Monday, May 29, 2006

Rayuan PALESTIN

Rayuan PALESTIN Buat Umat Islam di Malaysia

Wahai umat Islam di Malaysia.
Kami mengharapkan agar anda mengepalai kempen untuk menyelamatkan kerajaan HAMAS di bumi Malaysia ini.
Wahai umat Islam di Malaysia.
Kami mengharapkan agar anda mengepalai kempen untuk menyelamatkan kerajaan HAMAS di bumi Malaysia ini. Kami hanya mempunyai dua pilihan. Pertamanya, tunduk kepada tekanan AS dan EU lantas mengiktiraf Israel demi menghilangkan kesengsaraan rakyat. Pilihan yang kedua adalah teruskan berjuang dan tidak sekali-kali tunduk kepada tekanan. Kami telah memilih pilihan yang kedua. Kami akan terus berjuang ke titisan darah terakhir kami. Kami tidak akan sekali-kali mengiktiraf penjajah. Kami tidak akan sekali-kali tunduk kepada tekanan. Malangnya rakyat hanya boleh bertahan selama enam bulan. Tiap-tiap hari, rakyat mengadakan perarakan menyokong kerajaan dan menggesa agar kerajaan HAMAS tidak tunduk kepada tekanan. Kami yakin, rakyat akan terus menyokong, tetapi sampai bila?, perut mereka akan kosong. Kami tidak akan membiarkan rakyat kami kelaparan dan sakit tanpa rawatan. Kami perlukan bantuan anda untuk melakukannya. Mahukah anda melihat kerajaan HAMAS di Palestin membiarkan rakyatnya kelaparan?
Umat Islam di Malaysia sekelian,
Kami akan terus berjuang. Kami akan terus tetap dalam perjuangan sehinggalah setiap daripada kami akan gugur syahid. Kami akan terus memastikan prinsip Islam akan terus dijulang. Namun kami memerlukan sokongan dan bantuan anda.
Jikalau kami gugur syahid, dan anda sekelian terus diam membisu dan hanya menyaksikan sahaja, nantikan hari pembalasan. Kami akan tuntut dari Allah di atas kelembapan anda semua. Kami tidak akan redha terhadap kelesuan dan kebisuan anda semua. Kami tidak akan memaafkannya.
Kami mengharapkan agar anda menyumbang USD 1 (RM 3.60) setahun sahaja untuk menanggung kesengsaraan rakyat Palestin.
Umat Islam di Malaysia,
Kami mengharapkan agar anda bersikap pro-aktif. Kami mengharapkan agar anda menyumbang USD 1 (RM 3.60) setahun sahaja untuk menanggung kesengsaraan rakyat Palestin.
Kami juga mengharapkan agar anda melobi kerajaan anda yang menjadi pengerusi OIC untuk melakukan sesuatu.
Kami juga berharap dari anda untuk melakukan kempen kesedaran, dan libatkan masyarakat Malaysia, termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan Islam untuk turut membantu rakyat Palestin.
Kami juga inign melihat anda menjadi juara di peringkat antarabangsa di dalam kempen kesedaran ini.
Banjiri media anda dengan isu Palestin dan al-Aqsa. Halakan mereka untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Kepalailah usaha serantau untuk tujuan tersebut, andalah harapan kami.
Dan akhir sekali, kami mengharapkan agar anda tidak melupakan kami di dalam doa-doa anda sekelian. Berdoalah agar kami thabat di dalam perjuangan. Berdoalah agar kami tetap di dalam perjuangan kami. Berdoalah agar kami dikurniakan mati syahid. Berdoalah juga, agar kita dapat bersama-sama bersolat di dalam Masjid al-Aqsa satu hari nanti, di mana pada waktu itu, bendera Islam akan berkibar dan syariat Allah akan berdaulat sekali lagi di atas muka bumi ini...
Allah Akbar!!!
Saudaramu,
Khalil Ismail al-Haya
Ketua Whip HAMAS di Majlis Legaslatif Palestin,
14 Mei 2006.

Saturday, May 27, 2006

Qiraat 3

PRINSIP ILMU AL QIRAAT

1) Takrif :

Satu ilmu tentang cara untuk menyebut kalimah-kalimah Al-Quran berserta dengan kepelbagaian padanya dengan disandarkan kepada periwayatnya.

2) Tajuk perbincangan :

Kalimah-kalimah Al-Quran dari sudut keadaan dalam menyebutnya. Perkara yang dibincangkan adalah seperti mad dan qasr, idgham dan izhar dan sebagainya.

3) Tujuan :

1. Memelihara kesucian Al-Quran.
2. Mengetahui apa yang dibaca oleh setiap imam qurra' serta dapat membezakan manhaj setiap imam. Dan lain-lain lagi.
3. Mengetahui keistimewaan, kemuliaan serta keagungan Al-Quran.

4) Kelebihannya :

Diantara semulia-mulia ilmu kerana kaitannya dengan kalam Allah.

5) Namanya :

Ilmu Al-Qiraat (القراءات ) lafaz jamak kepada ( القراءة ) bermakna wajah yang dibaca.

6) Sandarannya :

Daripada sunnah dan ijmak. Juga dikatakan daripada riwayat yang sohih dan mutawatir daripada imam-imam qiraat daripada rasulullah S.A.W.

7) Hukum Syarak :

Fardhu kifayah belajar dan mengajar.

8) Masalah-masalahnya :

Kaedah-kaedah tertentu seperti setiap 2 huruf hamzah yang berada dalam satu kalimah ( ءألد , ءأنذرتهم ) dibaca dengan tashil oleh Hijaziyyun.


APAKAH HUBUNGAN DI ANTARA AL-QURAN DAN AL-QIRAAT ?

Ulama berselisih pendapat dalam persoalan adakah kedua-duanya merupakan perkara yang sama atau sebaliknya.

Imam Badruddin Azzarkashi menyatakan bahawa Al-Quran dan Al-Qiraat adalah 2 hakikat yang berlainan. Ini kerana Al-Quran adalah wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah saw sebagai mukjizat dan keterangan. Sebaliknya Al-Qiraat pula adalah kepelbagaian lafaz-lafaz wahyu itu pada huruf dan kaedah pembacaan seperti takhfif dan tashdid. Al-Qiraat juga tidak dapat tidak diambil melalui proses talaqqi dan mushafahah.

Ad Doktor Muhammad Salim Muhaisin pula berpendapat bahawa Al-Quran dan Al-Qiraat adalah dua hakikat dengan satu makna. Berdasarkan Al-Quran adalah masdar yang seerti dengan Al-Qiraah. Al-Qiraat pula jamak kepada Al-Qiraah. Maka bagi beliau kedua-duanya adalah mempunyai satu makna.

"سبعة أحرف" TUJUH HURUF

1) Al-Quran Turun Dengan ' Tujuh Huruf ' :

Terdapat beberapa hadis yang menerangkan perkara tersebut, diantaranya :

روى البخارى و مسلم فى صحيحيهما عن ابن عباس رضى الله عنهما أنه قال :
قال رسول الله صلى الله عليه و سلم :
(( أقرأنى جبريل على حرف فراجعته , فلم أزل أستزيده ويزيدنى حتى انتهى إلى سبعة أحرف ))

روى البخارى و مسلم أيضا ( واللفظ للبخارى ) أن عمر بن الخطاب رضى الله عنه قال (( سمعت هشام بن حكيم يقرأ سورة الفرقان فى حياة رسول الله صلى الله عليه وسلم , فاستمعت لقراءته فإذا هو يقرؤها على حروف كثيرة , لم يقرئنيها رسول الله صلى الله عليه و سلم فكدت أساوره فى الصلاة , فانتظرته حتى سلم , ثم لببته بردائه , فقالت : من أقرأك هذه السورة التى سمعتك تقرأ ؟ قال أقرأنيها رسول الله صلى الله عليه و سلم . فقالت له : كذبت , فوالله إن رسول الله صلى الله عليه و سلم أقرأنى هذه السورة التى سمعتك تقرؤها , فانطلقت أقوده إلى رسول الله صلى الله عليه و سلم فقالت : يا رسول الله إنى سمعت هذا يقرأ بسورة الفرقان على حروف لم تقرئنيها , وأنت أقرأتنى سورة الفرقان , فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم : (( أرسله يا عمر. اقرا يا هشام . فقرأ عليه القراءة التى سمعته يقرؤها قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : (( هكذا أنزلت . ثم قال رسول الله صلى الله عليه و سلم (( اقرا يا عمر)) فقرأت القراءة التى أقرأنى , فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم : (( كذلك أنزلت إن هذا القرءان أنزل على سبعة أحرف فاقرأوا ما تيسر منه ))

2) Makna Huruf :

Huruf dari sudut bahasa mempunyai banyak makna. Diantaranya :

1-Hujung sesuatu { ومن الناس من يعبد الله على حرف }
2-Huruf hijaiyyah
3-Sebahagian sesuatu atau satu pihak.
4=Bahasa atau lahjah sesuatu bahasa.
5-Wajah-wajah qiraat yang terdapat dalam Al-Quran.

3) Maksud Tujuh Huruf di sini Ialah….

Ulamak berselisih pendapat dalam memberi pengertian ( سبعة أحرف ) dalam hadis yang telah lalu. Di antara pendapat mereka :

1-Tujuh bahasa daripada bahasa-bahasa arab dengan memberi satu makna.
2-Tujuh bahasa daripada bahasa-bahasa arab dan keseluruhan wajah bagi kalimah-kalimah tidak terkeluar daripada 7 bahasa.
3-Suruhan, tegahan, janji baik, janji buruk, perbantahan, kisah-kisah dan perumpamaan. Atau suruhan, tegahan, halal, haram, muhkam, mutashabih, dan perumpamaan.
4-Tujuh kepelbagaian wajah yang merangkumi. Pendapat Ibnu Al Jazari.
1) Kepelbagaian pada baris tanpa melibatkan perubahan pada makna dan bentuk tulisan. {يحسب } dengan fathah dan kasrah huruf sin.
2) Kepelbagaian pada baris melibatkan perubahan pada makna sahaja {فتلقى ءادم من ربه كلمت } dengan rafa' pada { ءادم } dan nasab pada كلمت atau dengan sebaliknya.
3) Kepelbagaian pada huruf melibatkan perubahan pada makna tidak pada bentuk tulisan. {تتلوا , تبلوا }.
4) Kepelbagaian pada huruf melibatkan perubahan pada bentuk tulisan tidak pada makna. {الصراط , السراط }.
5) Kepelbagaian pada huruf dan bentuk tulisan { يأتل , يتال }.
6) Kepelbagaian dengan mendahulukan dan mengakhirkan { وقاتلوا وقتلوا }
7) Kepelbagaian dengan menambah dan mengurangkan { ووصى , و أوصى }.

Tujuh wajah yang berbagai-bagai mencakupi kepelbagaian Qiraat. Pendapat Imam Fakhruddin Ar Razi.
1) Kepelbagaian pada kata nama sama ada dengan tunggal atau jamak seperti
{ والذى لأمانتهم و عهدهم راعون }
2) Kepelbagaian pada wajah-wajah I'rab seperti { فتلقى ءادم من ربه كلمت}
3) Kepelbagaian pada tasrif seperti {فقالوا ربنا باعد بين أسفارنا }
4) Kepelbagaian dengan mendahulukan dan mengakhirkan seperti {أفلم ييأس فيقتلون ويقتلون, }
5) Kepelbagaian dengan menukarkan. Sama ada huruf dengan huruf atau kalimah dengan kalimah seperti {وانظر إلى العظام كيف ننشزها } {كالعهن المنفوش }
6) Kepelbagaian dengan menambah dan mengurangkan seperti {وأعد لهم جنت تجرى تحتها الأنهر }
7) Kepelbagaian lahjah dengan tafkhim dan tarqiq, fathah dan imalah, izhar dan idgham, tashil, ishmam dan sebagainya.

4) Hikmah Turunnya Al-Quran Dengan Tujuh Huruf

1) Menjadi dalil terpeliharanya kitab Allah daripada perubahan dan penyelewengan.
2) Sebagai keringanan kepada umat Islam dalam membacanya.
3) Menyatukan umat Islam kepada lisan yang satu iaitu Quraish ( Al-Quran diturunkan dengan bahasa Quraish).

5) Adakah Mushaf Uthmani Mengandungi Ketujuh Tujuh Huruf ?

Ulamak berselisih pendapat.

Pertama : Sekumpulan daripada fuqaha' , qurra' dan mutakallimin berpendapat bahawa mushaf uthmani mengandungi ketujuh-tujuh huruf. Alasan mereka ialah tidak boleh diabaikan tujuh huruf dalam meriwayatkan Al-Quran kerana bersama-samanyalah Al-Quran diturunkan.
Kedua : Jumhur ulamak salaf dan khalaf bahawa mushaf uthmani mengandungi apa yang ditanggung oleh bentuk penulisannya daripada tujuh huruf. Ini lebih rajih.


PERKEMBANGAN ILMU QIRAAT

Setelah kita fahami bahawa Al-Quran turun dengan tujuh huruf dan kita juga sudah jelas apa yang dimaksudkan dengan tujuh huruf tersebut, kini kita akan ikuti perkembangan ilmu ini sejak zaman junjungan besar s.a.w.
Rasulullah saw membacakan kepada sahabat-sahabat baginda akan Al-Quran dengan tujuh huruf ini. Maka berlaku kepelbagaian dalam bacaan setiap sahabat. Bacaan yang dibaca oleh seorang sahabat tidak sama dengan sahabat yang lain. Lalu bertebaranlah para sahabat menyebarkan agama Allah. Disebabkan kepelbagaian itu generasi tabi'in juga mengalami perkara yang sama. Begitulah seterusnya sehinggalah sampai kepada zaman Imam-imam yang agung. Mereka telah menyusun semula Qiraat dan mengembangkannya dengan lebih tersusun.

1) Bilakah Bermulanya Penurunan Al-Qiraat

Persoalannya adakah semasa Rasulullah saw di Makkah ataupun di Madinah ? Ada 2 pendapat.
Pertama : Ketika di Makkah bersama dengan bermulanya penurunan Al-Quran. Pendapat ini berdasarkan bahawa sebahagian besar surah Al-Quran adalah Makkiyyahdan pada surah-surah tersebut terdapat wajah qiraat yang terdapat dalam surah-surah Madaniyyah.

Kedua : Diturunkan di Madinah selepas hijrah rasul. Seperti diketahui bahawa selepas hijrah ramai manusia telah memeluk Islam. Mereka adalah daripada pelbagai bangsa dengan berbagai-bagai dailek dan bahasa. Maka Al-Qiraat sebagai kemudahan kepada umat Islam bagi membaca Al-Quran dengan tujuh huruf.

2) Siapakah Yang Mula Membukukan Ilmu Qiraat ?

Ahli sejarah telah menyebutkan bahawa yang paling awal mengarang ilmu ini ialah ABU UBAID AL QASIM IBN SALAM (233H) yang telah mengarang kitab Qiraat dengan 25 orang qari.
Ada juga pendapat mengatakan seawal-awal pengarang kitab dalam qiraat sab'ah ialah AL HUSAIN IBN OSMAN IBN THABIT AL BAGHDADI AL A'ZIR (378H)

PEMBAHAGIAN Al-QIRAAT DARI SUDUT SANAD

Al-Qiraat jika ditinjau dari sudut sanad terbahagi kepada enam :

1) Al Mutawatir
Qiraat yang diriwayatkan oleh sekumpulan dari sekumpulan yang tidak mungkin persepakatan mereka di atas pendustaan ; contohnya Qiraat yang disepakati daripada imam-imam yang tujuh.

2) Al Mashhur
Qiraat yang sah sanadnya kerana periwayatnya adil, mempunyai kekuatan ingatan dan meriwayatkan daripada periwayat yang sepertinya. Begitu juga Qiraat itu berbetulan dengan bahasa arab dan salah satu daripada mushaf-mushaf uthmani. Sama ada daripada Qiraat Sab'ah atau A'sharah. Juga Qiraat tersebut mashhur di kalangan qurra' dan tidak di kira sebagai salah.
Contohnya , Qiraat yang diriwayatkan daripada imam yang tujuh tetapi tidak disepakati. Ada periwayat yang meriwayatkan Qiraat yang tidak diriwayatkan oleh yang lain.
Hasil agung dalam kedua-dua bahagian ini adalah seperti At Taisir bagi Imam Ad Dani, As Shathibiyyah dan Toyyibatun Nashri.
Kedua-dua bahagian ini adalah dibaca dengan wajib beri'tikad akan kebenarannya dan tidak boleh mengingkarinya.

3) As Sohih
Qiraat yang sah sanadnya tetapi bersalahan dengan rasm atau bahasa arab atau tidak mashhur seperti yang disebutkan.
Bahagian ini tidak dibaca dan tidak wajib beri'tikad akan kebenarannya. Seperti {متكئين على رفرف خضر وعبقري حسان , لقد جاءكم رسول من أنفسكم }

4) As Shaz
Qiraat yang tidak sah sanadnya seperti Qiraat Ibn As Sumaiqi' {فاليوم ننحيك ببدنك لتكون لمن خلفك ءاية}

5) Al Maudu'
Qiraat yang diriwayatkan kepada periwayatnya tanpa ada asas.

6) As Shabih Bil Mudraj
Qiraat yang ditambah kerana menafsirkan ayat seperti Qiraat Saad Ibn Abi Waqqas {وله أخ أو أخت من أم }

Wednesday, May 17, 2006

Qiraat 2

PENGENALAN QIRAAT SAB’AH MUTAWATIRAH

( Melalui Toriq al-Syathibiah )
Ilmu Qiraat dianggap asing oleh masyarakat melayu kerana ia tidak diperkenalkan secara meluas di negara kita, sedangkan ia berkembang dengan meluasnya pada zaman Rasullullah s.a.w dan selepasnya. Tetapi hakikatnya, ilmu Qiraat bukannya suatu ilmu yang asing bagi umat Islam di Malaysia, malah al-Qur’an yang dibaca sekarang adalah sebahagian daripada ilmu Qiraat itu sendiri.

Pengajian tilawah al-Quran di Malaysia berjalan seiring dengan perkembangan dakwah Islam yang telah sampai di gugusan nusantara sejak sekian lama dahulu. Ketika itu, pengajian tilawah al-Qur’an hanya diajar oleh para ulama’ dan guru-guru agama melalui institusi pondok, madrasah atau rumah kediaman mereka.

Setelah negara mencapai kemerdekaan sekolah-sekolah rasmi kerajaan pula turut menyediakan pengajian yang berhubung dengan tilawah al-Qur’an dan perkara yang melibatkan ilmu Qiraat tidak di perluaskan. Ini adalah kerana keutamaan dalam mempelajari bacaan al-Quran adalah membaca beserta dengan tajwid dan menjadi kewajipan bagi guru-guru al-Qur’an memberi penekanan serta tumpuan kepada kaedah bacaan al-Qur’an beserta tajwid. Seperti mana yang di utarakan oleh Imam Ibnu al-Jazari
[1]

والأخذ بالتجويد حتم لازم * من لم يجود القرآن آثم
لأنه به الإلـه أنـزل * وهكذا منه إلينا وصلا


Maksudnya:
Mengamalkan tajwid itu ( ketika membaca al-Qur’an ) satu kewajipan,
Sesiapa yang tidak mengelokkan bacaan (membaca al-Qur’an beserta tajwid) adalah berdosa,
Kerana beserta tajwidlah Tuhan menurunkan alQur’an,
Dan begitulah kepada kita sampainya bacaan.



Justeru itu pengetahuan terhadap ilmu Qiraat ini di ketepikan dahulu agar masyarakat dapat membaca dengan betul sebelum mendalami ilmu Qiraat ini.Di samping itu juga, pengetahuan sebegini sebahagian besarnya hanya mampu di pelajari di Timur Tengah seperti Mesir, Syiria, Arab Saudi dan sesetengah negara arab yang lain maka timbullah masalah kekurangan pakar-pakar yang khusus dalam bidang ini untuk menerangkan kepada masyarakat pengetahuan tentang ilmu ini.

Keghairahan masyarakat Islam di Malaysia mempelajari seni ilmu bacaan al-Qur’an ini semakin meningkat. Ini terbukti dengan adanya sambutan yang menggalakkan terhadap kelas-kelas pengajian al-Qu’ran samada dibawah kerajaan, swasta mahu pun persendirian. Walaupun begitu, sebahagian besar kelas-kelas tersebut masih lagi belum memperkenalkan ilmu Qiraat ini kerana lebih menekankan kepada memperbetul dan memperelokkan bacaan.

Masyarakat Islam di Malaysia mula memahami bahawa bacaan yang mereka pelajari selama ini adalah bacaan daripada riwayat Hafs bin Sulaiman al-Khufi melalui majlis-majlis dan pertandingan-pertandingan yang melibatkan tilawah al-Qur’an yang sebahagian besarnya menonjolkan identiti bacaan ini sekaligus memperkenalkan kepada masyarakat Islam di Malaysia bahawa bacaan yang dipersembahkan adalah mengikut bacaan riwayat Hafs bin Sulaiman al-Khufi sepertimana yang mereka amalkan sebelum ini.

Disamping itu, dengan timbulnya beberapa Maahad Tahfiz samada dibawah kerajaan atau pun swasta yang mengambil sukatan pelajaran daripada Universiti Al-Azhar, Kaherah telah membuka sedikit ruang kefahaman masyarakat Islam di Malaysia tentang ilmu Qiraat yang mana sebelum ini pengetahuan sebegitu hanya tertumpu kepada individu-individu tertentu sahaja.

Sukatan pelajaran yang diambil adalah diantaranya mempelajari bacaan Qiraat melalui aliran al-Syatibiah dengan menggunakan matan al-Hirzu al-Amaani Wa al-wajhu al-Tahaani. Justeru itu, penggunaan aliran al-Syatibiah bagi riwayat Hafs bin Sulaiman al-Khufi ini semakin popular dan terkenal dengan adanya sistem pelajaran yang sebegini dan ramainya lepasan-lepasan pelajar dari maahad-maahad tahfiz. Hakikatnya, sebelum aliran al-Syathibiah ini dikenali oleh masyarakat Islam di Malaysia sememangnya mereka sudah pun membaca mengikut aliran ini tanpa mereka sedari.

Bersama ini di bentangkan definisi Ilmu Qiraat :

i) Nama : Ilmu Qiraat

ii) Definisi : Membincangkan tentang kalimah-kalimah al-Qur’an dan keadaan kalimah tersebut seperti panjang, pendek bacaan serta perubahan yang akan diterangkan selepas ini.


iii) Sumber : Dari sunnah dan ijma’ ulama’

iv) Faedahnya : Memelihara daripada kesilapan ketika menyebut kalimah-kalimah al-Qur’an dan juga menjadi dalil dan hujah kepada fuqaha’ dalam mencari hukum-hukum syara’ sebagai panduan kepada umat Islam.


v) Objektif : Mengetahui bacaan Imam-imam Qiraat sekaligus memahami apakah yang dimaksudkan “ tujuh huruf”

vi) Kelebihan : Semulia-mulia ilmu kerana mempunyai hubung-kait dengan al-Qur’an.


vii) Hukum : Fardu kifayah.


Bilakah timbulnya Qiraat ?

Sesungguhnya Qiraat telah pun wujud pada al-Qur’an semasa di Lauhul Mahfuz yang mana setelah itu diturunkan ke Baitul ‘Izzah di langit dunia, dan kemudian di turunkan secara beransur-ansur kepada Rasullullah s.a.w melalui perantaraan Jibril a.s.
Ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t telah pun mengetahui bahawa Rasullullah s.a.w akan mengadu dan meminta agar dipermudahkan lagi bacaan al-Qur’an kepada umatnya. Di antara hadis yang menceritakan tentang perkara ini ialah :

حدثنا أحمد بن منيع حدثنا الحسن بن موسى حدثنا شيبان عن عاصم عن زر بن حبيش عن أبي بن كعب قال : لقي رسول الله صلى الله عليه وسلم جبريل فقال يا جبريل :" إني بعثت إلى أميين منهم العجوز والشيخ الكبير والغلام والجارية والرجل الذي لم يقرأ كتابا قط " قال يا محمد : " إن القرآن أنزل على سبعة أحرف .."
رواه الترميذي


Maksudnya :

Daripada Ubai bin Ka’ab berkata : Rasullullah s.a.w berjumpa Jibril lalu bersabda : “ Wahai Jibril, sesungguhnya aku diutuskan kepada umat yang buta huruf diantara mereka lelaki dan perempuan yang tua dan lemah, budak lelaki dan budak perempuan dan juga lelaki yang tidak boleh membaca sedikit pun.” Jibril menjawab : “ Wahai Muhammad, Sesungguhnya al-Qur’an itu diturunkan diatas tujuh huruf.”
Hadis riwayat al-Tirmidzi


Apakah yang dimaksudkan 7 huruf ?

Ibn Hajar al-Askolani berpendapat 7 huruf bermaksud 7 wajah bacaan dan harus membaca mana-mana wajah daripada 7 wajah tersebut. Ada pendapat yang mengatakan huruf dengan makna bahasa iaitu 7 bahasa Arab yang terkenal.[2] (al-Asqolaani, Ibn Hajar, Fathu al-Baari, J. 8 mk.664). Adapun perbahasan makna 7 huruf dikalangan para ulama’ terbahagi kepada beberapa pendapat, sehingga sampai kepada 40 pendapat antaranya :

i) Cegah, suruh, halal, haram, peringatan, perbandingan dan hujjah
ii) Balasan baik dan buruk, halal, haram, peringatan, perbandingan dan hujjah.
iii) 7 bahasa : Quraisy, Yaman, Jarham, Hairizam, Qurda’ah, Tamim, Thoyy.
iv) 7 bacaan yang disandarkan kepada Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Ibn Mas’ud, Ibnu ‘Abbas dan Ubai bin Ka’ab.

Dan pendapat yang paling tepat disisi jumhur ulama’ ialah pendapat daripada Imam ar-Razi r.a iaitu :

1) Perselisihan pada ifrad, muthanna, jama’, tazkir dan ta’nis, contoh:
Kalimah
[3] رسالة lafaz ini adalah mufrad dengan makna satu risalah. Terdapat juga qiraat lain yang membaca dengan lafaz jama’ رسالات yang membawa maksud risalah-risalah.

2) Perselisihan pada tasrif fi’el madhi, mudhori’ dan amar, contoh :
Kalimah
[4] واتخَذوا lafaz ini fi’el madhi dengan makna kamu telah mengambil. Terdapat qiraat lain yang membaca dengan lafaz fi’el amar واتخِذوا dengan makna kamu hendaklah mengambil.

3) Perselisihan pada wajah-wajah i’rab, contoh: kalimah
[5] آدمُ dibaca dengan baris hadapan pada huruf mim menjadikannya faa’el iaitu yang membuat. Terdapat qiraat lain membaca dengan baris آدمَ atas pada huruf mim menjadikannya maf’ul iaitu terkena perbuatan itu keatasnya.

4) Perselisihan pada pengurangan dan penambahan, contoh: kalimah
[6] ملك ditulis tanpa alif selepas huruf mim. Terdapat qiraat lain yang menambah alif ملك selepas huruf mim.

5) Perselisihan pada ta’dim dan ta’khir, contoh : kalimah
[7] وقَتلوا وقُتلوا .Terdapat qiraat lain yang menukarkan kalimah yang didepan kebelakang. وقُتلوا وقَتلوا

6) Perselisihan pada ibdal , contoh: kalimah [ يَقُصُّ
[8 huruf ص pada kalimah tersebut ditukarkan kepada huruf ض pada qiraat yang lain.

7) Perselisihan pada sebutan bahasa, contoh : Fathah, imalah, taqlil, tebal,nipis, idghom, izhar,dan sebagainya yang mana sebahagiannya telah pun diperjelaskan dalam kitab tajwid.


Mengapakah Rasullullah tidak menerangkan makna ahrufu sab’ah?


Sesungguhnya tidak terdapat dalam hadis bahawa Rasullullah s.a.w menerangkan makna ahrufu sab’ah. Kemungkinan para sahabat telah maa’ruf dan maklum tentang perkara tersebut sehinggakan mereka tidak berhajat kepada penerangan. Maka dengan sebab itulah kita dapati tiada hadis dan riwayat yang menyatakan bahawa Rasullullah s.a.w pernah ditanya, ataupun menerangkan tentang perkara ini.

Dan sepanjang kajian yang telah di buat oleh ulama’ masih belum menjumpai mana-mana kitab yang menyatakan bahawa Rasullullah s.a.w menerangkan tentang apakah makna ahrufu sab’ah.

Nama-nama Imam Qiraat yang terdapat dalam kitab al-Hirzu al-Amaani Wa al-wajhu al-Tahaani :

i) Naafi’ al-Madani
ii) Ibn Kathir al-Makki
iii) Abu ‘Amru al-Basri
iv) Ibn ‘Aamir al-Dimasyqi
v) A’asim al-Khufi
vi) Hamzah al-Khufi
vii) Al-Kisaaei al-Khufi

Setiap Imam mempunyai 2 orang anak murid yang paling masyhur[9]. (dan setiap anak murid mempunyai ramai pewaris yang digelar Turuq) Dan bacaan yang disandarkan kepada anak murid di gelar sebagai riwayat.


Penjelasan makna istilah qiraat, riwayat, turuq.

i) Qiraat ialah bacaan yang disandarkan kepada Imam tersebut samada Imam 7 atau 10.
ii) Riwayat ialah bacaan yang disandarkan kepada anak murid Imam yang disebutkan diatas.
iii) Turuq ialah bacaan yang disandarkan kepada pewaris bacaan anak murid yang disebutkan diatas .

Perkembangan bacaan Qiraat seluruh dunia Islam


o Bolehlah disimpulkan sebegini:
• Qiraat Naafi’ bin Abd Rahman melalui riwayat Qaaluun terdapat di Libya dan sebahagian di Tunisia (0.7%). Adapun melalui riwayat Warsy terdapat di Jazair, Maghribi, sebahagian di Tunisia dan sebahagian di Sudan(3%).
• Qiraat Abu ‘Amru al-Basri terdapat disebahagian wilayah di Sudan (0.3%)
• Qiraat Ibn ‘Aamir al-Dimasyqi terdapat di Yaman (1%)
• Dan selain daripada itu, kesemuanya mengamalkan Qiraat ‘Aasim bin Abi Najud melalui riwayat Hafs bin Sulaiman al-Khufi.(95%)


Bagi bacaan Imam Hamzah dan Imam Kisaie sudah pun pupus dalam ertikata tidak ada lagi masyarakat atau kumpulan yang mengamalkannya. Walaupun begitu kedua-dua bacaan ini masih lagi dipelajari di Institusi yang menawarkan pelajaran ilm Qiraat agar tidak pupus ditelan zaman.

(disediakan oleh: Abu Syathibie ;syathibie@yahoo.com)

Nota kaki;

[1] Ibnu al-Jazari, Muhammad b. Muhammad b. Muhammad b. Ali bin Yusuf, Toyyibatu al-Nasyr,
[2] al-Asqolaani, Ibn Hajar, Fathu al-Baari, J. 8 mk.664
[3] al-A’raaf 93
[4] al-Baqarah 125
[5] al-Baqarah 37
[6] al-Faatihah 4
[7] Ali Imran 195
[8] al-An’am 57
[9] dan setiap anak murid mempunyai ramai pewaris yang digelar Turuq

Monday, May 15, 2006

Qiraat 1

Assalamualaikum w.b.t.

Segala puji hanya layak bagi Allah swt, selawat serta salam buat junjungan mulia nabi Muhammad saw.

Pertamanya sekalung penghargaan dan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi meluangkan masa untuk melayari blog ini.
Tidak dilupakan juga buat sahabat-sahabat yang memberi cadangan serta komen yang membina. Jazakumullah khairan jaza'.

Tiada apa yang ingin dicoretkan melainkan hanya ingin memberi sedikit ta'liq berkenaan dengan cadangan supaya blog ini dimanfaatkan dengan memberi pendedahan berkenaan Ilmu Qiraat.
Setelah difikirkan sebaiknya juga berdasarkan pendapat-pendapat yang diberikan rasanya begitu sesuai andai kiranya blog ini dimanfaatkan untuk tujuan tersebut.

Namun demikian diri ini bukanlah yang terbaik untuk mempersembahkan ilmu tersebut. Ini kerana memikirkan jauh bezanya berbanding ulamak-ulamak terdahulu yang telah bersusah payah mengorbankan jiwa dan raga demi kesucian Ilmu Qiraat serta Al-Quran itu sendiri.

Walaubagaimanapun dengan kemampuan yang ada seiring dengan izin dari Allah serta kekuasaanNya pendedahan ilmu tersebut akan diusahakan sedaya yang mampu.
Walaubagaimanapun pendedahan di sini bukanlah secara mendalam, mungkin hanya sekadar asas-asas untuk memberi gambaran sekitar Ilmu Qiraat.

Teguran yang membina dari semua amat-amatlah dialu-alukan demi kebaikan bersama.

Semuanya dengan kehendak AllahuRabbi.
Sekian Terima Kasih

Peranan Ahlil-Quran

ISLAM DIHINA ; PERANAN AHLIL QUR’AN

Firman Allah SWT :

Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Al A’raaf : 157)

Baru-baru ini, umat Islam digemparkan dengan penghinaan secara terang-terangan terhadap Islam oleh musuh-musuh Islam dengan tersiarnya karikatur menghina Nabi Muhammad SAW oleh Akhbar Denmark Jyllands Posten atas alasan kebebasan akhbar dan hak asasi manusia.

Lebih mencabar kewibawaan kita umat Islam di Malaysia khususnya, apabila akhbar Sarawak Tribune turut menyiarkan semula karikatur yang sama dan akhbar harian Cina Guang Ming Daily mengeluarkan foto sebuah akhbar yang menyiarkan karikatur tersebut. Disamping itu, akhbar New Street Times pula menyiarkan karikatur yang juga seakan-akan memberi gambaran sinis atas isu yang sama.

Kesabaran seorang muslim ada had dan batasnya. Apabila batang tubuh Rasulullah SAW sampai kepada peringkat di‘karikatur’kan dengan gambaran yang hina dan sinis, ia adalah satu tindakan yang melampau! Muslim yang tidak terguris hatinya, bermakna tiada iman baginya.

Namun, suatu reality pahit yang mesti kita sedari dan insafi ialah, negara kita Malaysia telah lama membiarkan Nabi dihina oleh orang Islam sendiri. Bacalah fakta ini :

1. "Nabi diketahui telah mengadakan hubungan seks dengan 15 wanita termasuk seorang wanita bernama Rayhana yang tidak Islam sehingga akhir hayatnya" ["Let Islam lead way with its progressive view on sexuality" oleh Farish A. Noor (NST, 4 Nov 4 2000)]

2. Nabi sendiri dalam konteks sejarahnya adalah seorang pemimpin kabilah, dan oleh kerana itu ketaatan awal kepada baginda diberi kerana baginda adalah pemimpin kabilah lebih dari pemimpin agama) ["Farish A Noor - Intellectual Provocateur" temubual oleh Amir Muhammad ("The Edge" , 3 Dis 2001)]

3. Nabi dilihat oleh pengikut-pengikutnya sebagai pemimpin suku dan ramai di kalangan mereka yang mengikutinya berbuat demikian kerana logik kepatuhan kesukuan .) ["The Myth Surrounding the Islamic State" oleh Farish A. Noor ( NST 1 hb Disember 2001)

Mengapakah warga Islam Malaysia ini tergamak menghina Rasulullah SAW? Antaranya ialah disebabkan golongan pemimpin mereka sendiri tergamak menghina sunnah Rasulullah SAW. Ingatkah anda dengan ucapan ini? - “Siapa tau janggut Nabi macam mana?.siapa biasa tengok janggut Nabi ..ada gambar ka ? Kita tak tau. Kita tak tau betuilah dia ada janggut?tapi betul ka janggut dia (Nabi)?Di zaman itu..pisau cukur ada kaaa?dia bukan ada? Gillette?? zaman Nabi ada Gillette? [rakaman kata-kata seorang mantan pemimpin di Malaysia]

TAHUN MENCABAR ISLAM (2005-2006)

Disepanjang tahun 2005 hingga awal 2006 sahaja, negara kita digemparkan dengan pelbagai isu yang berkait dengan kewibawaan Islam. Islam dan hukumnya semakin berani dicabar dan dihina. Telitilah fakta ini :

1. Berpunca dari kes Moorthy, percubaan pihak-pihak tertentu (Sisters In Islam, menteri kabinet bukan Islam dll) yang mendesak supaya meminda Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Mahkamah Sivil mencampuri urusan Mahkamah Syariah. Perkara 121(1A) yang diwujudkan oleh Parlimen pada 1988 adalah untuk mengatasi masalah campur tangan Mahkamah Sivil terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana sebelum tahun 1988, banyak kes mahkamah sivil yang melibatkan orang islam menganggu mahkamah syariah seperti kes murtad, perkahwinan, harta, waqaf, hadhonah dan sebagainya

2. Penolakan 50 NGO terhadap undang-undang bersifat kawalan moral setelah berlakunya tangkapan beberapa orang artis dan anak kenamaan di kelab malam De Zouk. Mereka dibebaskan dan tidak diambil tindakan malah JAWI di cemuh.

3. Wujudnya Interfaith Commision (IFC)? IFC yang nama asalnya ialah IRC. Inter Religious Council (IRC) adalah sebuah suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama (baca: agama Islam) akibat desakan penganut agama lain. IFC akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama.

Siapakah yang mencadangkan penubuhan IFC? IFC digagaskan penubuhannya oleh Malaysian Consultative Council Of Buddhism, Christianity, Hinduism dan Sikhism (MCCBCHS) atau pun Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh melalui memorandumnya kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos, 2001. Presiden MCCBCHS ialah V.Harcharan Singh. Pelbagai tuntutan yang dibuat oleh kumpulan ini yang rata-ratanya mencabar kewibawaan umat Islam. (anda boleh dapatkan isi kandungan tuntutan mereka di internet)



DI MALAYSIA, SUDAH LAMA ISLAM DIHINA

Mengapakah golongan minoriti bukan Islam tersebut bersama beberapa kumpulan liberal Islam hari demi hari semakin berani menzahirkan keraguan dan penentangan mereka terhadap Islam? Ianya tidak lain dan tidak bukan, lantaran mereka menyaksikan Islam di Malaysia yang telah lama dihina dan diperlekehkan tanpa apa-apa respon bersungguh ditunjukkan oleh umat Islam. Bacalah fakta ini :

1. "Mungkin serban mufti-mufti terlalu ketat dan sebab itu tidak cukup oksigen masuk ke dalam otak mereka. Mereka tidak berfikiran waras ...Dari masa ke semasa ulama selalu mengeluarkan pengumuman yang tidak masuk akal dan bodoh.") ["Now the mufti blame Hindi films" Akbar Ali (The Sun, 21hb Februari 2001)]

2. "Oleh kerana itu soal yang perlu ditangani di dalam masyarakat kita hari ini bukanlah isu samada poligami patut disahkan di bawah undang-undang sivil untuk orang bukan Islam, tetapi samada ia sepatutnya dibenarkan terus di dalam undang-undang keluarga Islam") ["Islam did not Invent or Encourage Polygamy", Sisters in Islam, NST 10th January 2002]

3. Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia (HRC) Majlis Peguam Malaysia, Cecil Rajendra telah mengedarkan surat terbuka dalam Mesyuarat Agung Majlis Peguam itu pada tahun 2001 yang telah mengkritik dan tidak mengakui serta tidak mengiktiraf hak kebebasan beragama sebagaimana termaktub dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya beliau dan Jawatankuasa HRC mendesak agar orang-orang Islam boleh keluar dari Islam tanpa sebarang sekatan.Tujuan surat terbuka ini diedar adalahuntuk meluluskan suatu usul dalam Mesyuarat Agung Majlis Peguam itu bahawa Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan adalah bertentangan dengan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia.

4. “Hukum rejam kepada penzina adalah primitif”. (Mahathir: 3/3/94)

5. “Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan umat Islam kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja”. (Mahathir: 14/7/92)

6. “Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tiada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama” (Mahathir: 2/5/92)

7. “Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam”. (Mahathir:14/8/94)

8. Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana sukar mendapat saksi yang tidak fasiq'. (Mahathir:3 Mac, Nilam Puri).

9. Negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan'. (Najib: 20/4/93)

10. Apakah kalau kita tidak tutup (aurat) kita tidak Islam? Banyak benda yang disuruh oleh agama Islam yang kita tidak buat, tetapi kita masih Islam". (Dr. Mahathir Mohamad, Majlis Tertutup Majlis Agama Kebangsaan, 1997).

11. Tetapi apa guna tudung kepala tapi rogol anak - tolong suami rogol anak. Tengok masuk dalam mahkamah (ber)ketayap, (ber) kopiah putih, isteri pakai tudung kepala. Tapi buat kerja apa?"(Dr. Mahathir Mohamad, Majlis Tertutup Majlis Agama Kebangsaan, 1997).

12. Tujuan menutup aurat ialah kerana di zaman Nabi, Arab Jahiliyyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain. Akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat". (Dr.Mahathir Mohamad: 5 September 1997, PWTC, Perhimpunan Agung UMNO).

13. Apabila tiga orang gadis Melayu Islam, Fahyu Hanim Ahmad,18 (Alor Setar), Noni Mohamad, 19 (George Town), dan Sharina Shaari 23, (Alor Setar), menyertai pertandingan Miss Malaysia Petite 1997 yang diadakan di Classic Ballroom, Hotel Holiday Villa Subang Jaya 13 Jun 1997 ditangkap oleh lima pegawai JAIS, Mufti dipecat


USAHA PENGHINAAN TERHADAP AL QUR’AN


Penghinaan terhadap Islam secara lansung adalah berhubung kait dengan Al Qur’an lantaran Al Qur’an adalah sumber rujukan tertinggi di dalam Islam. Tidak sepatutnya kita memisahkan Al Qur’an secara tekstual dan kontekstual. Al Qur’an diturunkan bukan semata-mata untuk dihafaz dan dibaca. Al Qur’an adalah kita hidayah, pemisah antara haq dan batil. Firman Allah SWT :

(Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa )
[Al Baqarah : 2]

(beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil) [Al Baqarah : 185]

Hari ini kita bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan golongan yang menolak tafsir para Ulama’ silam dan menyeru kepada tafsiran semula Al Qur’an, lebih berani daripada itu sudah adanya golongan Liberal Islam yang mempertikaikan teks Al Qur’an dari sudut ketulenannya.

Golongan ini yang sedang bergerak rancak di nusantara khasnya di Indonesia, mempertikaikan method penerimaan Al Qur’an yang sedang digunapakai oleh umat Islam pada hari ini secara sistem bersanad. Antara perkara yang dibangkitkan ialah :

1. Mana mungkin ayat al Qur’an yang banyak itu dapat dipelihara ribuan tahun secara turun tanpa ada kesilapan dan perubahan.

2. Kelemahan umat Islam ialah bila mereka menetapkan bahawa Al Qur’an yang ada sekarang tidak lansung boleh dikritik. Sedangkan method kritik merupakan satu wacana perkembangan minda dan intelektual. Lihatlah bagaimana majunya umat kristian bila mereka membudayakan pendekatan kritik terhadap kitab bible mereka.

3. Mereka mengiktiraf ketulenan dan kesucian dari kesilapan kitab-kitab Al Qur’an, Injil, Zabur, Taurat dan suhuf-suhuf ketika dalam bentuk Kalamullah yang turun dari Luh Mahfuz ke langit dunia. Tetapi yang turun dari langit dunia kepada manusia tidak lagi terjamin ketulinannya kerana melibatkan campur tangan manusia. Kalamullah yang telah turun dalam bentuk mushaf dan kitab ini boleh dikritik dan diperbahaskan.

4. Mereka membangkitkan tindakan pengumpulan Al Qur’an dan pembukuannya di zaman Abu Bakar, Umar dan Uthman. Begitulah juga mereka amat mencurigai konsep nasakh dan mansukh. Kesemuanya ini bagi mereka, adalah campur tangan manusia (ulama’) yang menjejaskan ketulenan Al Qur’an mengakibatkan Al Qur’an yang ada pada hari ini boleh dikritik dan diperbahaskan.

5. Kesimpulannya, Al Qur’an yang boleh dikritik ini akan membuka peluang yang luas kepada golongan ini untuk mempertikai segala hukum yang terdapat di dalam Islam yang dirasakan tidak relevan dengan zaman dan hak asasi kemanusiaan

Disinilah peranan dan tanggungjawab Ahlul Qur’an! Penghinaan dalam bentuk karikatur, mungkin boleh dibendung dengan demonstrasi dan ceramah-ceramah penerangan. Penghinaan terhadap Islam oleh orang politik, mungkin boleh dikawal dengan cara politik… tetapi penghinaan dalam bentuk ilmiah (kononnya) dan bergerak atas nama wacana intelektual ini, mestilah juga dibendung dengan kekuatan hujjah para Ulama’ Islam khususnya Ahlul Qur’an atau Hamlatul Qur’an. Oleh itu, bersiaplah! Musuh sedang menanti di medan perang… adakah kita masih berdengkur di bawah selimut??? Selamat Berjuang
!

Fadhilat Al-Quran

Kisah Seorang Cucu & Datuknya

Seorang lelaki tua Muslim Amerika tinggal di sebuah pergunungan di Kentucky dengan cucu lelakinya. Setiap pagi Si Datuk ini bangun awal dan duduk di meja dapur sambil membaca Al-Quran.

Cucu lelakinya sangat mengkagumi datuknya dan cuba seday upaya menjadi seperti dauknya itu, Suatu hari si cucu lelaki ini bertanya “Tok,saya telah cuba membaca Al-Quran seperti Datuk tapi saya tak dapat memahaminya dan apa yang saya faham saya akan cepat lupa sebaik sahaja saya menutup kitab tersebut . Apa yang baiknya baca Al-Quran sebenarnya, Tok?”

Si Datuk dengan perlahan berpaling daripada meletakkkan arang batu ke dalam diang pembakar dan menjawab,”Ambil bakul arang batu ni dan turun ke sungau dan bawakan Atuk sebakul air” Si cucu pun menurut printah datuknya dan turun ke sungai. Malangnya sebelum sempat dia sampai di rumah air telah keluar dari celaahan bakul. Si Datuk ketawa dan berkata, “Lain kali kamu mesti bergerak dengan lebih pantas lagi ” dan mengarahkan cucunya ke sungai kembali dengan bakul untuk mencuba sekali lagi.

Pada kali ini Si Cucu berlari dengan lebih pantas namun sekali lagi bakul tersebut kosong sebelum dia sempat sampai ke rumah. Dengan kepenatan, Si Cucu memberitahu datuknya yang amat mustahil untuk membawa air di dalam bakul dan pergi mendapatkan sebuah baldi,
Si Datuk berkata, Atuk tidak mahu sebaldi air tetapi yang Atuk nak sebakul air. Kamu Cuma tidak berusaha bersungguh untuk mendapatkan air itu” dan keluar melihat cucunya mencuba sekali lagi.


Pada saat ini, Si cucu ini yang perkara ini adalah mustahil tetapi dia tetap mahu menunjukkan pada datuknya walau sepantas mana dia berlari, air tetap akan mencurah keluar sehingga habis sebelum dia samapi ke rumah.

Sekali lagi dia mengambil air dari sungai tersebut dan dengan sepenuh hati dia berlari namun sesampainya dia di hadapan datuknya,bakul tersebut kosong kembali.
Dengan tercungap-cungap,dia berkata,”Lihat,tok! Semua ni sia-sia sahaja”
“Jadi kamu rasa ini adalah sia-sia?”tanya si Datuk,”Cuba lihat pada bakul tersebut”


Si Cucu memandang kembali pada bakul tadi dan untuk kali pertama dia sedar bahawa bakul tadi kelihatan berlainan. Bakul yang pada awalnya kotor dengan sisa arang kelihaan bersih luar dan dalam. “Cucuku, itulah yang berlaku bila kamu membaca Al-Quran. Kamu mungkin tidak memahami dan mengingati apa-apa tetapi sekali kamu membacanya, kamu akan berubah luar dan dalam tanpa kamu sedari. Itulah kuasa Allah dalam kehidupan kita”

Thursday, May 11, 2006

Kisah Nabi Musa a.s.

Kisah Musa a.s. Dengan 'Auj Bin Unuq

'Auj bin Unuq adalah manusia yang berumur sehingga 4,500 tahun. Tinggi tubuh badannya di waktu berdiri adalah seperti ketinggian air yang dapat menenggelamkan negeri pada zaman Nabi Nuh a.s. Ketinggian air tersebut tidak dapat melebihi lututnya. Ada yang mengatakan bahawa dia tinggal di gunung. Apabila dia merasa lapar, dia akan menghulurkan tangannya ke dasar laut untuk menangkap ikan kemudian memanggangnya dengan panas matahari. Apabila dia marah atas sesebuah negeri, maka dia akan mengencingi negeri tersebut hinggalah penduduk negeri itu tenggelam di dalam air kencingnya.

Apabila Nabi Musa bersama kaumnya tersesat di kebun teh, maka 'Auj bermaksud untuk membinasakan Nabi Musa bersama kaumnya itu. Kemudian 'Auj datang untuk memeriksa tempat kediaman askar Nabi Musa a.s., maka dia mendapati beberapa tempat kediaman askar Nabi Musa itu tidak jauh dari tempatnya. Kemudian dia mencabut gunung-gunung yang ada di sekitarnya dan diletakkan di atas kepalanya supaya mudah untuk dicampakkan kepada askar-askar Nabi Musa a.s.

Sebelum sempat 'Auj mencampakkan gunung-gunung yang dijunjung di atas kepalanya kepada askar-askar Nabi Musa a.s, Allah telah mengutuskan burung hud-hud dengan membawa batu berlian dan meletakkannya di atas gunung yang dijunjung oleh 'Auj. Dengan kekuasaan Allah, berlian tersebut menembusi gunung yang dijunjung oleh 'Auj sehinggalah sampai ke tengkuknya. 'Auj tidak sanggup menghilangkan berlian itu, akhirnya 'Auj binasa disebabkan batu berlian itu.

Dikatakan bahawa ketinggian Nabi Musa a.s adalah empat puluh hasta dan panjang tongkatnya juga empat puluh hasta dan memukulkan tongkatnya kepada 'Auj tepat mengenai mata dan kakinya. Ketika itu jatuhlah 'Auj dengan kehendak Allah s.w.t. dan akhirnya tidak dapat lari daripada kematian sekalipun badannya tinggi serta memiliki kekuatan yang hebat.