Wednesday, October 03, 2007

Penghayatan Ramadhan 3


Ramadhan hadir membawa ceria bagi yang mengharap pertemuan dengan Allah s.w.t.. Ramadhan hadir membawa harapan buat mereka yang ingin kembali kepada Allah s.w.t.. Ramadhan hadir membawa anugerah bagi mereka yang cemerlang di sisi Allah s.w.t..

Ramadhan, simbol rindu dan cinta Allah s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya. Ramadhan merupakan suatu medan muhasabah diri bagi para hamba-Nya yang ingin mengambil faedah dan mendapat kebaikan.

Ramadhan menginsafkan takkala mengenangkan kelaparan kaum fakir dan miskin. Ramdhan mengajar erti pengorbanan dan bekerjasama. Ramadhan mengajar erti kemerdekaan.

Ramadhan mengajar kita apa yang dapat kita pelajari darinya. Persoalannya, mengapa kita tidak mengambil pengajaran dari Ramadhan?

Ia bukan tentang Ramadhan, tetapi ia tentang diri kita sendiri. Siapakah kita takkala Ramadhan kunjung tiba membawa seribu satu makna? Adakah kita seorang yang bersedia untuk menerimanya sebagai madrasah perubahan diri? Adakah kita menerima kehadirannya sebagai suatu sekolah meningkatkan amal dan bekalan akhirat?

Atau, adakah kita menyambut kehadirannya sekadar sebagai tetamu yang singgah dalam hidup kita dan berlalu pergi tanpa mengambil faedah? Kalau ini perihal kamu, bererti kamu belum kenal lagi siapakah tetamumu yang bernama Ramadhan itu, bahkan kamu juga tidak mengenali lagi siapakah diri kamu yang dikunjungi oleh Ramadhan itu.

Bak kata realiti, hidup hanya sekali.Kalau tidak percaya, lihatlah datuk moyang kita, tidak lagi bersama kita setelah kematian yang sekali itu. Bahkan, kita juga akan seperti mereka, bersama-sama mereka. Jadi, kebahagiaan di dunia tiada ertinya jika ianya menuju suatu “kesudahan” atau berakhir.

Kebahagiaan, yang namanya kebahagiaan, sepatutnya kekal selamanya, agar ia menepati makna sebenar kebahagiaan. Untuk apa kebahagiaan yang sementara dikejar, dengan menggadaikan kebahagiaan yang kekal abadi?

Lihatlah manusia kini, ada yang sanggup mengkhianati perjanjian dengan Tuhannya dengan maksiat, semata-mata ingin mengecapi kebahagiaan hidup yang sementara, dengan mengorbankan kebahagiaan yang kekal abadi.

Rumah besar dibina dengan duit riba dan pekerjaan haram, yang akhirnya diwarisi oleh anak-anak dan cucu-cicit, sedangkan diri kembali ke rumah yang tidak lebih 3 kaki lebar, 7 kaki dalam dan 7 kaki panjang.

Kalaupun lubang kubur sebesar rumah banglo sekalipun, tidak dapat memberi manfaat kerana alam barzakh bukan lagi suatu alam duniawi. Tuhan s.w.t. bagi chance je kat manusia untuk membongkak di dunia ini, sebab mereka yang bongkak inilah yang bagai menangisis hari-hari mereka di dunia nanti, setelah menginap di darul kubur. Pada ketika itu, tengoklah siapa sebenarnya yang Maha Berkuasa.

Apa sebenarnya masalah manusia, yang tidak sedar diri? Siang malam berfikir untuk menguasai dunia sedangkan Tuhan s.w.t. jadikan dirinya sebagai hamba. Ada yang sanggup bunuh-membunuh untuk takhta, wanita dan harta. Apa cerita?

Bukankah Allah s.w.t. menciptakan manusia untuk menjadi hamba kepada-Nya? Kenapa sibuk kejar dunia sehingga lupakan Dia yang mencipta kamu dan dunia. Ada yang sampai tinggal solat lima waktu kerana kerja. Ada yang sanggup lakukan perkara-perkara maksiat untuk mengecapi kelazatan syahwat yang sementara. Ada yang sanggup memutuskan silatur rahim semata-mata kerana cintakan dunia.

Apa cerita?

Ini semua lahir dari tidak kenal diri, dan tidak kenal dunia. Siapa kita? Siapa dunia?

Allah s.w.t. berfirman dalam Al-Qur’an: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah”

Ibadah ialah ketaatan. Ketaatan ialah kerja hamba. Ini bermakna, manusia diciptakan untuk menjadi hamba AKU yang dalam ayat itu. Siapa AKU dalam ayat itu kalau bukan Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Berkuasa, dan seluruh rahsia tauhid tersimpan dalam kalimah AKU dalam ayat tersebut.

Senag cerita, manusia diciptakan atas dasar hamba. Hidup manusia beredar dalam kalimah UBUDIYAH (kehambaan), samada dia sedar atau tidak. Setinggi-tinggi seseorang hamba meningkat tarafnya, hamba tetap hamba. Rasulullah s.a.w. yang merupakan manusia paling tinggi martabatnya sekalipun sering berkata: “Sesungguhnya, aku ialah hamba.Aku makan seperti seorang hamba…”

Rasulullah s.a.w. sendiri, biar setinggimana pun Tuhan s.w.t. mengangkat Baginda s.a.w., sehingga Rom dan Parsi turut menggeruni Baginda s.a.w., namun Baginda s.a.w. tetap tidak lupa bahawa: “aku ialah hamba…”.

Kalau Rasulullah s.a.w. yang merupakan ketua para manusia sendiripun tidur atas tikar, dalam merealisasikan makna kehambaan, siapa kita untuk tidur di atas katil empuk bersulamkan baldu emas?

Bukan suruh tidur atas tikar seperti Rasulullah s.a.w. yang telah mencapai tahap kehambaan tertinggi, tetapi suruh sedar diri. Tidurlah atas apa sekalipun, yang penting sedar diri.

Duduk dalam rumah banglo lima tingkat sekalipun, Rasulullah s.a.w. tetap ketua kamu. Kalau Baginda s.a.w. sendiri hamba Allah s.w.t., siapa pula kamu untuk merasakan diri sebagai tuan dunia?

Selagi tidak kenal diri, manusia tidak mampu keluar dari penjara nafsu dan duniawi. Selagi itu juga, syaitan akan sentiasa menewaskannya. Itu yang perlu difahami.

Kalau tidak mahu faham pun tidak mengapa. Kalau tidak mahu sedar diri pun tidak mengapa. Kalau mahu terus menderhakai Allah s.w.t. dengan maksiat dan dosa, dan merasakan diri berhak buat segalanya, itu terpulang kepada anda.

Tetapi…

Kita perlu sedar, satu hakikat iaitu, kalau kita sememangnya hebat, bagaimana kita lahir tanpa kuasa kita? Bukan kita sendiri yang ciptakan diri sendiri. Bukan juga keinginan kita yang menyebabkan kita lahir ke dunia ini. Kalaulah di awal kehidupan kita sekalipun berhajat kepada yang lain, janganlah nak rasa diri sendiri hebat. Kalau rasa diri hebat juga, tahanlah umur supaya tidak tua-tua. Tahanlah nyawa supaya kekal bersama supaya hidup selamanya.

Kalau hebat, kenapa kamu akan mati?

Hakikat mati sendiri mengajarmu bahawa kamu ini Maha Lemah, dan memerlukan kepada Maha Berkuasa (Allah s.w.t.). Janganlah sudah terantuk baru kenal erti bahaya. Cukuplah orang sebelum kamu yang sudah terkena, untuk mengajarmu mengenal sesuatu.

Bukankah Fir’aun yang lebih hebat dan besar empayarnya dari kamu, takkala mengaku diri sebagai tuhan, Tuhan s.w.t. kalahkannya dengan air laut sahaja. Adakah Fir’aun tidak pandai berenang? Ingatlah, kekuatan Allah s.w.t. mengatasi “kekuatan” kita, bahkan “kekuatan” kita itu juga dari-Nya.

Kenallah diri sendiri, pasti kamu kenal Tuhan s.w.t.. Tuhan sangat hampir denganmu, tetapi kamu yang tidak merasainya. Sentiasalah bersama Tuhan s.w.t., kamu akan dapati Tuhan sentiasa bersamamu.

Allah s.w.t. memberi kamu peluang di bulan Ramdhan ini, di mana awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya pelepasan dari neraka. Apa lagi yang lebih membahagiakan bagi seseorang hamba yang berdosa atau yang taat, selain dari tiga perkara ini?

Rahmat Allah s.w.t. di Bulan Cinta (Ramadhan) lebih terserlah buatmu kerana selalunya kamu lalai dari-Nya. Sudah lalai dari-Nya sebelas bulan, maka ini bulan, merupakan peluang untuk kamu menghitung diri dan kembali kepada Tuhan diri kamu.

Jangan lupa, hidup ini ada penghujungnya. Penghujungnya ialah kembali kepada Tuhan yang menciptamu dari tiada. Ke mana mahu lari setelah dosa penuh dalam diri yang menghitamkan hati? Larilah selagi boleh lari, dengan dosa yang menggunung tinggi.Apa yang pasti, mati tetap mati. Satu-satunya pilihan yang kita ada ialah, lari kepada-Nya, bukan dari-Nya.

Lari dari-Nya, binasa. Lari menuju-Nya, bahagia.

Apabila kita sedar dosa kita menggunung, untuk lari dari-Nya tidak berbaloi. Mana lagi tuhan yang dapat membantu kita menghadapi Allah s.w.t., sedangkan tiada Tuhan selain Allah s.w.t.. Jangan ego. Kalau ego, bererti kamu sembah diri sendiri, dan menjadikan diri tuhan di samping Allah s.w.t.. Kalau begitu, samalah seperti Fir’aun dan Namrud. Takkan kamu mahu jadi seperti mereka, dengan air dan lalat pun boleh tewas. Ini kerana, yang menewaskan mereka bukan lalat atau air, tetapi Tuhan alam ini, yang mereka cabar dengan ketuhanan diri sendiri.

Itu kerja orang yang tidak berakal. Janganlah jadikan dosa kita yang lepas sebagai sebab untuk lari dari-Nya. Jadikanlah dosa yang lepas sebagai sebab untuk lari kepada-Nya, dengan penuh rendah diri memohon keampunan, terutamanya dalam Bulan Cinta ini.

Dosa kita, jika dibandingkan dengan keluasan rahmat dan keampunan Tuhan s.w.t., tidak ada ertinya. Allah s.w.t. dengan mudah, dengan sifat rahmat-Nya akan mengampuni dosa-dosa kita yang menggunung.

Dosa itu besar bila kita besarkan diri di hadapan Allah s.w.t., dan tidak mahu kembali kepada-Nya. Apabila kita ingin kembali kepada-Nya, sudah tentu dosa kita tiada ertinya dibanding dengan nilai keampunan-Nya.

Satu-satunya jalan bagi kita ialah bertaubat. Syaratnya, SESAL, TINGGAL dan AZAM.

SESAL dengan dosa lalu.

TINGGAL dosa itu serta-merta.

AZAM supaya tidak ulangi dosa itu lagi.

Kalau ada dosa dengan manusia, MINTA HALAL dari mereka.

Apa yang penting, jujurlah untuk kembali kepada Allah s.w.t., kerana Allah s.w.t. sentiasa jujur dengan kita. Lihatlah ucapan Allah s.w.t. takkala mendengar rintihan seorang hamba yang memohon keampunan dari-Nya di malam hari seyara berfirman kepada para malaikat:

“Lihatlah hambaku yang meminta ampun dari-Ku. Aku mengampuninya kerana Dia meyakini bahawa, dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dosa-dosa-Nya”.

Tuhan s.w.t. Maha Pemurah. Cuma kamu sahaja yang jual mahal, padahal tidak ada nilainya di sisi Allah s.w.t.. Nilai kamu, apabila Allah s.w.t. memuliakanmu dengan UBUDIYAH. Jika kamu tidak menjalankan tugas sebagai hamba, maka kamu tiada nilai di sisi Allah s.w.t..

Fahamkanlah… Wallahu a’lam…

0 comments: