Monday, May 31, 2010

Kenyataan Media Pengurusan Krisis LL4G Malaysia Seru Kerajaan Mengutuk Serangan Israel Ke Atas Flotilla


KENYATAAN MEDIA

Isnin 31hb Mei 2010

GESAAN KEPADA KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA MENGUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA MISI BANTUAN KEMANUSIAAN LL4G KE GAZA

Perkembangan terkini flotilla Lifeline4Gaza;

1. Sebagaimana yang dimaklumi 7 buah kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza sedang belayar menuju ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean. Konvoi ini diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH). Maklumat terkini ialah kapal induk Mavi Marmara telah diserang oleh angkatan laut Israel. Akibat dari tindakan biadap ini 3 orang sukarelawan telah terkorban dan 30 lagi mengalami cedera parah.

2. Seramai 12 orang sukarelawan bersama-sama petugas media daripada Malaysia turut menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ini. Mereka berada di atas kapal “Mavi Marmara”. Penyertaan mereka bersama konvoi ini adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan.

3. Semua objektif dan pergerakan konvoi ini adalah berpandukan kepada Resolusi 1860 (2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang maritim lain yang berkaitan.

Antara lain, Resolusi 1860 menyebut antara lain

a) menyeru kepada penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Gaza termasuk makanan, minyak dan kemudahan perubatan,

b) menggalakkan usaha-usaha membuka laluan dan mekanisma lain bagi tujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang berterusan,

c) menyeru semua negara untuk menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan dan ekonomi di Gaza, dan

d) mengecam semua bentuk keganasan dan serangan terhadap masyarakat awam dan semua bentuk terorisma.

Semua rakyat Malaysia yang terlibat di dalam konvoi ini berpegang teguh kepada peraturan dan undang-undang antarabangsa dan pekerti mulia sesuai dengan aspirasi negara Malaysia.

4. Konvoi ini membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun. Tidak ada sebarang bentuk senjata dibawa bersama konvoi ini walaupun untuk tujuan mempertahankan diri. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa konvoi ini adalah benar-benar sebuah konvoi bantuan kemanusiaan yang akan disampaikan oleh sukarelawan-sukarelawan dari kalangan masyarakat awam.

5. Berdasarkan kepada fakta-fakta ini jelas Israel secara biadap telah melanggar undang-undang antarabangsa. Apatah lagi serangan ini berlaku di perairan antarabangsa dan dilakukan ke atas sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang tidak bersenjata yang bertujuan aman. Tindakan Israel menginjak-injak prinsip kemanusiaan ini wajar mendapat kutukan dari seluruh masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan keadilan.

6. Kami dengan ini menyeru supaya kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Mohd Najid Tun Abd Razak dan juga Datin Seri Paduka Rosmah Mansor sebagai Penaung kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan biadap dan kejam regim Zionis Israel yang telah bertindak di luar batas kemanusiaan dengan menyerang sebuah flotila kemananan yang bertujuan semata-mata untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang teraniaya dan dizalimi sekian lama.

7. Kami juga menyeru PBB supaya mengadakan persidangan tergempar untuk meluluskan resolusi bagi mengambil tindakan paling tegas ke atas Israel, termasuk mengheret pemimpin mereka ke muka pengadilan.

8. Kami juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan bantahan dan kutukan paling keras ke atas Israel serta bersedia untuk menyokong apa-apa tindakan yang akan disusun seterusnya bagi menangani isu ini.

9. Kami juga menyeru kepada semua pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat seluruhnya supaya bergabung tenaga menyatakan sokongan kepada misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mengenakan tekanan ke atas Israel yang telah menyerang flotila Gaza sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan di kalangan sukarelawan.

10. Kami seterusnya menyeru agar semua peringkat masyarakat dapat meneruskan doa dan solat hajat di masjid, surau, jabatan kerajaan, atau mana-mana tempat lain yang sesuai bagi memohon agar Allah SWT menjayakan misi bantuan ini dan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada para sukarelawan.

Zulkifli Mohd Nani
Pengerusi
Pasukan Pengurusan Krisis dan sokongan keluarga misi LL4G Malaysia

Sumber: http://www.lifeline4gaza.org/2010/05/31/kenyataan-media-cmt-ll4g-1/

Wednesday, May 26, 2010

Menyangkal Artikel YADIM Tentang Isu Halal Judi Dan Arak


"Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani"

Akhbar Utusan Malaysia pada hari Isnin bertarikh 24.5.2010 telah menyiarkan satu rencana yang telah dikarang oleh saudara Mohd Shauki Abdul Majid, pengurus penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIEM) yang bertajuk ‘Kerajaan Tidak Menghalalkan Judi dan Arak'. Rencana itu dikarang dengan tujuan menjawab isu lesen perjudian bola sepak yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Di dalam rencana tersebut pengarang mendakwa bahawa pemberian lesen perjudian tersebut tidak bercanggah dengan kaedah siasah syariyyah sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Umar al-Khattab.

Namun setelah diteliti dengan mendalam mengikut nas-nas al-Quran dan hadis serta kaedah syarak, rencana tersebut secara jelas tidak dapat memberikan hujjah yang benar dan didapati banyak kesilapan yang telah dilakukan oleh pengarang dalam usaha membenarkan dakwaan beliau. Secara ringkas, pengarang mahu menyamakan hukum berkaitan arak dengan hukum perjudian yang mana membenarkan sebuah negara membuka ruang aktiviti perjudian sebagaimana arak dibenarkan kepada bukan Islam berdasarkan maslahah. Di sini pihak saya akan menyatakan kesilapan-kesilapan tersebut berdasar beberapa perkara dibawah:

Kesilapan Pertama:

Pengharaman judi disamakan dengan pengharaman arak

Dalam muqaddimah rencana tersebut, pengarang telah menyebut perihal pengharaman arak secara beransur-ansur (tadarruj) sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran pada surah Al-Baqarah (ayat 219), surah Al-Nisaa’(ayat 43) dan surah Al-maidah (ayat 90). Tujuan pengharaman arak secara beransur-ansur adalah untuk meraikan keadaan dan suasana umat Islam pada ketika itu yang masih lagi dalam peringkat pembinaan iman. Pengarang walaubagaimana pun telah menyamakan pengharaman judi dengan arak semasa mengulas ayat 43 surah al-Nisaa’ dengan kata beliau:

“Pada peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat selanjutnya, iaitu ayat 43, surah al-Nisa. Antara kandungannya ialah Allah melarang orang Islam menunaikan solat ketika mereka mabuk, sehinggalah mereka benar-benar mengetahui apa yang mereka bacakan. Pada tahap itu, arak dan judi masih belum diharamkan secara tegas.”

“Akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang dengan tegas mengatakan bahawa arak, judi, menyembelih korban untuk berhala dan nujum adalah lebih keji dan lahir daripada perbuatan syaitan.”

Pada hakikatnya pengharaman judi tidak boleh disamakan dengan pengharaman arak dari sudut tadarruj (bertahap). Pengharaman judi sebenarnya adalah sama dengan pengharaman zina, bunuh, mencuri, merompak dan lain-lain yang mana pengharamannya datang secara terus tanpa disebut secara bertahap sebagaimana pengharaman arak kerana mudarat aktiviti perjudian amat besar kepada masyarakat berbanding arak yang mana ia digunakan juga untuk aktiviti lain seumpama tujuan perubatan oleh masyarakat pada ketika itu selain daripada minuman.

Oleh itu pengharaman sekaligus telah diwahyukan oleh Allah dalam surah Al-Maidah ayat 90. Maka jelaslah di sini pengharaman secara bertahap adalah dikhususkan untuk arak tidak termasuk judi dengan hikmah tertentu. Walaupun pengharaman judi tidak disebut di dalam al-Quran sebagaimana arak tetapi ia tidak bermakna judi dihalalkan oleh Islam sebelum dinyatakan secara jelas di dalamnya. Kalaulah kaedahnya begitu, maka perbuatan lain seperti membunuh, merompak dan berzina dikira halal sebelum diharamkan oleh al-Quran.

Kesilapan Kedua:

Mendakwa dalil orang bukan Islam boleh meminum arak berdasarkan perbuatan Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat membayar ganti rugi(dhoman) terhadap bekas arak yang dipecahkan.

Pengarang berkata:

“Pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW, beberapa sahabat memecahkan tempat menyimpan arak milik bukan Islam. Rasulullah telah meminta supaya para sahabat berkenaan membayar diat (ganti rugi) yang jumlahnya setimpal dengan nilai barangan yang telah dirosakkan. Ini boleh dijadikan asas bahawa orang bukan Islam boleh meminum minuman yang memabukkan atau memprosesnya selagi tidak memudaratkan orang lain”

Pertama, pengarang mengistilahkan ganti rugi dengan perkataan diat. Istilah tepat yang sepatutnya digunakan mengikut ilmu feqh adalah dhoman. Kedua, hadis tersebut langsung tidak menyebutkan orang bukan Islam harus minum arak secara jelas (sorih) atau melalui mafhumnya (samada mafhum muwafaqah, mafhum mukhalafah dan lain-lain yang digunakan untuk memahami nas).

Ketiga, Rasulullah menyuruh para sahabat membayar ganti rugi adalah kerana merosakkan harta iaitu bekas-bekas yang masih boleh digunakan sedangkan yang diharamkan adalah arak bukan bekas-bekas tersebut. Bekas-bekas tersebut tiada kaitan dengan pengharaman arak.

Keempat, hukum bukan Islam meminum arak di dalam syariat Islam juga adalah berdosa dan dihisab pada hari akhirat. Ini kerana mengikut pendapat yang paling kuat di sisi para ulama, bukan Islam juga ditaklifkan dengan perkara furu’ (seperti solat, zakat dan lain) sebagaimana mereka ditaklifkan dengan perkara usul (iaitu beriman dengan Allah). Maka tiada dalil yang membenarkan atau mengharuskan perbuatan tersebut mengikut nas Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

Cuma perkara yang membenarkan mereka meminum arak adalah berdasarkan dasar toleransi Islam itu sendiri yang membenarkan penganut agama lain yang berada dalam negara Islam melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka seperti meminum arak dan memakan daging khinzir. Sesebuah negara Islam itu tidak boleh menghalang mereka dalam soal tersebut. Ianya berlainan dengan judi yang tidak dibenarkan atau dihalalkan oleh mana-mana agama utama di dunia. Oleh itu Khilafah Islamiah sejak dahulu tidak membenarkan judi kerana diharamkan oleh seluruh agama di dunia. (Rujuk Ghairul Muslimin Fi Mujtama’ Islami, Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ms 47-48, cetakan Maktabah Wahbah, Kaherah)

Seterusnya pengarang berkata:

“Namun, mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran umat Islam. Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan itu, maka hendaklah dilakukan secara yang tidak mengganggu umat Islam seperti di tempat-tempat khusus dan tersembunyi.

Pengajaran dan pembinaan hukum Islam seperti dalam kes pengharaman arak ini amat sesuai dengan situasi yang wujud di Malaysia, iaitu umat Islam dan bukan Islam hidup bersama dalam sebuah entiti negara.”

Kemudian pengarang berkata lagi:

“Prinsip itu terkandung dalam siasah syariah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya Asybah Wa al-Nazair ada membincangkan satu kaedah yang bermaksud: Pemimpin seharusnya bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian maslahah (kebajikan dan kepentingan umum).”

Memang diakui sekiranya bukan Islam ingin melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka tetapi diharam oleh Islam (seperti kes minum arak), maka hendaklah dilakukan ditempat khusus dan tersembunyi supaya tidak menyinggung perasaan umat Islam. Tetapi persoalannya, adakah perkara ini betul-betul diangkat menjadi undang-undang Malaysia atau diamalkan secara baik?

Apa yang terjadi adalah berlawanan sebagaimana yang dakwaan-dakwaan yang terdapat di dalam rencana tersebut yang berkaitan dengan arak. Kita boleh lihat sendiri arak dijual secara berleluasa tanpa kawalan, dihidangkan di dalam hotel-hotel, dijual oleh peramugari beragama Islam di dalam kapal terbang, kilang yang terbesar di Asia Tenggara dan diminum serta dijual secara terbuka oleh orang Islam sendiri. Adakah wujud satu kaedah khusus dalam Islam yang membenarkan sebuah negara menjalankan aktiviti perniagaan arak sampai ke tahap itu? Di mana maslahah yang didakwa?

Keadah yang disebutkan oleh pengarang sedikit pun tidak tepat dengan realiti yang berlaku ataupun boleh dianggap telah menyeleweng daripada maksud yang tujuan asal. Apa yang berlaku sekarang adalah satu mafsadah dan bukan maslahah. Adakah tepat sekiranya semata-mata ingin menjaga satu kepentingan kita mengundang satu kecelakaan kepada umat? Adakah sama perbuatan Saidina Umar mengutip cukai import arak dengan keadaan sekarang? Itu adalah persoalan kepada pengarang kerana saya tidak mahu membahaskan persoalan maslahah di dalam Islam secara panjang lebar kerana isu yang diulas adalah berkaitan judi.

Kesilapan Ketiga:

Pengarang silap menyebut kaedah syara’

Samada secara sedar atau tidak, pengarang sebenarnya telah melakukan kesilapan dalam menyebut satu kaedah penting iaitu katanya:

“Malah dalam usul fikah juga terdapat perkara yang menekankan menangani bahaya yang khusus adalah lebih diutamakan daripada bahaya yang umum (yang boleh melibatkan kemudaratan yang lebih besar).”

Kaedah yang sebenarnya adalah berbunyi, “menangani bahaya yang umum (melibatkan masyarakat umum atau lebih besar) lebih diutamakan daripada bahaya khusus (yang bersifat peribadi dan kecil).

