Monday, October 02, 2006

Qiraat 9

QIRAAT MUTAWATIRAH :
APLIKASI PADA AHKAM SYAR’IYYAH
SUATU PENGENALAN
“Jibril membacakan kepada aku dengan satu huruf laluaku ulang-ulangi. Senantiasalah aku meminta kepadanyaakan penambahan lalu dia (jibril) menambah sehinggasampai tujuh huruf.” Riwayat Al Bukhari.
“Sesungguhnya Al Quran ini diturunkan dengan tujuh huruf, bacalah daripadanya yang mudah bagi kamu”
Mutawatir adalah prasyarat utama dalam penerimaan sesuatu wajah sebagai Al Qiraat Al Maqbulah (qiraat yang diterima) di samping berbetulan dengan rasm uthmani dan berbetulan dengan satu wajah daripada wajah-wajah tatabahasa arab. Apabila sudah di wartakan sebagai mutawatir, maka beramal dengannya adalah dibenarkan malah dituntut dan diganjari dengan sebaik-baik ganjaran. Selanjutnya mengaplikasikan seluruh wajah bagi qiraat mutawatir adalah suatu kewajipan.
Kepelbagaian wajah adalah sumbangan bermakna ilmu Qiraat kepada perkembangan peradaban Islam. Bila manadi kaji dengan penuh teliti maka kita akan menemuikesimpulan bahawa perbezaan pada wajah bacaan initidak menunjukkan pertentangan pada makna mahupun pentafsiran sebaliknya antara satu sama lain adalah pelengkap yang saling berhubung kait. Doktor Syaaban Muhammad Ismail dalam karangannya (Al Qiraat Ahkamuha wa Masdaruha) menyatakan adalah mustahil terdapat pertentangan dalam nas Al Quran. Sama ada kerana terdapat perbezaan pada makna , pertentangan pada maksud atau berlawanan pada matlamat. Ini kerana semuanya akhirnya akan terdapat titik pertemuan yang menghasilkan percambahan buah fikiran. Hakikat ini sebenarnya telah memberi sumbangan yang besar kepadapara cerdik pandai Islam dalam menangani thaqafah Islamiyyah. Di antara disiplin ilmu yang terkesan daripada kepelbagaian wajah Qiraat ialah hukum hakam syariah Islam.
Secara umumnya hukum syariah yang bercambah hasil kepelbagaian wajah ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu Ahkam I’tiqadiyyah (Aqidah) dan Ahkam A’maliyyah (Feqah).
Al Ahkam I’tiqadiyyah
Ayat-ayat di bawah tajuk ini mempunyai perbezaanwajah yang mempunyai hubungkait dengan persoalanaqidah Islamiyyah. Secara umumnya ia merupakantuntutan bagi mukallaf untuk berpegang dengan asasaqidah Islam yang sohih dengan dibahagikan kepada 4 kumpulan iaitu ;
1. Ketuhanan ; 13 tempat
2. Kenabian ; 17 tempat
3. Perkara-perkara ghaib ; 13 tempat
4. Amal dan balasan ; 10 tempat
Sebagai contoh lafaz “malik” dalam ayat 4 surah Al-Fatihah boleh dibaca dengan dua wajah sama ada dengan “maaliki” atau pun “maliki”. Hasil daripada perbezaan ini ramai ulamak memberi pandangan. Abu Amr Al Basri menyatakan bahawa raja adalah lebih umum berbanding pemilik. Abu Ubaid Al Qasim ibn Salam pula menyatakan seluruh raja memiliki tetapi tidak sebaliknya. Hasilnya kita dapati bahawa Allah bersifat dengankedua-dua sifat ini. Dia adalah Raja yang Maha Memiliki.
Perlu diberi perhatian bahawa dalam ruang disiplin ilmu aqidah tidak dibenarkan mengambil wajah yang tidak mutawatir sebagai sandaran hukum. Oleh itu wajah-wajah yang menjadi rujukan dalam aqidah disyaratkan mutawatir. Tidak boleh daripada wajah yang shaz atau yang lebih rendah daripadanya. Walaupun dalam contoh kita tadi terdapat wajah-wajah yang lain tetapi tidak boleh dijadikan sandaran dalam memberi dilalah dalam erti kata yang lain beristinbat daripadanya kerana tidak mutawatir.
Ini membuktikan perbezaan wajah Qiraat menjadi salahsatu penyumbang percambahan aliran pemikiran dalamaqidah Islam.
Al Ahkam Al Fiqhiyyah Al Amaliyyah
Ayat-ayat di bawah tajuk ini mempunyai perbezaanwajah yang mempunyai hubungkait dengan persoalanibadat dalam Islam. Secara umumnya ia merupakantuntutan bagi mukallaf untuk mengikuti hukum hakamfeqah Islami dengan dibahagikan kepada 7 kumpulan iaitu ;
1. Ibadat ; 11 tempat
2. Muamalat ; 3 tempat
3. Nikah ; 7 tempat
4. Hudud ; 4 tempat
5. Jihad ; 10 tempat
6. Sumpah ; 2 tempat
7. Kehakiman ; 1 tempat
Contoh yang amat jelas adalah dalam ayat 6 surah AlMaaidah. Lafaz “arjulakum” dalam ayat itu boleh dibaca dengan 2 wajah iaitu “arjulakum” dengan fathah atau “arjulikum” dengan kasrah. Kedua-duanya adalah Qiraat yang mutawatir. Perbezaan yang ringkas ini sebenarnya telah menerbitkan perbahasan yang panjang. Dengan campur tangan pula dari sudut nahu maka telah membawa satu perkataan dengan dua makna iaitu membasuh atau menyapu. Hasilnya kita mengetahui tentang sumber istinbat kewajipan membasuh kaki dalam wuduk dan keharusan menyapu khuf dalam situasi tertentu. Begitulah dalam contoh-contoh yang lain. Umat Islam akhirnya akan memperolehi faedah yang banyak hasil daripada ijtihad ulamak dengan ruang ibadah yang lebih luas dan memberi peluang kepada seluruh manusia merasai kesesuai Islam walau di mana mereka berada.
Tidak dapat dinafikan keterlibatan disiplin ilmu yanglain dalam kajian kita ini. Perbezaan wajah ini akan lebih kita fahami dengan bantuan ilmu nahu, sorof, balaghah, usuluddin, usul feqh dan sebagainya.
Artikel ini sebagai pengenalan agar dapat dilakukan kajian demi kajian supaya lebih nampak jelas peranan Qiraat dalam hidup kita.
Sedikit sebanyak disiplin ilmu Qiraat memainkan peranan penting dalam metodologi Islam. Manifestasi daripada itu, ilmu ini tidak boleh sama sekali dikesampingkan. Sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk mendalami ilmu ini dan menyebarkannya kepada khalayak.
Wallahu a’lam.

0 comments: