21 Ogos setiap tahun merupakan Hari Al-Quds Sedunia yang disambut sebagai tanda memperingati tragedi pembakaran masjid Al-Aqsa yang dibakar oleh seorang Zionis warga Switzerland, Dennis Michael Rohan yang kononnya dikatakan gila. Tragedi tersebut merupakan catatan sejarah yang paling menyedihkan dalam sejarah umat Islam terhadap masjid Al-Aqsa yang disucikan.Begitulah nasib tanah suci Umat Islam yang ketiga setelah dihuni oleh “Israel” Sang Perampas.
Sebagai umat Islam, isu Palestin merupakan isu ‘Akidah yang selayaknya dipertanggungjawabkan bagi sekalian umat Islam kerana kedudukan Masjid al-Aqsa sebagai tanah suci ketiga dalam Islam, Kiblat pertama umat Islam, Tanah Anbiya’ dan pusat pemerintahan dunia Islam seperti yang dirakamkam dalam Hadis Rasulullah.
Hari ini Palestin berada dalam tangan musuh Islam, Zionis “Israel” yang telah merampasnya dari tangan umat Islam. Akibatnya, umat Palestin telah dihalau keluar, dizalimi, ditindas, dikambinghitamkan, dipenjarakan dan dibunuh. Nasib yang melanda umat Islam Palestin memerlukan pembelaan dari seluruh umat Islam.
Sebagai usaha pembelaan dan kepedulian kita, maka Hari Memperingati Al-Quds atau Remembrance of Al-Quds (ROQ) merupakan sebuah gagasan utama yang akan menjadi simbol solidariti umat Islam di Malaysia terhadap umat Palestin. Pelbagai kegiatan boleh dijalankan untuk mewar-warkan tentang isu Palestin dan kedudukan Palestin dalam hati umat Islam. Kita berharap progam ini akan menggerakkan masyarakat yang sedar untuk menghulurkan sumbangan dan mempersiapkan diri mereka dengan segala pertahanan dan kecemerlangan sebagai umat yang terbaik.
Semoga Allah memberikan kekuatan kepada meeka yang berkorban demi Islam dan berusaha keras mempertahankan Islam, tanahairnya, kesucian dan maruahnya dan umatnya. Amin.
Setelah itu orang-orang Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Dennis Michael. Michael mendakwa bahawa dia diutus Allah untuk melakukan pembakaran itu sesuai dengan berita dari Kitab Zakaria. Kemudian, Yahudi membebaskannya dengan mengatakan Michael ‘gila’. Maka, atas sebab itu, Michael tidak dapat dipertanggungjawabkan atas kejadian tersebut. Negeri-negeri Muslim seluruh dunia bangkit mempertahankan tempat suci mereka dan mengecam perbuatan keji terhadap Al-Aqsa. Maka sejak itu 21 Ogos setiap tahun menjadi Hari Al-Quds sedunia.
Episod duka Palestin ini, ditambah dengan penindasan dan kezaliman yang tidak henti hingga ke saat ini hakikatnya menuntut sokongan dan bantuan kita, seluruh lapisan Ummah—pemilik tanah Palestin yang sah. Malah, 21 Ogos hadir setiap tahun mengingatkan kita bahawa sekiranya kita tidak mempertahankan tanah suci Palestin dan Masjidil Aqsa, kelak, kita bukan sahaja tidak dapat mempertahankannya daripada sekadar dibakar, malah dirampas terus keseluruhannya secara haram oleh Zionis Yahudi.
Justeru, bersempena Sambutan Memperingati Hari Al-Quds Sedunia tahun ini, adalah amat wajar untuk kita sama-sama mengajak masyarakat sekeliling memperingatinya, apatah lagi merencana langkah strategik, efektif dan praktikal yang boleh dilakukan dengan mengoptimakan kemahiran dan sumber yang ada demi menyumbang ke arah pembebasan Palestin. Semoga usaha kerdil kita demi mewujudkan keadilan dan keamanan di bumi Palestin diberkatiNya. Islami Ya Quds!
0 comments:
Post a Comment