Bagi sesiapa yang mempelajari Fiqhul Muwazanah (rujuk Siasah Syariyyah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, m.s 300-301, Maktabah Wahbah, Kaherah) akan memahami dengan mudah kaedah tersebut. Kaedah yang sama dalam bahasa arab berbunyi:

"دفع المفسدة العامة يقدم على المفسدة الخاصة"
Mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus


"ضحى بالمصلحة الخاصة من أجل المصلحة العامة"
Dikorbankan maslahah khusus kerana menjaga kepentingan umum


"يتحمل الضرر الأدنى لدفع الضرر الأعلى"
Ditanggung mudarat yang lebih kecil kerana mengelakkan mudarat yang lebih besar


"يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام"
Ditanggung mudarat yang khusus untuk mengelak mudarat yang umum


Semua kaedah di atas mempunyai maksud yang hampir sama iaitu menjaga kepentingan umum diutamakan dengan menggadaikan kepentingan khusus atau mengelakkan bahaya yang lebih besar dan yang melibatkan masyarakat secara amnya perlu diutamakan dengan hanya menanggung bahaya yang lebih kecil atau khusus.(Qawaid Fiqhiyyah, Dr. Abdul Aziz Muhammad Azzam, m.s 144, Darul Hadith, Kaherah)

Pengarang berkata:

“Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau pernah mengenakan cukai import ke atas minuman keras yang dibawa masuk dari luar negara. Hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sumber am negara dan dibelanjakan untuk pengurusan infrastruktur seperti jalan raya.

Ini menggambarkan suatu pemerintahan yang bijaksana apabila pengimportan najis tersebut dibenarkan dan dikawal. Maksudnya, pemerintah telah mengambil langkah memilih bahaya (kemudaratan) yang sedikit daripada bahaya yang lebih besar.”

Untuk pengetahuan pembaca, kaedah yang digariskan adalah kaedah“menanggung bahaya yang lebih ringan daripada dua bahaya atau Irtikab Akhaffu dharurain”. Maksudnya lebih kurang kaedah di atas. Selain itu, soal yang dilaksanakan oleh Saidina Umar adalah berkaitan arak dengan berdasarkan toleransi Islam dengan bukan Islam seperti yang telah saya nyatakan tadi dalam perbahasan kedua. Kerajaan Islam yang dipimpin oleh sahabat Nabi Muhammad yang agung ini tiada kena mengena sedikit pun dengan urusan perjudian.

Selain itu juga, kaedah ini juga tidak terpakai dalam isu judi kerana memberikan lesen perjudian pada hakikatnya akan menimbulkan darurat yang lebih besar kepada negara bahkan menggalakkan aktiviti perjudian di kalangan rakyat kerana mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan. Mereka juga tidak menanggung risiko penanggkapan polis.

Oleh itu, sekiranya kaedah ini ingin digunakan maka yang sepatutnya yang dilaksanakan ialah kerajaan seharusnya mengharamkan aktiviti perjudian dan menangkap mereka yang berjudi sekalipun terpaksa mengorban harta, masa dan tenaga kerana risiko pengorbanan itu lebih ringan berbanding membiarkan rakyat terjebak dengan aktiviti yang keji lagi mempunyai mudarat yang besar. Dengan itu, barulah kaedah yang tersebut di atas tepat pada perlaksanaannya sebagaimana yang disebut oleh para fuqaha’ serta kerajaan juga dapat mendidik masyarakat agar tidak terjebak dengan arak dan judi.

Kesilapan Keempat:

Menqiyaskan hukum arak dengan hukum judi

Kesilapan yang paling utama dan juga tujuan utama rencana ini dikarang adalah untuk membenarkan tindakan kerajaan mengeluarkan lesen judi dengan membawa dalil-dalil yang mengharuskan perniagaan arak dalam negara Islam.

Maaf, saya ingin katakan bahawa pengarang belum memahami selok belok ilmu siasah syariyyah dengan baik atau memahami ilmu qawaid fiqhiyyah secara sempurna sehinggakan dalil yang dibawa untuk mengharuskan arak dijual dalam negara Islam pun banyak menyeleweng dan salah. Apatah lagi ingin menggunakan hujjah tersebut untuk menghalalkan aktiviti perjudian. Pengarang telah menyebut dalam rencana tersebut:

“Inilah persepsi yang sepatutnya difahami apabila kerajaan mengizinkan pengimportan ke atas arak, atau mengeluarkan lesen judi. Kerajaan juga tidak menghalalkan arak dan judi atau mendorong dan menggalakkan rakyatnya berjudi dan meminum arak.”

“Tegasnya arak dan judi adalah untuk mereka yang bukan beragama Islam, yang menjadikan judi dan arak itu sebagai lumrah dalam kehidupan mereka. Lagi pun undang-undang dalam enakmen syariah di setiap negeri ada memperuntukkan fasal-fasal yang menjatuhkan hukuman ke atas kegiatan dan penglibatan umat Islam dalam kes judi dan arak.”

Sekali lagi ingin saya nyatakan bahawa Islam tidak membenarkan langsung aktiviti perjudian kerana semua agama di dunia tidak menghalalkannya. Ini berlainan dengan isu arak yang mana ia merupakan hak bukan Islam untuk meminumnya dalam negara Islam kerana ia dibenarkan oleh sebahagian agama mereka walaupun Islam meletakkan piawaian tertentu untuk mengelakkan berlaku kemudaratan. Hak ini samalah dengan hak mereka untuk beribadat di kuil-kuil, merayakan hari kebesaran agama mereka dan lain-lain.

Kesimpulan hujjah yang didakwa pengarang ialah judi diharamkan bersama arak yang mana pengharamannya secara bertahap. Judi juga adalah amalan dan budaya jahiliyyah seperti arak maka hukumnya adalah seperti arak. Memberikan lesen judi pula adalah daripada satu perinsip pemimpin negara untuk menjaga maslahah umum dan menanggung mudarat yang ringan.

Setelah dijawab satu persatu maka jelaslah dalil-dalil tersebut adalah dalil rekaan yang tidak berdasarkan keilmuan yang jitu dan tidak menepati realiti. Mereka yang benar-benar mengkaji hukum dan tarikh tasyri’ sangat mudah untuk mematahkan hujjah yang dangkal tersebut.

Tegasnya, mengqiyaskan soal arak dengan soal judi dalam persoalan ini adalah Qiyas maal fariq. Sejarah Islam belum pernah mencatatkan mana-mana kerajaan di bawah mana-mana Khalifah membenarkan aktiviti judi kerana judi itu seolah-olah telah membunuh aktiviti ekonomi rakyat.

Akhir sekali, saya menyeru dan mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya mengharamkan aktiviti perjudian dan menasihati kepada golongan agamawan dalam sektor-sektor kerajaan supaya berani menegur kesilapan dan bukannya mengeluarkan fatwa yang menyeleweng. Saya memohon ampun sekiranya jawapan ringkas ini mengandungi kelemahan. Wallahu A’lam.

Oleh:
Khairul Anuar Bin Ismail
Pengerusi Felow Manhal PMRAM 2010
ibnubarqi.blogspot.com
MENYANGKAL TULISAN SAUDARA MOHD SHAUKI ABDUL MAJID PENGURUS PENYELIDIKAN YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIEM) BERKAITAN ISU LESEN PERJUDIAN.

Tuesday, May 18, 2010

KENYATAAN RASMI ISU PERJUDIAN BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2010

KENYATAAN RASMI

ISU PERJUDIAN BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2010

Ketua Lajnah Keahlian dan Ulama Pelapis

Dewan Ulama Pas Pusat


Semua mengetahui bahawa judi adalah haram di sisi Islam bahkan membawa keburukan kepada manusia sama muslim atau non muslim. Tindakan kerajaan pusat meluluskan lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 untuk menyekat kegiatan perjudian tanpa lesen memperlihatkan kedangkalan mereka dalam mengatasi isu tersebut. Adakah memadai untuk menghalang kemudaratan dengan cara memberikan lesen untuk melakukan kemudaratan tersebut umpama ingin menghalang orang yang mencuri dengan memberikan lesen kepada mereka untuk mencuri.

Ini mungkin satu usaha daripada pihak kerajaan yang tidak segan silu meluluskan lesen judi tersebut demi untuk mencapai matlamat MEB bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. Jika itulah yang berlaku, ini mengesahkan lagi bahawa dasar pemerintahan negara ini adalah sekular melalui cabang pragmatisme dan bukannya Islam sebagaimana yang mereka war-warkan bahawa negara ini adalah negara Islam.


Kelulusan judi ini juga memperlihatkan bahawa kerajaan hanya bertopengkan Islam demi wang, politik dan kerakusan kuasa semata-mata. Di hadapan masyarakat, mereka menzahirkan bahawa mereka inginkan Islam dengan menganjurkan pelbagai program keislaman seperti forum, sambutan hari kebesaran Islam termasuk begitu vokal dalam isu larangan berpolitik dalam masjid tetapi dalam masa yang sama mereka tidak kisah untuk menghalalkan perkara yang haram di sisi Islam dengan memberikan alasan yang tidak logik. Halal bagi mereka adalah kegiatan yang berlesen, adapun haram adalah kegiatan yang tidak diberikan lesen oleh mereka. Islam Hadhari yang sebelum ini dijadikan sebagai topeng untuk mengekalkan kuasa kini tenggelam kerana slogan tersebut hanya memakan diri dan merugikan mereka.


