Sunday, August 06, 2006

Pertahankan Lubnan

PAS rakam tahniah kepada Hizbullah
Sat Aug 05, 06 06:51:08 PM
Oleh Maslan Yusoh
PENGKALAN CHEPA, 5 Ogos (Hrkh) - PAS merakamkan ucapan tahniah di atas keberanian pejuang-pejuang Hizbullah mempertahankan maruah umat Islam di Lubnan daripada terus dizalimi tentera Yahudi. Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rahsia kekuatan mereka ialah iman yang kental dan semangat untuk mati syahid sehingga ia tidak mampu dikalah musuh, biar pun mereka memiliki senjata canggih.
"Kekuatan inilah yang membuatkan mereka mampu bertahan dan tidak boleh dikalahkan dengan mudah tentera rejim Zionis," katanya pada ceramah isu semasa sempena Konvensyen Halwa Muslimat PAS Pusat di Putik malam tadi.

Sehubungan itu, beliau berharap umat Islam di seluruh dunia bersatu dan bangkit di atas nama kesatuan Islam.
Menurutnya, umat Islam tidak perlu sehingga menunggu untuk memiliki senjata canggih dan hebat bagi melawan musuh yang kini semakin mengganas.

"Bukan dengan senjata yang banyak dan hebat baru kita boleh melawan. Islam mewajibkan kita melawan musuh dengan kekuatan yang ada seperti dilakukan Hizbullah di bumi Lubnan sekarang," ujarnya.

Tentera Zionis sekarang dilaporkan semakin mara ke Selatan Lubnan dan memutuskan hubungan Beirut dengan dunia luar bagi mengelakkan bantuan kemanusiaan sampai ke negara yang dilanda perang tersebut.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata, adalah menjadi kewajiban bagi negara Islam menolong umat Islam yang sedang dianiayai dengan zalimnya pihak musuh.

Bagaimanapun malangnya kata beliau negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak membuat kenyataan yang tegas bagi mengutuk keganasan Yahudi di bumi di Lubnan dan Palestin.

Malah katanya, ada negara OIC tidak serius dalam menangani krisis tersebut sehingga sesetengah anggotanya hanya menghantar delegasi peringkat pegawai pada persidangan tergempar di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya juga, punca umat Islam begitu lemah kerana mereka mengasingkan agama dan politik dalam kehidupan harian serta mementingkan habuan keduniaan.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, tentera Zionis bukan sahaja menjadikan penduduk Islam sebagai sasaran, sebaliknya penduduk Kristian di utara Lubnan juga kini menjadi mangsa kerangkusan mereka.
"Tentera rejim Zionis tidak mengira sesiapa sama ada Islam atau Kristian dalam misi memusnahkan negara Lubnan," ujarnya.

Beliau turut memuji keberanian pejuang Hizbullah memberi tentangan sengit sehingga ia tidak dijangka sama sekali Amerika Syarikat sebagai sekutu rapat Israel.

Hadir sama pada ceramah itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Azizah Khatib Mat, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan dan Senator Mumtaz Mat Nawi.

0 comments: