Sunday, August 26, 2007

Selamat Berjuang...

"Bahawa hati dan jiwa terjalin dengan jalinan akiqah. Aqidah adalah penjalin yang lebih kuat dan lebih tinggi nilainya. Persaudara an adalah sama dengan iman, sedangkan perpecahan adalah sama dengan kufur"
(as-Syahid Hassan al-Banna)

Selamat Berjuang Sahabat,.... doakan semoga kita terus thabat..... Salam Perjuangan dari bumi anbia' ..........

Thursday, August 23, 2007

Kemerdekaan Suatu Perjuangan Bukan Kemenangan

Di sini aku terlontar seketika ,
Suatu destinasi rebutan ….
menggamit kerakusan duniawi ,
Lembaran sejarah mengukir detik-detik ,
jika kalian …
ya kalianMembaca , menelek dan memahaminya ……………..
Renungi jika kalian mahu ….
Ya jika kalian mahu ,
Bukankah kini kesibukan kalian telah melupakan ,
Telah mengabui mata dari melihat hakikat kebenaran ,
Telah menjadikan kalian si bisu yang tempang ,
Hingga terlupa bahawa hari ini kita Merdeka ….
Merdeka buat kesekian kalinya ………..
Tetapi aku ingatkan kalian wahai pengecut …
Bukan merdeka versi kalian ..
kononnya bernada kemenanganTapi bagi aku …
ya aku , merdeka adalah noktah untuk berjuang
Bukan noktah penyelesaian!

Friday, August 17, 2007

Kompleks PAS Pahang




PAS Pahang berkembang pesat menongkah cabaran sepanjang lebih 50 tahun lalu. Sambutan dan harapan rakyat untuk melihat kejayaan PAS mendaulatkan syariat Islam di negeri Pahang amat kuat dan menjanjikan!Demi merealisasikan cita-cita tersebut, menampilkan kewibawaan sebuah kerajaan menunggu dan menggembleng kekuatan, PAS Pahang memerlukan sebuah kompleks pentadbiran dan latihan yang baru untuk menampung keperluan jangka panjang.

LOKASI

Menjelang akhir 2006, PAS Pahang telah berjaya memperoleh sebidang tanah strategik seluas lima ekar di simpang empat Kerdau dengan kos hampir RM300,000 yang telah berjaya dilunaskan.Tapak strategik ini terletak 15km dari bandar Temerloh yang mempunyai prospek pembangunan jangka panjang sebagai bandar baru di dalam Pelan Pembangunan Temerloh. Keseluruhan tanah tersebut telah dibersihkan pada Mac 2007 untuk fasa-fasa pembangunan seterusnya.

KOMPONEN
Kompleks ini dirancang menjadi sebuah pusat sehenti pembangunan komuniti yang menawarkan manfaat kepada semua pihak. Apabila siap sepenuhnya dalam tempoh sepuluh tahun, Kompleks PAS Pahang akan mengandungi komponen berikut yang akan dibina mengikut fasa keutamaan :

Fasa Pertama - (bangunan utama dua tingkat yang disasarkan pembinaan bermula Oktober 2007) mengandungi dua komponen berikut:· Pejabat Pentadbiran Negeri yang mengandungi pejabat am, bilik mesyuarat, bilik para pegawai, ruang tamu, bilik gerakan, makmal ICT, bilik lajnah dan jabatan-jabatan, bilik jamuan, dapur, stor, bilik percetakan, bilik fail dan pusat sumber.· Dewan persidangan berkapasiti 2000 audiens dan tempat letak kereta serta astaka.
Fasa Kedua - kemudahan tambahan yang terdiri daripada :· Musolla, asrama, kuarters, taman kanak-kanak dan sukan berlandskap, premis perniagaan dan dataran terbuka.

ANGGARAN KOS FASA PERTAMA
Kos pembinaan fasa pertama dianggarkan sebanyak RM6.6 juta merangkumi pembinaan:1. Kerja-Kerja Permulaan RM250 ribu2. Infrastruktur RM800 ribu3. Bangunan Utama RM3 juta4. Kelengkapan RM2 juta5. Utiliti RM400 ribu6. Sistem Saliran RM100 ribu7. Astaka dan Parkir RM100 ribu.

Sumbangan Anda Diperlukan. S
Salurkan Kepada Badan Perhubungan PAS Pahang.
Untuk Info Hubungi 09-2965143, 013-922 5143 Atau E-mel: bppnpahang@pas.org.my
ATAU Salurkan Terus Ke Akaun : Maybank 556057201817 (Atas Nama Pakatan Amal Sejagat) dan SMS Makluman Kepada 013-922 5143.
Maklumat lanjut boleh diperoleh di ibu pejabat kami :
Badan Perhubungan PAS Pahang,
Tingkat 1 No. 2, Jalan Sudirman 6,
Pusat Perdagangan Seri Semantan,
28000 Temerloh, Pahang.

