
BANDAR JENGKA, 6 Nov (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang melancar 'Alternatif Riding Club' (ARC) dan VCD berkaitan Felda sempena Himpunan Generasi Kedua Felda di Bandar Jengka, dekat sini baru-baru ini.
Difahamkan Pahang adalah negeri keempat melancarkan kelab berkenaan selepas Selangor, Terengganu dan Perlis. ARC mempunyai 1,300 ahli di seluruh negara yang tubuhkan di bawah Lajnah Kebudayaan,sukan dan rekreasi Dewan Pemuda PAS Pusat.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, penubuhan Kelab bermotosikal ini adalah suatu usaha untuk mempelbagaikan kegiatan pemuda dalam usaha menarik remaja mendekatkan diri dengan parti.
Tuan Guru Presiden dalam ucapan sebelum melancarkan ARC menegaskan bahawa PAS bukan anti- sukan.
Menurutnya, hari ini rakyat, khususnya golongan muda dilekakan dengan hiburan yang melampau, sukan yang melalaikan seta projek-projek pembangunan.
"Sukan adalah agenda kita, tetapi di dalam sukan itu bukan sukan semata-mata, di dalam sukan ada solat, di dalam sukan ada kegiatan kemasyarakatan.
"Semasa PAS berkuasa di Terengganu dahulu pasukan Bolasepak Terengganu menjuarai Piala Malaysia yang sehingga ini masih gagal diulangi oleh pasukan negeri itu,"katanya.
Selepas pelancaran ARC, bekas pelumba motosikal kebangsaan, Yasir Said membuat satu demonstrasi menunggang motosikal secara betul dan selamat.
Sementara itu dalam satu majlis di Felda Tanjung, Jengka 20, Tuan Guru diberi penghormatan melancarkan pula VCD yang memuatkan isu-isu berkaitan kehidupan peneroka. VCD berkenaan dijual dengan harga RM5 sekeping.
0 comments:
Post a Comment