraturan syariat Islam. Hapuslah segala prasangka hilanglah segala keraguan. Tidak ada lagi kata mengata, tuduh menuduh dan ke pura-puraan.

Kebahagiaan yang sedemikian rupa tidak akan wujud kecuali di bawah naungan takwa kepada Allah dan mencintai Allah di waktu terang-terangan dan rahsia di waktu ghaib dan waktu syahadah. Lantaran itu tenteramlah jiwa suami dan ia berpuas hati kepada isterinya dan yakinlah ia bahawa isterinya hanyalah untuk dirinya sendiri sahaja, yang memelihara diri walaupun beberapa lamanya ia terpisah dari isterinya. Demikian juga sikap isterinya terhadap suaminya dibaluti dengan sepenuh kepercayaan itu. Di dalam suasana bahagia yang demikian, syaitan dari bangsa jin dan manusia tidak mempunyai jalan untuk mengganggu dan menggoda keduanya.

F: Perkahwinan Sebagai Syarikat Yang Dipimpin Oleh Suami:
Apabila kehidupan rumahtangga suami isteri dibangunkan di atas dasar kerjasama, di atas syura', tolong menolong, cinta mencintai, di bawah pimpinan suami sebagai pihak yang bertanggungjawab, yang mempunyai kata dan kuasa pemutus. Inilah yang mendorong dan menolong melahirkan kemantapan, keteguhan, kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga dan keluarga yang selama ini diimpikan dan diidamkan oleh manusia di seluruh dunia. jika masih terdapat kepincangan di dalam pertimbangan ini, maka tidak akan wujud satu kemantapan dan kebahagiaan.
Benarlah Allah Taala di dalam firmanNya:
`Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang maaruf akan tetapi para suami, mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya". (Al-Baqarah : 228)

" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka". (An-Nissa': 34)

Lantaran itu sempurnalah pentadbiran urusan rumahtangga dan pertimbangannya di dalam suasana penuh kerjasama, tanggungjawab dan syura di dalam batas-batas ajaran Islam.
Tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini.

G: Perkahwinan Adalah Tanggungjawab Dan Amanah
Suami isteri mestilah menyedari dan merasai bahawa mereka memikul amanah dan tanggungjawab. Tiap-tiap orang dari kamu adalah pemimpin, dan tiap-tiap pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Maka hendaklah kamu bertakwa kepada Allah di dalam perkara yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada kamu. Benarlah Allah yang berfirman: 'Hai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu" (At Tahrim : 6)

Rasulullah s.a.w bersabda:
¡§ Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya".

Kita sentiasa memerlukan pertimbangan yang waras demi pemeliharaan itu, sebagai contoh, kita biasa memberi perhatian yang berlebihan apabila salah seorang dari anggota keluarga kita jatuh sakit. Tetapi perhatian yang sewajarnya tidak diberikan terhadap salah seorang anggota keluarga yang mencuaikan hak Allah ataupun menyalahi ajaran Islam padahal itulah yang paling utama diperhatikan dan diubati.

H: Rumahtangga Muslim Merupakan Risalah:
Sebagaimana kita menghendaki bentuk yang benar dan hidup bagi Islam dari seorang muslim yang benar aqidahnya, yang benar ibadatnya, yang benar akhlaknya, yang benar sikap dan yang benar segala tindak tanduk dan perkataannya, demikian juga kita menghendaki rumahtangga muslim itu supaya menjadi pusat perlaksanaan segenap ajaran Islam di dalam hidup berkeluarga dengan perlaksanaan yang selamat sejahtera dan teliti.

Kita ingin melihat suami muslim yang memikul tanggungjawabnya terhadap rumahtangganya menurut ketentuan Islam. Kita mahu melihat bapa muslim yang memelihara anak-anaknya dengan adab-adab Islam, memberi kefahaman Islam yang sejati kepada mereka dan mengawasi mereka di segala peringkat hidup mereka. Kita hendak melihat isteri yang muslimah yang menjadikan rumahtangga sebagai taman sari yang memuaskan dan menggembirakan suaminya.,

Di dalamnya terdapat hiburan dan keberkatan jauh dari kepayahan dan penat lelah perjuangan dan menolong suaminya mentaati Allah Ta'aala. Alangkah indah dan hebatnya kata-kata yang diucapkan oleh seorang isteri kepada suaminya tatkala dia keluar dari rumahnya waktu pagi:
" Bertaqwalah kepada Allah di dalam urusan kami dan janganlah kekanda memberi kami makanan kecuali yang halal dan baik-baik sahaja".

Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim ini, ibu muslim yang memelihara anak-anaknya dan membentuk mereka menurut bentuk Islam kerana dialah yang sentiasa berdamping dengan mereka. Inilah risalah, amanah dan tugas para wanita dan isteri yang paling penting yang selama ini cuba dihapuskan oleh musuh-musuh kemanusiaan. Mereka cuba menyelewengkan fakta-fakta ini dari para isteri dengan berbagai-bagai pembohongan dan penipuan dengan tujuan untuk merobohkan bangunan masyarakat.

Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim itu, putera puteri Islam yang sejati yang memperhambakan diri mereka kepada. Tuhan. Mereka taat setia kepada Allah, berbuat baik dan berjasa kepada ibu bapa. Mereka bergaul dengan sahabat-sahabat mereka menurut adab-adab Islam dan tidak lahir dari mulut mereka sepatah perkataan dan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan Islam.

Kita mengingini rumahtangga muslim yang memelihara hubungan silaturahim, yang sentiasa mengambil berat urusan kerabat dan menyempurnakan hak-hak mereka. Kita hendak melihat rumahtangga dan keluarga muslim menjadi satu bentuk yang ulung di mana Islam telah terpahat kukuh di dalam diri mereka. Mereka bergaul baik dengan khadam mereka, di mana khadam mereka makan apa yang mereka makan dan berpakaian seperti apa yang mereka pakai dan tidak membebankan sesuatu bebanan di luar kemampuannya. Apabila mereka membebankan sesuatu di luar kemampuannya, mereka menolongnya.

Kita ingin melihat dari rumahtangga muslim itu satu bentuk yang unik sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam tentang berbuat baik di dalam bermuamalah dengan jiran. Mereka menyempurnakan hak jiran sebagaimana peranan Rasulullah s.a.w.

Kita menghendaki rumahtangga muslim yang melahirkan contoh teladan yang baik di segala jurusan hidupnya. Dengan fesyen pakaiannya yang Islami, makanan yang halal, minuman yang halal, akhlak yang mulia, sikapnya yang Islami, gaya yang Islami di segala adat dan tradisi di waktu suka dan duka Mereka menjauhi segala unsur-unsur jahiliah, adat-adat dan tradisi jahiliah yang di import dari luar.

Kita tidak mahu melihat dari golongan sahib-ad-dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, yang berjalan di atas jalan dakwah melakukan sebarang kecuaian atau kelalaian di dalam melahirkan serta membina anggota-anggota keluarganya dengan ajaran Islam di dalam sebarang jurusan hidup keluarganya. Sesungguhnya orang yang lemah dalam memimpin rumahtangganya, tidak akan mampu memimpin orang lain apatah lagi rumahtangga orang lain.

I: Rumahtangga Muslim Sebagai Markas Memancarnya Cahaya:
Rumahtangga muslim yang sejati menurut tabiat dan lojiknya mesti menjadi markas dakwah Islam. Setiap anggota keluarga yang aqil baligh wajib menjadi sahibud-dakwah, pendukung dakwah, menyeru rumahtangga dan keluarga di sekitarnya kepada Allah dengan penuh kesabaran, dengan hikmah dan nasihat yang baik.

Isteri yang salihah berkemampuan menarik hati jiran-jiran dengan dakwah kepada Allah. Kehadiran mereka merubah majlis-majlis yang dikuasai oleh umpat mengumpat dan sia-sia menjadi majlis-majlis ilmu dan pelajaran dan ke arah memahami urusan agama.

Bidang dakwah Islamiah sangat memerlukan saudari muslimat yang menyeru manusia kepada Allah, supaya memainkan peranannya di kalangan puteri bangsanya. Sesungguhnya wanita hari ini, kecuali yang telah mendapat taufik Allah, telah dijadikan boneka oleh musuh-musuh Islam untuk meruntuhkan dirinya dan memusnahkan manusia. Tetapi kita hendaklah menjadikannya sebagai wanita yang salihah yang turut bersama kita untuk memperbaiki yang rosak dan membangunkan yang maaruf dan merobohkan yang mungkar dan menghapuskan yang batil menyokong kemuliaan dan memerangi kehinaan.

Kita menghendaki rumahtangga muslim itu sebagai rumah cahaya yang memberi hidayah dan petunjuk kepada orang-orang yang bingung dan sesat di sekitarnya. la menghapuskan, memusnahkan segala kegelapan di sekelilingnya dan menyinari jalannya untuk di lalui oleh mereka. Maka dengan bertambahnya rumah-rumah muslim seperti ini akan sambung menyambunglah daerah-daerah dan bercahaya dan bercantum di antara satu sama lain sehingga mampu menyinari masyarakat.

Maka dengan demikian keperibadian Islam berkemampuan menyinari masyarakat dan memimpin nya di bawah naungan Islam. Lantaran itu kemuliaan mudah dikembang-biakkan dan kejahatan mudah dihapuskan. Baharulah mudah dibentuk dasar dan asas keimanan, yang bersih yang mantap sebagai asas bangunan Islam dan pemerintahan Islam dan seterusnya al-khilafah-al- Islamiah alamiah.

Untuk itu, saudara saudari putera puteri Islam harus dan patut bersungguh-sungguh dan bersegera membangunkan rumahtangga muslim yang misali yang menjadi model Islam yang sejati untuk menjadi contoh teladan kepada generasi baharu. Ini adalah satu langkah yang penting dan asasi di jalan dakwah Islam. Mohonlah pertolongan dari Allah supaya Allah mudahkan dan jangan menyusahkan.

TEGAKKANLAH RUMAH TANGGA MUSLIM
Jalan Dakwah
Mustaffa Masyhur

Thursday, March 26, 2009

SELAMAT BERMESYUARAH


SELAMAT BERMUKTAMAR

Muktamar Sanawi kali ke-76

PMRAM & HEWI PMRAM


25 & 26 Mac 2009


Salam perjuangan buat semua sahabat Ikhwah & Akhawat

anggota Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) serta buat barisan kepimpina baru yang akan mewarisi perjuangan PMRAM di bumi anbia'.....

Selamat Bermuktamar!!! dari sahabat-sahabat dari tanah air.....

Monday, March 23, 2009

Bait Muslim 1 : Alternatif atau Kesempatan?

Assalamualaikum,.. saya cukup tertarik dengan tulisan oleh sahabat saya Mohd Fadhlullah Ismail yang kini menuntut di IAIN Ar-Raniry, Acheh, Indonesia di Fakultas Usuluddin jurusan Tafsir & Hadith. Bersemangat dalam arena dakwah dan sehingga kini masih dengan kerjanya walaupun sibuk dengan pengajian serta taklifan2.... Mudahan mendapat manfaat buat semua...


Sebenarnya, secara jujur saya katakan bahawa saya perlu berasa malu untuk membicarakan soal Bait Muslim yang sedang rancak digerakkan dikampus-kampus sejak dahulu kala sehingga saat ini. Faktornya adalah kerana:


a) Saya pernah berada dikolej yang gerakan dakwah kampusnya tidak mewujudkan Unit ‘rumahtangga’ ini. Memang kondisinya tidak memerlukan lagi berikutan mahasiswa disitu bukan terus menghabiskan pengajian disitu, tetapi akan menyambung lagi ditempat lain. Mewujudkannya di situ hanya membuka ruang luas perhubungan dalam tempoh terlalu lama dalam keadaan tidak mengetahui bilakah pengajian akan selesai. Bagi teman-teman di kampus-kampus besar yang pengajian bisa dihabiskan disitu, saya tidak menolak keperluan mewujudkannya. Kolej yang saya maksudkan adalah KIAS, Kelantan, tempat saya pernah bertapak disitu sebelum ini.


b) Saya hanya mengetahui info-info tentang pelaksanaan Bait Muslim dikampus-kampus ini dengan sangat terbatas daripada teman-teman dikampus-kampus besar di Malaysia serta Azhari dan Azhariah di Mesir.


Maka, jika saya menulis, berkomentar, memberi pandangan serta cadangan atau teguran-teguran ini, sudah tentu dengan maklumat yang tidaklah selengkap mungkin. Namun, atas nama perkongsian pandangan disertai sedikit ilmu yang ada, saya cuba memberanikan diri terus berkarya. InsyaAllah.


Sekilas pandang…


Artikel sebelum ini, saya bicarakan sedikit mengenai reality yang berlaku kepada para aktivis khasnya dan semua anak muda amnya dalam gelombang kehangatan percintaan. Isinya lebih 80% saya ‘naqal’kan hasil karya Salim A.Fillah dalam bukunya itu yang dibahagikan kepada 3 bab besar. Hebat penulisannya, sejak Okt 2003 sehingga Nov 2007, bukunya telah diulang cetak sebanyak 12 kali. Subhanallah…saran saya, bacalah buku ini. Opss..belilah dulu ya..tak tahulah sampai ke Malaysia atau tidak.


Afwan kathira, orang bercinta diatas jalan yang tidak lurus hanya akan menghasilkan individu yang tidak sihat, nampak tenang diwajah tetapi berserabut dikepala. Tenang? Jangan mimpi tenang !


Bayangkan setiap kali bangun tidur, yang pertama dicapai adalah handphone. Harapannya mudah-mudahan adalah mesej-mesej yang masuk. Terpulanglah samada tazkirah, kata-kata hikmah, semangat-semangat dan paling kurang hadith kelebihan bangun qiamullail atau ucapan ‘selamat pagi-dah bangun ke belum?”…….Ini bagi pasangan yang ‘soleh dan thiqah’ sikit. Jika tiada mesej dari satu pihak pertama, maka pihak kedua akan berusaha memerah juga otak untuk menghantar juga apa-apa SMS. Paling enak, jika SMS ada respon semula..


Tapi, kalau sudah jadi begini…


‘Salam, selamat pagi.dah bangun belum?”..”tak masuk kuliah pagi nih?”..”dah makan tengah hari ke belum?”..tengok tak cerita kat TV tadi?”.. “ takde assignment ke hari ni?”..” makan malam belum?”..lauk apa?”..” dah lewat ni,tak tido lagi ke?”…


Bayangkan jika sehari 8 jenis SMS ini dihantar dan diterima. Paling enak, jika balasan SMS dalam bentuk ‘lawak bodoh’ atau jenaka-jenaka manja..ehem2.


Agak-agak kalau setiap hari soalan ini yang ditanya bermula selepas Subuh sampai saat mahu tidur, hari berikutnya adakah masih soalan-soalan yang sama yang ‘memboringkan’ ini? Mungkin soalan-soalan ‘kampung’ macam ini hanya segar untuk 2-3 hari sahaja.


Akhirnya, syaitan mula mengetuk-ngetuk kepala. “try lah bagi SMS menggatal sikit.” Caranya, tanya bab kahwin dulu, bila masanya..tahun bila..Berikutnya, masukkan sikit tentang rumahtangga…sampai cerita malam pertama..soalan “dah makan belum” dah tiada nilai lagi untuk digunakan.


Baiklah, cukuplah setakat ini. Anda telah menemui makhluk-makhluk yang sudah terlajak sampai ke ‘marhalah’ ini. Istilah-istilah lucah mula menutup watak sebagai seorang da’ie. Na’uzubillah..


Habis modal, kering kontang, maka lebih enak jika ‘berkongsi’ cerita tentang kawan-kawan sendiri untuk diketahui oleh si dia. Wallahua’lam.


Bait Muslim: Alternatif atau Kesempatan ?


Saya sangat-sangat tidak mengetahui sejak bilakah Unit ini ditubuhkan, siapa dan dimana. Yang pasti sudah terlalu lama.


Ketika berkongsi pengalaman dengan kami beberapa orang pimpinan mahasiswa di KIAS satu waktu dahulu, Ust Ilias Ahmad yang sinonim dengan sapaan Pok Su Li sering menceritakan pengalaman beliau ketika memimpin PMRAM di Mesir.


Katanya “ Bait Muslim di Mesir yang digerakkan oleh PMRAM tujuannya sebagai pembantu kepada mereka yang sudah memerlukan sangat perkahwinan. Unit ini diketuai dan dipegang oleh mereka yang sudah berkahwin. Merekalah yang memberi kaunseling, nasihat, tunjuk ajar dan lain-lain keperluan untuk individu yang berhajat ini”.


“ Tetapi, agak pelik di Malaysia ini, kampus-kampus yang ada Bait Muslim sudah agak ‘jauh’ cara pelaksanaanya tidak sebagaimana yang digerakkan oleh PMRAM.” Kami tidak faham apa maksudnya. Beliau lantas menerangkan “ kalau disana, kita membantu menyelesaikan mana-mana individu yang sudah memerlukan sangat…tapi disini sudah jadi ruang untuk mencari pasangan sesama ahli jama’ah. Muncul istilah ‘cop’ lebih awal…” akhirnya semua ahli jama’ah masing-masing sudah ada pasangan masing-masing”. Begitulah lebih kurang komentar Ust dihadapan kami yang membuatkan kami berfikir.


Ini jauh dari matlamat asal Bait Muslim yang bertujuan membantu menyelesaikan masalah, bukan menjadi wasilah untuk mencari pasang-pasangan kepada ahli. Padahal saat itu, ahli bukanlah berkeperluan yang mendesak lagi.


Bait Muslim : Kelurusan Pelaksanaan.


Di Mesir, ianya adalah unit terbuka yang dikawal selia oleh PMRAM dan boleh dimanfaatkan oleh seluruh mahasiswa disana dengan beberapa peringkat seperti pengisian borang, makluman kepada Pengerusi Bait Muslim, diadakan pertemuan antara 2 individu tersebut dirumah ustaz-ustaz penasihat unit ini, dibincangkan, dan ditanya kepada kedua-dua pihak, tempoh sehinggalah tarikh perkahwinan serta nasihat-nasihat dan syarat-syarat agar hubungan tersebut dapat dipelihara dalam tempoh sebelum perkahwinan.


Itulah sedikit sebanyak yang saya ketahui dari teman-teman disana. Syukran ya teman-temanku..


Adapun pelaksanaanya di kampus-kampus di Malaysia mungkin hanya sebatas kepada anggota persatuan mahasiswa Islam atau gerakan dakwah kampus sahaja kerana gerakan dakwah tidak menguasai kampus sepenuhnya. Saya optimis bahawa kaedah pelaksanaannya hampir sama sahaja. Jika ada perbedaan pun, mungkin sedikit sahaja khas berkait perkara yang menjadi khilaf sahaja.


Pandangan sahaja:

1) Jika seorang lelaki mahukan kepada seorang wanita, sebaiknya gunakanlah mana-mana muslimat lain yang terpercaya ( mungkin daripada Unit ini) untuk memaklumkan hajat anda kepada wanita tersebut. Elakkan terus berhubung dengan wanita itu kerana dipertengahannya penuh mudarat yang tidak dijangka. Ini juga kerana wanita lebih mengetahui mengenai teman wanitanya. Maka biarkanlah mereka yang amanah ini menjadi wakil anda.


Peringatan ! jangan terlalu cepat dan mudah untuk meluahkan isi hati kepada mana-mana lelaki atau wanita jika anda masih mempunyai keraguan atas kesedian anda untuk berbicara soal perkahwinan, jika tidak perhubungan anda hanya akan menjadi alat bermesra-mesraan dalam tempoh yang panjang yang tidak diketahui kesudahannya.


2) Maklumkan segera kepada penasihat, ustaz/ustazah, atau mas’ul kepada unit ini tentang hasrat anda dan keputusan kedua-dua pihak. Jangan anda melaju berlayar dalam perhubungan sementara ini tanpa dimaklumkan kepada mereka yang bertanggungjawab.


3) Jika masing-masing telah mempersetujui, maka solusi terbaiknya, putuskan perhubungan sehinggalah sampai hampir kepada tarikh yang ditetapkan.


Peringatan: Maaf, saya tidak bersetuju jika ada yang membuka ruang kebenaran saling menyampaikan tazkirah, nasihat menasihati dan saling memberi semangat dan motivasi. Tiada perhatian khusus yang dihalalkan kepada anda melainkan dengan jalan pernikahan.


Saudara, istilah ‘taqdim’ bukan bererti anda yang mengconfirmkan dengan penuh confidence bahawa perhubungan anda itu benar-benar akan sampai kepada majlis perkahwinan. Letakkanlah segala-galanya kepada Allah dan berdoalah agar jika dia yang terbaik untuk anda, maka kekalkan dia untuk anda, jika tidak, serahkan kepada Allah. Permohonan kepada Allah mesti diteruskan.


4) Elakkan dalam tempoh yang terlalu lama dalam ikatan sementara ini. Nafsu sebenarnya memberontak dan menjerit-jerit agar anda berhubung juga dalam tempoh ini (rujuk artikel sebelum ini).


Catatan: Tempoh lama atau tidak tergantung kepada anda sebenarnya. Sejauhmana kita mampu bertahan dengan nafsu dan mudarat-mudarat ditengah ikatan sementara ini.


5) Jadikan ikatan sementara ini hanya sebagai simpanan rahsia anda dan individu-individu tertentu seperti mas’ul sahaja. Jangan jadikan ianya kebanggaan untuk dicerita-ceritakan kepada orang lain. Mungkin, Allah mentaqdirkan terputus ditengah-tengah ini, maka sakit bagi anda untuk menerimanya kerana sudah diwar-warkan berlebih-lebihan.


6) Jangan jadikan wanita atau lelaki pilihan anda ini sebagai bahan gurauan bersama teman-teman. Peliharalah maruahnya. Berhubunglah dengan mengharapkan redho Allah. Bukan percintaan monyet muda-mudi yang tidak menghayati agama. Seriuslah ! Matanglah ! Anda sedang membina kedewasaan.


7) Berdoalah agar anda dijauhkan dari maksiat, kekejian dan perhubungan haram dalam tempoh ini. Permulaan dengan mengenepikan redho Allah akan berakhir dengan penghinaan Allah. Pastikan dan usahakan mencari kebersihan dalam perhubungan ini.

8) Sibukkan diri anda dengan tugasan dakwah, pengajian seperti biasa dalam tempoh ini. Kelapangan waktu membuatkan anda masih sempat berkhayal tentangnya. Berhati-hatilah. Jangan sampai ibadah kerananya, pengajian kerananya.

9) Dalam membuat keputusan, banyakkanlah beristikharah dan memohon petunjuk dari Allah. Allah lebih mengetahui siapa yang terbaik untuk kita. Jangan ‘mendesak’ Allah menerima kehendak kita, bimbang Dia memberi dengan campakan, maka kita akan menggigit jari kelak.


Baiklah, teman-teman seperjuanganku sekalian. Sudah menjelang pagi saya menulis artikel ini. Ini hanya pandangan peribadi sahaja, Kalian berhak memberikan pandangan, kritikan dan komentar lain yang dirasakan baik. Maafkan kekurangan dan kesilapan saya. Saya juga seperti kalian dalam isu diatas. Mudah-mudahan Allah memelihara kita – salam perjuagan.