Sunday, August 12, 2007

Mujahidah Agung

3 Ogos yang lalu genap 3 tahun kembalinya ke rahnmatullah mujahidah agung.... Sedikit catatan ringkas berkenaan beliau......

Perjuangan adalah satu kalimah yang besar yang menuntut banyak perkara lain yang perlu digerakkan seiring dalam memastikan perjuangan dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Antara perkara- perkara penting yang perlu ada dalam jiwa pejuang2 ialah ikhlas, muraqabah, muhasabah dan tawakal.

Jika kita meninjau sirah para sahabat r.a, kita akan mendapati perjuangan mereka terlalu hebat jika dibandingkan dengan kita umpama kerak bumi dengan langit yang ke tujuh.
Mungkin ada yang mengatakan mereka lain, mereka sahabat Rasulullah saw, hidup bersama Rasulullah dan mendapat tarbiyah secara langsung dari Rasulullah, sebab itu mereka kuat, kita apa yang ada.

Namun jika kita meninjau sejarah, selain para sahabat, golongan tabien, dan golongan yang terdahulu kita akan mendapati adanya pejuang- pejuang sejati yang diakui hebat di zaman kita ini.

Di kesempatan ini marilah kita mengenalkan salah seorang tokoh secara ringkas yang mudahan akan dapat memberikan suatu suntikan motivasi tkepada kita.

Lebih istimewa lagi tokoh yang dimaksudkan bukannya terdiri dari kaum adam tetapi dari kaum hawa.

Beliau ialah Zainab Al Ghazali Al Jubaili.

- sekitar umur 18 tahun beliau telah menubuhkan persatuan muslimat. Antara objektif persatuan tersebut ialah memberi tarbiah kepada anggotanya yang terdiri dari muslimat.
- Sekitar 1937 beliau telah berkenalan dengan As Syahid Imam Hasan Al Banna. Tertarik dengan pembawaan Imam Hasan dan akhirnya beliau memberi baiahnya kepada Imam Hasan dan menerima tarbiah dari Imam Hasan.
- Beliau bersama Imam Hasan di medan perjuangan sehingga tahun 1949 yang menyaksikan Kematian Imam Hasan secara tragis. Selepas itu beliau bersama musyridul am Ikhwan yang ke 2 iaitu Imam Hasan Hudaibi.
- 1962 beliau mula berhubung dengan Sayyid Qutb yang pada masa itu berada di dalam penjara dan menerima tarbiah darinya.
- 1964- di bawah presiden jamal Abd Naseer Allah hirbit a’laih memulakan perancangan untuk membunuhnya dengan mengaturkan insiden kemalangan jalan raya. Namun kuasa Allah mengatasinya, Regim Jamal tidak berjaya membunuhnya. Beliau dimasukkan ke dalam hospital dengan suatu tempoh jangka masa yang lama akibat kemalangan tersebut.
- 1965 beliau dimasukkan ke dalam penjara, rumahnya digeledah dan semua harta bendanya dimusnahkan.

