KHILAF TAJWID DAN QIRAAT PADA LUGHAH
Pertembungan Antara Ulama Lughah (Salaf Dan Khalaf)
Pada Membicarakan IImu Qiraat Dan Tajwid
Apabila kita membicarakan ikhtilaf antara ahli lughah dari era salaf dan era khalaf, adalah perlu diketahui bahawa mereka ini lebih dikenali sebagai golongan al- Qudama' (salaf) dan al-Muhdathin (khalaf). Antara tokoh-tokoh ulama lughah dari golongan qudama' ialah Abu al-Aswad ad-Du'ali (zaman sahabat), Sibawih (zaman tabi` tabi`in) dan Imam Abu `Amru al-Basri (qari dan lughawi zaman tabi`in).
Sebenarnya, pertembungan ini tidak pernah wujud di kalangan ulama-ulama lughah khususnya di al-Azhar sejak ia ditubuhkan bahkan sebelum wujudnya al-Azhar lagi. Akan tetapi setelah kewafatan Syeikh al-Azhar Jadul Haq `Ali Jadul Haq banyak perkara yang menimbulkan kontroversi telah mewarnai al-Azhar. Antara masalah yang dibawa oleh sebahagian ulama lughah pada masa kini (al-Muhdathin) yang mendapat tentangan oleh seluruh qurra' atau masyayeikh qiraat ialah dakwaan bahawa bacaan al-Quran yang ada pada hari ini sama ada kaedah membunyikan huruf atau cara menyebut huruf-huruf al-Quran dan qawaid hukum yang berkaitan dengan al-Quran seperti ilmu tajwid dan qiraat sebagaimana yang dibawa oleh qurra' dan yang diamalkan oleh seluruh umat Islam pada hari ini sebenarnya salah dan tidak menepati konsep yang sebenarnya. Pada hakikatnya, apa yang disampaikan oleh qurra' dan yang diamalkan oleh umat Islam pada hari ini dalam bab al-Quran seperti qiraat dan ilmu tajwid adalah merupakan warisan Islam yang diambil secara mutawatir atau bersanad dari zaman as-Salaf as-Soleh hingga zaman kita pada hari ini oleh ulama-ulama yang muktabar sehinggalah bersambung kepada Rasulullah S.A.W.
Sebagai contoh; al-Lughawiyyin al-Muhdathin mempertikaikan cara membunyikan huruf (Dhod) sebagaimana yang diketahui umum secara dharuri dengan menyatakan bahawa cara menyebut huruf ini yang sebenar ialah sedikit condong kepada bunyi huruf (Zho). Bahkan jika diperhatikan dengan teliti ia seolah-olah menyerupai huruf (Zho) yang umum. Apabila ditanya, mereka menjawab bahawa ahli-ahli lughah telah mentakkidkan perkara ini. Sebenarnya apa yang dinyatakan adalah salah kerana al-Quran dari sudut qiraat dan hukum tajwid adalah (Sunnatun Muttabi'atun) yang diambil secara mutawatir oleh ulama khalaf dari ulama salaf bukan diambil daripada ahli lughah semata-mata.
Sebelum kita meneruskan perbahasan dalam masalah ini, perlu diketahui bahawa al-Lughawiyyun atau ahli lughah terbahagi kepada dua golongan: al-Qudama' (salaf) dan al-Muhdathin (khalaf). Ahli lughah dari golongan al-Qudama' terdiri daripada lughawiyyin (ulama lughah) dan qurra'. Manhaj ilmu qiraat adalah diambil daripada kedua-dua golongan ulama ini. Manakala al-Muhdathin (khalaf) pula terbahagi kepada tiga golongan: 1) Orientalis, 2) Ulama lughawi yang terpengaruh dengan pandangan orientalis, 3) Ulama lughawi yang thiqah yang berpegang dengan manhaj lughah yang sahih.
Perlu diingat dan difahami bahawa bukanlah semua ulama lughawi muhdathin itu salah. Akan tetapi yang salah ialah mana-mana ulama lughawi yang terkesan dengan pandangan orientalis dalam qawaid lughah walaupun pada hakikatnya apa yang dinyatakan oleh pihak orientalis itu bersalahan dengan usul lughah yang thabit. Sesungguhnya para orientalis barat memang sengaja meletakkan usul lughah yang baru ke dalam usul lughah yang sedia ada dengan niat mereka untuk mencampak keraguan-keraguan terhadap bahasa Arab yang menjadi bahasa al-Quran dengan tujuan untuk mempertikaikan kesahihan al-Quran yang telah dijamin kesuciannya dari tangan-tangan manusia.
Adapun golongan qurra' samada dari golongan qudama' dan muhdathin senantiasa ittifaq dan tidak wujud ikhtilaf di kalangan mereka melainkan pada sedikit masalah lughah yang kecil. Secara umumnya mereka semua ittifaq.
Sekarang kita masuk kepada permasalahan yang berlaku pertikaian di dalamnya.
1) Ilmu Tajwid
Masalah:
Golongan lughawi muhdathin menyatakan bahawa ilmu tajwid bukanlah semata-mata dikhaskan untuk al-Quran kerana tajwid ini hanyalah untuk bahasa Arab sahaja dengan alas an bahawa tajwid adalah sebahagian daripada kalam-kalam arabiah, sebahagian daripada mustalahat arabiah dan bangsa Arab menggunakan tajwid dalam setiap perkara. Ertinya tajwid ini adalah merupakan sebahagian daripada lughah arabiah bukan dikhususkan kepada al-Quran sahaja.
Jika demikian, adakah ilmu tajwid hanya terhenti di kalangan lughawi sahaja dan mereka berhak mengubah qawaid atau usul ilmu ini atau apa-apa sahaja yang perlu walaupun bersalahan dengan manhaj yang telah diletak oleh ulama salaf (qurra` dan lughawi) yang diambil daripada Rasulullah S.A.W.???
Jawapan:
Perlu diketahui bahawa ilmu tajwid terbahagi kepada dua bahagian:
1) Tajwid `Ilmi
2) Tajwid `Amali atau Tatbiqi
Tajwid ilmi membahaskan teori-teori dalam ilmu tajwid seperti takrif hukum al-Ikhfa', al-Idgham dan lain-lain. Dalam hal ini, diharuskan mengambil dalil-dalil daripada ulama lughawi atau tidak menjadi kesalahan dalam memberi ruang kepada mereka untuk memberi pendapat ketika membahas teori-teori ilmu tajwid.
Adapun yang berkaitan dengan ilmu tajwid amali atau tatbiqi, perlu diambil perhatian bahawa bukan menjadi hak golongan lughawi untuk bercakap mengenainya kerana mereka bukan ahli dalam perkara ni bahkan ianya adalah dikhaskan untuk ahli al-Ada' atau ahli at-Talaqqi dan qiraat itu adalah suatu sunnah yang mesti diikut.
Kata ulama
.Al-Quran tidak diqias daripada lughah bahkan lughah yang diqias daripada al-Quran.
Makhraj dan Sifat Huruf :-
Masalah 1:
Ahli lughawi al-muhdathin membahagikan makhraj huruf kepada 'Taqsim Souti' semata-mata bukan 'Taqsim Makhraj Huruf' seperti mendakwa fungsi (Arria'h) dan (Al Halqu) dalam masa yang sama menafikan fungsi wujudnya tempat keluar huruf di pangkal halkum, di tengah dan lain-lain makhraj huruf yang memberi kesan kepada bunyi.
Sebenarnya tidak menjadi satu masalah untuk berbincang masalah as-Sautiah tetapi bila kita bercakap tentang at-talaqqi maka tidak dapat tidak mestilah diambil dari ahli talaqqi. Tidak wajar kita mengatakan bahawa ahlul Ada' mesti ataupun wajib mengambil pandangan orang yang pakar dalam masalah Sauti dalam menentukan makhraj huruf.
Masalah 2:
Di antara makhraj huruf ialah (Aqsol Halqu) dan (Adnal Halqu) Ada di antara lughawi menafikan kewujudan kedua-dua makhraj huruf ini. Sebagai contoh; menafikan huruf (Hamzah) dan huruf ( Ha' ) daripada (Aqsol Halqu) dengan mendakwa tempat keluar huruf ( Hamzah ) ialah (Al Witrain Assoutaini) dan tempat keluar huruf (Hamzah ) ialah (Al Halqu) tanpa menyebut dipangkal halkum atau hujungnya. Jika ini berlaku maka ia akan menafikan kedua-dua huruf ini daripada sifat (Al Mutajanisaini).Mereka juga menafikan kewujudan (Adnal Halqu) dan menggantikannya dengan nama baru iaitu (Aslul Luhat) . Ini juga akan menafikan tempat keluar huruf (Kho'),(Ghoin)dan(qof) dan sifat (Al Mutajanisaini)Jika semua ini berlaku sudah pasti akan merosakkan manhaj tajwid seperti manhaj Al-Idgham dan Al-Izhar.Ini juga akan menyebabkan berlakunya (at Tadakhul) dalam manhaj tajwid seterusnya merosakkan qawaid (Al mutajanisaini) yang telah diletakkan oleh Abu `Amr ad-Dani, al-Makki bin Abi Talib, Sibawih, Imam Abu `Amr al-Basri dan lain-lain. Masalah ini berpunca daripada manhaj al-lughawiyyin al-muhdathin bertentangan dengan manhaj al-lughawiyyin al-qudama'. Sebahagian daripada mereka terkesan dengan dakyah orientalis yang mempertikaikan manhaj tajwid al-Quran. Mereka mengatakan bahawa qawaid tajwid dan qiraat yang diletakkan oleh ulama Islam adalah salah dan tidak tepat seperti mendakwa kesilapan ulama Islam dalam meletakkan qawaid makhraj huruf al-Quran. Semua ini adalah cubaan-cubaan untuk menjejaskan ketulinan al-Quran dengan melemparkan pelbagai dakyah palsu pada qurra', manhaj qiraat dan tajwid. Begitu juga apabila mereka mendakwa makhraj sebenar bagi huruf (dhod) ialah (lidah diangkat ke langit hujung Thorof) yang menyebabkan bunyi huruf seperti huruf (Zho) sedangkan para qudama' tidak menyatakan demikian kerana makhraj sebenar huruf ini ialah seperti yang dinyatakan oleh Imam Ibnu al-Jazari dalam kitabnya Toyyibah an-Nasyr; (Waddhodu min aisari au yumnaha)
Masalah 3:
Golongan lughawi muhdathin juga menafikan sifat (Al mun hirof) pada huruf (Ro) sedangkan jelas al-qudama' menthabitkan sifat ini kepada huruf ini. Mereka sangat mudah menyalahkan golongan al-qudama' dan ahli iqra' tanpa ilmu yang sahih. Begitu juga dalam masalah sifat huruf seperti (Ar Rikhowa), (Al Jahru) dan (As Syiddah). Mereka tidak mengiktiraf kewujudan sifat-sifat ini pada huruf-huruf al-Quran. Pandangan mereka ini merosakkan manhaj tajwid yang sahih dan mempertikaikan ulama lughawi al-qudama' seperti Sibawih, al-Farra', Imam Abu `Amr al-`Alla' dan lain-lain dalam membahagikan sifat-sifat huruf kepada kategori lemah, sederhana dan kuat. Mereka mendakwa tiada kategori lemah, sederhana dan kuat pada sifat huruf seperti yang dinyatakan. Dengan itu, makhraj dan sifat huruf yang dibawa oleh ahli lughawi al-muhdathin sangat bertentangan dengan manhaj makhraj dan sifat huruf yang sahih di sisi ulama lughawi al-qudama'.
Kita selaku pelajar yang mendalami ilmu qiraat sedia maklum bahawa ada sebahagian dari kalangan ahli lughawi muhdathin yang mempertikaikan kewibawaan ilmu qiraat. Ini sebenarnya merupakan manhaj lughawi qudama'. Berdasarkan manhaj mereka, ahli lughawi hanya melihat kesesuaian qiraat dari sudut lughah semata-mata. Berdasarkan manhaj qurra', mereka memerhatikan qiraat dari semua sudut seperti lughawiah, fiqhiah, al-ada', al-rasm, martabat sanad dan lain-lain untuk menerima sesuatu qiraat. Akan tetapi, apa yang dilakukan oleh ulama lughawi ialah mereka hanya menerima qiraat yang bertepatan dengan disiplin ilmu lughah sahaja. Jika tidak maka sebaliknya. Ada juga ulama lughawi bahkan terdapat dari golongan al-qudama' sendiri yang membaca al-Quran dengan sebahagian qiraat syazzah yang kebetulan menepati dari sudut lughah. Akan tetapi mereka menolak sebahagian qiraat yang mutawatir dengan hujjah qiraat yang mutawatir ini tidak menepati disiplin ilmu lughah walaupun ('Ala wajhi Ihtimal). Sebenarnya perkara ini tidak wajar berlaku kerana bukan menjadi keahlian ulama lughawi untuk meletakkan qawaid usul al-ada' kerana usul alada' hanya boleh diambil dengan Talaqqi atau Mushafahah sebagaimana khalaf menerima al-Quran ini daripada salaf.
Konklusinya, apa yang cuba dibawa oleh ulama lughawi muhdathin pada hari ini untuk membetulkan qawaid ilmu tajwid dan usul qiraat yang telah disusun oleh qurra' dan ulama lughawi salaf (qudama') adalah satu usaha yang tidak wajar kerana pada hakikatnya mereka telah dikelirukan oleh pihak orientalis barat. Sesungguhnya golongan orientalis ini sentiasa berusaha untuk mengelirukan umat Islam dengan mencampakkan keraguan-keraguan terhadap al-Quran. Kita hendaklah yakin dan beriman bahawa Allah Ta`ala telah menjamin kesucian kalamNya daripada dinodai oleh tangan-tangan manusia yang kufur kepadaNya.
Kita juga mesti memahami bahawa method dalam menerima dan mengambil al-Quran oleh para ulama adalah hanya dengan jalan al-talaqqi dan al-musyafahah. Perkara ini adalah thabit di sisi ulama salaf dan khalaf. Kita juga mesti beriman bahawa al-Quran telah diturunkan dengan tujuh huruf (sab'ah ahruf)) dan qiraat mutawatir yang ada pada hari ini adalah tujuh qiraat dan 3 mutammimah(kesemuanya mutawatir) itu yang wajib diterima dan tidak boleh diingkari walaupun menyalahi qawaid lughah yang arjah kerana qiraat merupakan Sunnah Muttabi'ah. Hukum mempelajari ilmu ini adalah fardu kifayah ke atas umat Islam dan fardu ain ke atas mereka yang mendalaminya. Mereka yang mendalami ilmu qiraat ini mestilah bersungguh-sungguh menguasainya dan menyebarkan kepada seluruh umat sehinggalah nur al-Quran kembali menerangi hati-hati umat Islam. Semoga kegemilangan Islam akan kembali bertamu pada zaman kita ini.
Segala ilmu agama juga haruslah di ambil secara talaqqi daripada Ulama,Imam,Qurra supaya kecacatan ilmu itu tidak dikhianati serta mempunyai sanad yng tasalsul dari mushonnif kepada Rasulullah.Imam Abdullah Ibnu Mubarak ade berkata..tanpa isnad,sesiapapun akan berkata tentang perkara kebaikan. Sahabat nabi dahulu,pernah berjalan ketika musim sejuk sehinggakan tercabut telinganya terlanggar kayu disebabkan kerana sejuk membeku yng teramat sangat.Kesungguhan ini semata2 dilakukan kerana mengetahui ada perawi hadith yang lebih hampir kepada Rasulullah.Betapa tingginya syiar Islam jika ia dilakukan semata2 kerana niat ikhlas kepada Allah.Ingat!!Jangn mudah memperlekahkan sanad jika kita tidak mampu melakukan sehebat ni.Tapi apa yang berlaku sekarang ialah orang Islam sendiri yang menghina dan memeperdebatkan apa yang telah dilakukan para sahabat.tabi',tabie' tabi'ein dan para alim ulama.Sepatutnya kita bersyukur kerana segala kemudahn ilmu dari alim ulama sudah tersedia ada.Hanya kita sahaja menunggu kuah tumpah dan pandai memilih mana yang sesuai dan sebetul2nya..
'mana tidaknya tumpah kuah kalau tak ke nasi sudah kene tukar..roti jale pun boleh' ..:)
Rujukan:
1) Nihayah al-Qaul al-Mufid Fi `Ilmi at-Tajwid – Muhammad al-Makki
2) Bidayah al-Qari al-Mubtadi' – Syeikh al-Murshifi
3) Ahkam Qiraah al-Quran – Syeikh Mahmud Khalil al-Husori
4) Ahkam at-Tilawah – Ahmad at-Thowil
5) Al-Lahjat Wa al-Aswat – Doktor Muhammad Hasan Hasan Jabal, Kuliah Al-Quran
Wal Qiraat Tanta.
6) Al-Itqan Fi Ulum al-Quran – Imam Jalaluddin as-Sayuti
7) Toyyibah an-Nasyr Fi al-Qiraat al-`Asyr – Imam Ibnu al-Jazari
0 comments:
Post a Comment