Justeru, Lajnah Keahlian dan Ulama Pelapis, Dewan Ulama PAS Pusat mendesak agar kerajaan menarik balik lesen yang diberikan untuk menghalalkan judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010. Kami juga mendesak agar semua mufti termasuk menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga urusan agama Islam tidak mendiamkan diri dalam isu ini. Mereka tidak seharus vokal dalam isu yang memihak kepada kerajaan semata-mata tetapi menikus dalam isu yang merosakkan umat Islam demi menjaga jawatan dan kuasa semata-mata.

Haji Khair Mutanazzar

Ketua Lajnah Keahlian dan Ulama Pelapis

Dewan Ulama PAS PUSAT.

Monday, May 17, 2010

Pendidik Pencetus Transformasi Modal Insan

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam perjuangan.

Saban tahun, detik bersejarah tanggal 16 Mei merupakan tarikh istimewa yang cukup bermakna bagi insan bergelar ’guru’. Hampir 360,000 golongan pendidik akan diraikan sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini. Selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat, saya ingin mengucapkan ’Selamat Menyambut Hari Guru’ kepada semua barisan pendidik yang telah mencurahkan bakti bagi menggalas tanggungjawab dan amanah dalam memacu halatuju pendidikan negara.

Sesungguhnya, cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar memerlukan kesediaan pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang tinggi di kalangan pendidik. Perjuangan para guru dalam merealisasikan pendidik berjiwa rabbani amat penting demi kelangsungan generasi masa hadapan. Saya juga ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan barisan pendidik dari peringkat awal pendidikan kanak- kanak hinggalah ke peringkat IPT. Sudah pasti penghargaan ini ditujukan khususnya kepada golongan wanita yang bergelar ’muslimat’ dan mendominasi bidang pendidikan negara dalam memacu halatuju modal insan agar lahir generasi yang seimbang dan berbahagia di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya, amat disedari bahawa golongan wanita yang bergelar ’muslimat ’ merupakan insan yang cukup istimewa. Mereka dianugerahi ’sifat keibuan’ yang penuh kelembutan dan kasih sayang melebihi kaum lelaki. Justeru, profesion perguruan amat sesuai dan cukup sinonim dengan golongan bergelar wanita. Kitalah ibu, kitalah isteri, kitalah pekerja, kitalah pendidik, kitalah pendakwah, kitalah pemimpin dan kitalah juga penggerak dalam parti dan masyarakat. Di tangan kitalah, tergalas amanah dan tanggungjawab untuk mendidik pelajar yang suatu ketika nanti akan berada di gelanggang masyarakat.

Dewasa ini, gejala sosial yang sedang melanda sangat membimbangkan dan kian membarah dalam masyarakat. Kes jenayah, zina, isu buang bayi, sumbang mahram, kelahiran bayi luar nikah, jenayah ragut, kes bunuh dan bermacam-macam lagi sangat mendukacitakan. Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat melihat seolah- olah suatu keruntuhan nilai yang amat dahsyat sedang berlaku mutaakhir ini. Apalah gunanya negara memiliki bangunan pencakar langit dan menjulang tinggi tetapi dalam masa yang sama jati diri generasi pewaris masa hadapan bergelar ’pelajar’ yang disandarkan segala harapan untuk menerajui kepimpinan negara kian rapuh ditelan zaman. Justeru, hanya Islam yang syumul sebagai wadah penyelesaian terbaik dalam menangani isu pendidikan negara yang semakin meruncing.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang”.(Al-Maidah: ayat 56)

Nasib dan kebajikan para guru juga kian diabaikan dan tiada pembelaan. Dalam masa yang sama, mereka berdepan dengan tekanan dari pelbagai sudut untuk terus mendidik anak bangsa agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Apa yang paling menyedihkan, hanya kepada para guru seolah- olah dibebankan segala tanggungjawab ini. Sebahagian pihak berperanan sebagai ’pembina’ malangnya sebahagian pihak pula menjadi ’peruntuh’ masa depan. Manakala peranan pihak kerajaan, media bercetak dan media elektronik selain institusi kekeluargaan seolah-olah semakin dikesampingkan. Sedangkan mereka juga berperanan mendidik masyarakat bagi melahirkan insan berjiwa rabbani. Bukankah tanggungjawab mendidik masyarakat mesti digalas secara kolektif dan bersepadu?

Justeru, penghargaan dan pengiktirafan daripada masyarakat melalui kad ucapan, menaikkan banner atau majlis perayaan kepada golongan pendidik amat penting untuk membangkitkan momentum perjuangan ke arah ’mendidik masyarakat’ demi mencari keredhaan llahi.

Tema yang dipilih di peringkat Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat pada tahun ini ialah ’Pendidik Pencetus Transformasi Modal Insan’. Tema ini dipilih berdasarkan hasrat, visi dan misi Lajnah Pendidikan DMPP untuk melahirkan generasi yang seimbang dari aspek spiritual, intelektual, emosi dan fizikal melalui sistem pendidikan yang bersifat holistik dan global. Di tangan para gurulah, terletaknya peranan untuk melahirkan pelajar yang memiliki sahsiah unggul dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa bersumberkan sistem ’Pendidikan Rabbani”.

Tentunya, ’transformasi sistem pendidikan’ dan ’transformasi budaya’ yang dicetuskan oleh para guru bakal melahirkan modal insan yang berbahagia hidup di dunia dan di akhirat.

Memang tidak dapat dinafikan, dalam kegembiraan meraikan Hari Guru yang cukup bermakna ini, para guru berdepan dengan kebajikan yang diabaikan dan hak guru yang semakin dinafikan. Atas nama ’dasar penjimatan ’ golongan guru pada tahun ini sering dinafikan dari segi tuntutan perjalanan semasa berkursus dan aktiviti pendidikan yang dikurangkan. Dalam masa yang sama, mereka berdepan dengan dasar-dasar pendidikan yang bercelaru. Umpamanya kesan yang kini dirasai berikutan dasar PPSMI 6 tahun dahulu yang membazirkan duit rakyat serta meminggirkan pelajar luar bandar.

Ura-ura dasar PPSMI yang akan dimansuhkan menjelang 2011 seolah-olah hanyalah ’gula- gula’ yang diumpan kepada anak-anak kecil walhal pada hakikatnya pemansuhan secara berperingkat dengan alasan ’soft landing’ memakan masa yang lama. Persoalannnya, bagaimana pula dengan mudah RM100 juta dibazirkan untuk Program Permata Negara dan puluhan ribu dicurahkan kepada hanya 20 buah sekolah berprestasi tinggi? Pelbagai projek kononya atas nama dan slogan ’pendidikan anak bangsa dilaburkan dengan begitu mudah, tetapi dalam masa yang sama meminggirkan kebajikan kaum guru adalah sangat dikesali.

Sesungguhnya, guru adalah ’agen’ perubahan masyarakat. Gurulah insan yang suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai ’kemerdekaan’ tanah air. Gurulah yang membentuk ’jiwa dan minda merdeka’ dari segala belenggu pemikiran negatif di kalangan masyarakat suatu ketika dahulu. Justeru, saya ingin menyeru kepada barisan pendidik di seluruh negara agar ’berani’ membuat anjakan paradigma demi melihat perubahan iklim pentadbiran negara agar masa depan pelajar yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang-wenangnya. Bangkitlah wahai para guru dalam mempertahankan hak dan kebajikan yang kian diabaikan. Beranilah menyuarakan pendapat melalui ’lisan dan mata pena’ demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi lebih terarah dan memiliki halatuju yang jelas. Mantapkanlah jati diri selaku pendidik dari aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual demi menghadapi cabaran pendidikan semasa dalam era globalisasi.

Sekali lagi, saya mewakili Lajnah Pendidikan DMPP ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Guru tahun 2010 kepada:

1. Guru-guru yang bertugas di institusi pendidikan yang dimiliki oleh ahli-ahli PAS

2. Guru-guru yang bertugas di institusi pendidikan yang dimiliki oleh NGO Islam

3. Guru-guru yang bertugas di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia

4. Guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti)

5. Guru-guru/pensyarah/pegawai yang bertugas di Institusi Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Akhir kata, Selamat Menyambut Hari Guru dengan tema ’Guru Pencetus Transformasi Modal Insan’.

Serangkap pantun daripada saya:

Gunung Bentan gilang- gemilang,

Air laut tenang- tenangan,

Budimu tuan tidakkan hilang,

Itu menjadi kenang-kenangan.

Wardatul Jannah As-Soffea,

Pengerusi Lajnah Pendidikan

Dewan Muslimat Pas Pusat.

Sunday, May 16, 2010

Terima kasih kepada semua pelajar Maahad SAS!!

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pelajar maahad sas di atas sambutan hari guru peringkat sekolah tempohari... Semoga majlis yang di adakan tempohari sungguh bermakna pada kita semua.. majulah pendidikan untuk masa depan yang gemilang dan cemerlang!!



Persembahan Guru-guru - Lagu Guru Malaysia

Dewan Saidina Ali - 14 Mei 2010 - Sekali lagi Dewan besar Saidina Ali melakar sejarah apabila berjaya melicinkan Sambutan Hari Guru di Maahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Diini, Bandar Jengka. Sambutan Hari Guru pada tahun 2010 ini sangant membanggakan kerana penuh dengan kejutan dan kelainan dari tahun2 yang lalu. Sambutan tahun ini telah dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Maahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Diini, Bandar jengka.

Sambutan pada tahun ini penuh dengan persiapan yang rapi oleh urusetia. bermula beberapa minggu yang lalu. dan daalm mesyuarat urusetia, semua telah berseruju untuk memilih tema yang begitu kelainan iaitu tema 'Arab- Padang Pasir". Bermula hari khamis semua urusetia telah bertemu setiap guru untuk mengedarkan kad jemputan dan meminta supaya guru memakai JUBAh 'ala Arab' bagi memeriahkan lagi suasana hari guru.


Persembahan Koir Maahad

Pentas dewan juga telah dihias dengan suasana padang pasir dengan membina replika piramid, pokok kurma dan beberapa hiasan dengan menmpakkan keceriaan sambutan hari guru dengan temanya : Guru Pembina Negara Bangsa.

Majlis bermula dengan bacaan Al-Quran, disusuli dengan ucapan wakil guru lelaki dan guru perempuan dan diteruskan dengan ucapan kemuncak oleh tuan pengetua. Kemudai disusuli dengan cabutan bertuah buat guru2, persembahan koir oleh kumpulan koir Maahad SAS, cabutan bertuah untuk pelajar, persembahan multimedia, persembahan nasyid dan persembahan guru dengan menyanyikan lagu Guru Malaysia.

"Saya begitu terharu kerana sambutan pada tahun ini meruaplan sambutan yang penuh dengan kelainan dari tahun-tahun yang dahulu. selama saya berada di Maahad SAS, tahun ini merupakan tahun yang bermakna bagi saya kerana sambutan hari guru pada tahun ini penuh dengan kelainan," begitulah menurut Cikgu Roslan Bin Ismail, GPK ko-kurikulum yang mewakili guru lelaki memberikan ucapan.

Gimik Perasmian

Majlis yang dikhiri dengan penyampaian anugerah setiap guru itu berkahir pada jam 12 tengahri. semua guru berasa berpuas hati dengan sambutan pada tahun ini kerana penuh dengan kejutan daripada pelajar2. Majulah guru untuk membina negara bangsa,....

Friday, May 14, 2010

80% Umat Islam di Malaysia Tidak Solat

“Sejumlah 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menunaikan solat lima waktu dalam sehari”. Anda mungkin terkejut dengan data ini tetapi itulah hakikatnya. Dalam satu kajian yang telah dilakukan oleh tokoh motivasi terkenal di Malaysia, Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, bahawa sejumlah 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari.

Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masa kini.

Menurut Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah antara golongan yang kerap meninggalkan ibadah solat ini ialah golongan para pelajar sekolah, golongan belia, pekerja kilang, anggota pasukan seragam dan juga para peniaga (Utusan Malaysia 2008, 23 Jun).

Menurut kajian itu lagi hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan solat fardu cukup lima waktu dalam sehari, sementara bagi pelajar -pelajar sekolah menengah, iaitu hanya 15 peratus sahaja mengakui bersembahyang lima kali sehari. dan fakta ini ternyata menyamai dapatan kajian yang menunjukkan bahawa sejumlah 86.2% responden mengakui kerap meninggalkan solat dan sejumlah kecil responden yang melaksanakan solat dengan secukupnya.

Selain dari itu kadar pelaksanaan yang rendah dalam ibadah solat di kalangan responden dalam kajian ini juga mungkin dapat dikaitkan dengan tahap pengetahuan dan kemahiran responden dalam menunaikan ibadat tersebut. Apakah faktor yang menyebabkan jumlah besar responden tidak menunaikan solat dalam kehidupan mereka? Persoalan ini mungkin tidak dapat diselesaikan dengan menjaga fakta-fakta atau cara melaksanakan solat. Sesungguhnya ia melibatkan banyak faktor lain termasuk motivasi pelaksanaan solat dan ibadat. Menurut al-Kumayi (2009) terdapat tiga halangan dalam melaksanakan ibadah iaitu:

  • Malas (kasal) mengerjakan ibadat kepada Allah, sedang setiap insan sanggup dan berupaya melakukan ibadah.
  • Lemah fikiran (futur) atau tidak memiliki tekad yang kuat kerana terpengaruh dengan kehidupan dunia.
  • Bosan (malal) atau cepat berasa bosan melakukan ibadah sedangkan tujuan belum tercapai.

Sesungguhnya amalan atau perbuatan meninggalkan solat ini merupakan masalah yang serius atau cukup barat, kerana baik buruknya perlakuan seseorang itu sangat dipengaruhi oleh solatnya. Jika ibadah solatnya baik, dilakukan dengan peluh kesempurnaan yang merangkumi aspek rukun, syarat dan penuh khusyuk ia akan dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar. Aspek ini menjadi jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul dalam organisasi atau pun yang melakukan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan syarak.