Dalam penjara

- dimasukkan ke dalam bilik 24 (paling ditakuti oleh banduan) kerana renjatan elektrik dan anjing-anjing yang terdapat dalamnya. Saat itu beliau merasakan ketakutan yang tidak pernah dirasakan sebelumnya, beliau berdoa kepada Allah dan suatu keajaiban yg menghairankan pihak penjara beliau tidak dijamah langsung oleh anjing-anjing yang pastinya rakus dan garang.
- Seterusnya dimasukkan ke bilik 3 (sel gelap, sempit dan tiada air) dibiarkan beberapa lama, dicemeti tak terkira banyaknya. Sehingga suatu ketika beliau merasakan terlalu letih dan tertidur. Dalam tidurnya beliau telah bertemu kali pertama dengan Rasulullah saw yang agong. Beliau telah melihat suatu rombongan yang menaiki unta, yang setiap ekor unta dinaiki oleh 4 orang yang wajah-wajah mereka bercahaya. Di depannya yang mengetuai rombongan tersebut merupakan seorang lelaki yang pada pengamatannya cukup hebat. Terdetik di hatinya Rasulullah adalah lelaki tersebut. Kemudian lelaki tersebut mengenalkan dirinya Muhammad ibni Abdullah; Rasulullah saw dan Baginda memberi kata perangsang kepada beliau.
- Kemudian beliau terjaga dan merasa suatu rasa yang tidak pernah dirasanya dan rasa sakit akibat pukulan cemeti hilang sama sekali.
- Beliau terus disebat sehingga tidak terkira banyaknya sehingga menyebabkan beliau pengsan. Sedarnya dari pengsan beliau telah berada di hospital.
- Kemudian beliau dimasukkan kembali ke dalam penjara dan terus diseksa.
- Beliau menerima tawaran dari regim Jamal yang menawarkan akan memberi elaun bulanan kepadanya dengan syarat membubarkan persatuan muslimat dan tidak aktif lagi. Beliau secara terus menolaknya.
- Menerima tawaran lagi yang menawarkan akan menjadikan beliau sebagai Menteri Ijtimaiah. Beliau menolaknya secara keras yang menyebabkan Jamal cukup benci terhadapnya.
- Pernah dimasukkan ke dalam penjara air.
- Pernah diseksa dengan renjatan elektrik, beliau mengubatnya dengan menyebut nama Allah.
- Di suatu ketika beliau merasa terlalu letih dan tertidur. Dalam tidurnya beliau bermimpi melihat orang yang pakai sutera hitam yang cantik, dihiasi dengan lu’lu’ yang disulami dengan emas membawa makanan kepadanya. Makanannya tidak pernah ia melihat dan merasanya. Apabila terjaga beliau merasa kenyang dan tidak dahaga. Yang lebih menakjubkan kesan makanannya masih ada di mulutnya.
- Beliau menceritakan tak terkira banyaknya beliau pengsan dek siksaan yang dialaminya.
- Namun begitu terdapat 2 orang tentera yang mendapat hidayah darinya.
- Bersamanya di dalam penjara terdapat perempuan yang lain iaitu I’liyah Hasan Hudaibi (anak Hasan Hudaibi) Khalidah Hasan Hudaibi (isteri Hasan Hudaibi), Aminah Qutb dan Hamidah Qutb (adik Sayyid Qutb).
- Dalam suatu mimpinya yang lain, beliau mendengar suatu ucapan yang kedengaran antara langit dan bumi, kemudian beliau berjumpa dengan Rasulullah saw. Rasulullah saw menyuruhnya menyampaikan ucapan tersebut kepada Hasan Hudaibi (Rasulullah menyebut sendiri nama Hasan Hudaibi) yang berada di suatu puncak bukit. Semasa mendakinya beliau bertemu dengan Khalidah Hudaibi dan I’liyah Hudaibi dan menanyakan kepada mereka di mana Hasan Hudaibi, mereka menunjukkan ke arah puncak bukit. Seterusnya beliau bertemu dengan Aminah dan Hamidah Qutb (adik Sayyid Qutb) dan menanyakan perkara yang sama kepada mereka. Akhirnya beliau bertemu dengan Hasan Hudaibi dan menyampaikan kepadanya ucapan tersebut. Selepas itu beliau terjaga dari tidurnya.
- Esoknya keluar 43 nama yang akan dihukum gantung (10.4.66) pada mulanya Zainab termasuk dalam senarai tersebut. Akhirnya 2 orang dikecualikan dari hukum gantung iaitu Zainab dan Hamidah Qutb. Zainab dihukum 25 tahun penjara dan Hamidah 10 tahun penjara.
- Beliau akhirnya dibebaskan sebelum sampai tempohnya berikutan kematian Jamal Abd Naseer .
- Sepanjang dalam penjara beliau telah 4 kali diberi kesempatan untuk bertemu dengan Rasulullah saw yang mulia.
- Beliau mengatakan semasa Rasulullah memanggilnya dengan namanya yang tertera di kad pengenalan bukannya seperti nama panggilannya.
- Beliau tinggal di Zaitun sehingga kewafatannya dan rumahnya dikawal oleh tentera. Namun begitu setiap hari beliau menerima tetamu, pejuang-pejuang yang ingin meminta nasihat serta tarbiah darinya.
- Beliau sentiasa berpakaian putih.
- Beliau tidak diapa-apakan oleh Presiden Hosni Mubarak dan kerajaan kerana takut dengannya, mereka percaya kecelakaan akan menerima mereka jika mereka mengapakannya melihat kepada apa yang diterima oleh regim Jamal Abd Naseer.
- Allah memberinya usia yang panjang dan beliau dapat menyaksikan musuhimusuh Allah mati satu persatu, orang yang menyeksakannya mati tetapi beliau masih sihat dalam meneruskan perjuangan.
- Akhirnya Beliau dipanggil mengadap Allah pada 3hb ogos 2004. Al Fatihah.

Penutup

Kutujukan kisah ringkas ini buat diriku dan sahabat-sahabat seperjuangan. Harapnya dapat menaikkan semangat dan kesedaran dalam diri kita.

Friday, August 10, 2007

Hikmah di sebalik Israk dan Mikraj

Marilah kita mendengar firman Allah Taala yang menceritakan tentang peristiwa agung yang berlaku dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.
Walaupun para ulama telah bertelingkah di dalam menentukan bulan dan tahun berlakunya Israk tetapi ia adalah peristiwa yang benar-benar berlaku kepada Rasulullah s.a.w. kerana peristiwa ini dinyatakan oleh al-Quranul Karim dan diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadisnya yang sahih, yang diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi.

Matlamat yang penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah s.a.w. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu.

Firman Allah Taala (maksudnya): "Maha suci Tuhan yang telah menjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis) yang Kami telah berkati di sekelilingnya supaya Kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami (tanda-tanda kebesaran dan ketuhanan Kami), sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israk: 1)

Peristiwa Israk dan Mikraj untuk menyatakan Rasulullah s.a.w. adalah benar seorang rasul yang dipilih oleh Allah SWT, membawa satu agama dan pengajaran yang bernama Islam, firman Allah (maksudnya): “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.” (A-li Imran: 19).

Dan Allah menyatakan juga (maksudnya): "Dan sesiapa yang mencari (berpegang) dengan agama selain daripada Islam, maka Allah tidak akan menerima dan pada hari akhirat dia tergolong dalam orang-orang yang rugi." (A-li Imran: 85) Pada malam yang bersejarah itu, Rasulullah s.a.w. dihimpun bersama dengan roh para nabi dan rasul 'alaihimus solatu wassalam di Masjidil Aqsa, mereka solat berjemaah bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi imam kepada mereka.

Ini menandakan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu daripada mata rantai ajaran Islam yang bersambung-sambung dari seorang nabi dan rasul kepada nabi dan rasul yang lain, bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman, tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w.

Allah SWT memilih nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan manusia. Mereka terdiri daripada manusia yang memiliki akhlak yang luhur lagi tinggi, bersifat benar, amanah, menyampaikan, cerdik dan bijaksana di kalangan kaumnya dan dipelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa.

Adapun mereka yang tidak memahami dan buta al-Quran tidak akan percaya kepada peristiwa Israk dan Mikraj, kerana pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. ditemukan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan Bani Israil dan nabi-nabi dan rasul di kalangan umat-umat yang lain, yang cerita-cerita mereka disebut dalam al-Quran, sebuah kitab Allah yang masih wujud sehingga hari ini. Ini menandakan kebenaran al-Quran.

Kebenaran al-Quran bukan sahaja menandakan betulnya Rasululah s.a.w. bahkan juga menjadi pengajaran kepada umatnya. Semua nabi adalah menganut agama yang satu iaitu agama Islam.
Semua mereka bersolat dalam keadaan menghadap Allah SWT dengan cara-cara solat yang diajar oleh Allah. Semua nabi berpegang dengan akidah tauhid lailahaillallah, tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah, tuhan yang layak disembah kepada-Nya, tuhan yang menjadikan dan menguruskan alam ini. Alam ini tunduk di bawah undang-undang peraturan Allah, maka wajib manusia hanya tunduk kepada undang-undang dan peraturan Allah SWT. Itulah ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul yang terpaksa berjuang mengharungi perjuangan yang panjang.

Di dalam peristiwa itu juga ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w. rasul yang disertai oleh pengikut yang ramai. Ada rasul yang disertai oleh pengikut yang sedikit, ada yang berjalan seorang diri, ada nabi yang dibunuh dan ada yang dipenjara.

Itulah nabi-nabi dan rasul-rasul yang membawa ajaran Allah yang berdepan dengan cabaran golongan manusia yang menjadi bala tentera iblis yang akan wujud sehingga hari kiamat.
Peristiwa Israk dan Mikraj untuk meningkatkan semangat Rasulullah s.a.w. supaya jangan takut dan gentar di dalam perjuangan Islam, kerana Islam yang dibawa itu ialah Islam Allah SWT.

Seluruh kuasa besar yang ada dalam dunia adalah habuk-habuk yang kecil yang boleh ditiup angin, bahkan ia lebih kecil lagi apabila berdepan dengan ketuhanan Allah SWT pada hari kiamat.

Seseorang yang menganut Islam hendaklah merasa mulia, tinggi dan hebat dengan Islam, dengan syarat mereka berpegang dengan Islam. Allah SWT memuliakan umat ini dengan Islam. Kehinaan yang menimpa umat ini apabila mereka meninggalkan Islam.

Ditunjukkan pada malam Israk dan Mikraj itu di mana perginya orang yang berpegang dengan Islam sehingga mati dan ke mana arah orang yang menyeleweng dan meninggalkan agama Islam.

Orang yang berpegang dengan Islam diletakkan di syurga dan mereka yang menyeleweng daripada Islam berada di dalam neraka. Hal ini digambarkan dengan jelas supaya diberitahu kepada umatnya sehingga kiamat.

Marilah kita menghayati peristiwa Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar cerita yang berlaku di dalamnya tetapi yang lebih penting ialah untuk menambah iman kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam untuk sehidup semati dengan Islam sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT.

Firman Allah (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (A-li Imran: 102).