Sudah berpunya
Ustaz Don ada sebab setia kepada sebuah stesen TV saja
USTAZ
Don begitu disayangi dan disenangi ramai, apatah lagi karakternya mudah
mesra serta peramah membuatkan siapa saja senang mendekati pendakwah
muda ini.
Umurnya baru menjangkau 28 tahun, tapi anak kelahiran Bukit
Mertajam, Pulau Pinang ini mempunyai banyak pengalaman menjadi
penceramah bebas.
Sentiasa cuba mengelak untuk berbicara soal peribadi dan lebih suka
berahsia kerana baginya soal percintaan dan perkahwinan biarlah
diketahui oleh individu yang rapat dengannya saja.
Namun, dia tidak menafikan sudah bertunang dan bakal mendirikan rumah
tangga dengan pelajar jurusan perubatan di Universiti Kaherah, Mesir,
dalam masa terdekat.
Ustaz Don atau Don Daniyal Don Biyajid, 28, pengendali program 30
Minit Ustaz Don yang bersiaran setiap Isnin sehingga Khamis, jam 10
malam di TV AlHijrah.
Bukan hanya golongan tertentu yang mendengarceramahnya, tapi
daripada anak kecil sehingga golongan ibu bapa tertarik dengan
penyampaian dan pendekatan Ustaz Don yang santai, bersahaja dan
menghiburkan.
Ini boleh dilihat menerusi kejayaan rancangannya yang sudah menjangkau 100 episod.
Istimewa buat penonton yang setia menyokong rancangan itu, Ustaz Don menghadiahkan siaran langsung selama lebih 65 minit.
Pada siaran langsung istimewa itu kelmarin, kru produksi menyingkap
sejarah kehidupan Ustaz Don dari zaman kanak-kanak sehingga ke dunia
universiti.
Malah, lebih menarik lagi apabila dua bekas guru Ustaz Don ketika di
bangku sekolah turut hadir membuat kejutan. Ustaz Yazid Salleh, ustaz
yang mengajar pelajaran tahfiz Al-Quran dan Cikgu Noor Rijah Hassan,
cikgu Bahasa Inggeris sewaktu dirinya mendapat pendidikan awal di
Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh, Bukit Mertajam.
Biarpun terkejut, terpancar kegembiraan di wajahnya, dan Ustaz Don
hampir menangis kerana tidak menyangka kehadiran dua guru yang amat
dikasihinya itu.
Pemilik Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari Maahad Qiraat
Shoubra, Mesir ini akui kemunculannya di stesen TV AlHijrah adalah
disebabkan stesen itu tampil menyebarkan pengajaran Islam, sama seperti
dirinya yang mahu berkongsi ilmu dengan segenap umat Islam.
Menafikan dirinya terikat dengan TV AlHijrah, Ustaz Don bukannya
tidak mahu menerima undangan stesen TV lain, tapi dia kekal dengan
sebuah stesen memandangkan dirinya terikat dengan banyak komitmen lain.
“Bukan saya enggan ke stesen TV lain, cuma saya berpegang kepada
prinsip ‘jika banyak air yang mengalir, lagi banyak yang perlu saya
lap’, ia seperti lagi banyak tawaran yang saya terima, kemungkinan lagi
banyak kesilapan saya akan lakukan.
“Cukuplah saya menjadi penceramah bebas di TV AlHijrah.
Lagi pun, AlHijrah bermula sebagai TV penyiaran mengenai Islam, dan
saya juga orang Islam yang ingin menyebarkan dakwah, oleh itu, saya
nampak keserasian saya bersama stesen TV ini.
“Saya memegang kuat kepada realiti, yang mana saya kurang gemar
berceramah menerusi Facebook dan Twitter, kerana saya lebih gemar
berjumpa dan bersemuka dengan orang ramai, supaya kita sebagai umat
Islam berasa lebih dekat dengan satu sama lain.
“Saya hanya individu yang berpegang kepada al-Quran dan sunnah.
Saya tidak mahu dunia populariti mempengaruhi diri saya.
Perkara yang paling saya takuti adalah perasaan riak dan sifat
munafik. Inilah sifat yang paling ditakuti oleh ulama, sebab bila-bila
saja saya boleh lali dan berubah.
“Saya bersyukur dapat sampai ke tahap ini dan dapat mengecapi
suasana begini, yang mana orang ramai sudah mula menggemari Islam. Saya
berterima kasih kepada Tuhan kerana memilih saya. Saya juga seperti
manusia biasa dan saya tahu ada lagi orang yang lebih pandai daripada
saya di luar sana,” katanya yang ditemui sejurus habis siaran langsung
episod 100 program 30 Minit Ustaz Don.